“UMNO sudah
berubah!”
Begitulah di
antara teriakan nyaring yang terpacul dari mulut sesetengah ustaz yang “hidup
dan matinya mahu melihat sebuah negara Islam wujud di bumi Malaysia” kerana teruja
hudud yang mereka perjuangkan, mahu tegakkan dan perkasakan selama ini telah diterima
baik oleh parti sekular seperti Umno. Kata
mereka lagi, inilah berkatnya hasil perjuangan yang tidak pernah mengenal penat
lelah itu. Sesungguhnya lambat laun perjuangan
yang seperti ini pasti diberkati jua akhirnya.
Tidak syak lagi, salah satu bentuk keberkatan itu ialah penerimaan hudud
oleh Umno sekular yang selama ini salah satu daripada agenda dan kerja besarnya
ialah menentang hudud. Makanya, siapa yang tidak teruja apabila Umno telah berubah?
Logikkan?
Salah satu
ciri utama rejim yang zalim, rakus, autokratik dan jelas korup ialah mengubah
keadah perjuangannya selama ini apabila ia mendapati kedudukannya semakin
terdesak. Ada yang menamakan tindakan-tindakan
seperti ini sebagai taktik dan strategi perjuangan. Ini perbezaan besar di antara si lurus bendul
dan penzalim. Jika si lurus bendul boleh
yakin bahawa kerja-kerja seperti merancang gerakan itu membuang masa kerana ada
kuasa Ilahi yang bakal membantunya, Sang Penguasa zalim sentiasa saja memikirkan
cara dan keadah terbaik supaya dia selamat walaupun betapa besar sekalipun
tentangan yangi hadapinya.
Mungkin inilah
salah satu perbezaan besar cara berfikir dan cara bekerja di antara kelompok
yang “sudah biasa dengan kekalahan demi kekalahan” dengan rejim yang korup lagi
zalim. Jika ada sesetengah pihak yang mahu
memungut hasil perjuangan semata-mata dengan berlegar-legar dalam gelanggang takdir
Illahi, maka lain pula caranya Sang Penzalim. Yang bergantung kepada bantuan takdir ini seolah-olah
tidak mengamati dan tidak mempelajari misalnya bagaimana kelompok aktivis menggembeling
sesuatu gerakan, meneruskan tindakan
untuk menggigit keabsahan sesebuah rejim atau menguasai kemahiran menggunakan propaganda. Itu sekadar contoh. Mereka tidak mahu belajar dalam kalangan
parti-parti politik bagaimana gerakan partinya itu sewajarnya disusun dan
digerakkan. Mereka seolah-olah tidak pernah
terfikir, apatah lagi merekacipta kaedah baru untuk melawan. Bagi mereka sudah mencukupi dan cukuplah dengan berceramah. Ya, sudah
cukup dengan cara yang silam.
2.0 Apabila Umno juga ‘menjuarai hudud’, mereka pun
bersorak-sorak sakan:
“UMNO sudah
berubah!”
Mereka seolah-olah
lupa dengan segala kerjabuat dan perancangan Sang Penguasa dengan SPR, PDRM,
penjawat awam, mahkamah dan seterusnya dan seterusnya selama lebih setengah
abad lalu demi untuk mengekalkan kuasa.
Mereka bercakap tentang keadilan Islam tapi seolah-olah terlupa Islam
itu bukanlah ‘Melayu’ dan mengekalkan ‘segala Melayu’ itu belum tentulah ‘Islam’.
Apakah keterujaan
mereka dengan strategi hudud Umno sehingga berteriak sakan “UMNO sudah berubah!” ialah kerana kejituan
dan keampuhan pendekatan ‘adopt and adapt’ dengan gabungan skrip dan lakonan mantap
oleh Umno?
3.0 UMNO juga sebaik-baiknya ditauliahkan sebagai
pemilik bersama, ‘co-process owner’ hudud.
Dengan ‘lantikan’
seperti ini maka bolehlah kita tunggu syarahan umum Umno tentang hudud di khalayak
umum Shah Alam. Sesi syarah ini sebaik-baiknya
diikuti dengan sesi soal jawab tentang hudud.
Dalam waktu terdekat ini, bolehkan kita harapkan sesi pencerahan hudud
oleh Umno ini dilaksanakan di Shah Alam?
Wallahuaklm.
No comments:
Post a Comment