Monday, June 16, 2014

TIDAK ada yang mahu dikhianati





TIDAK ada yang mahu dikhianati
(Sang Penguasa, kuasa dan jangkauan kuasanya)


Gelaran “Sang Penguasa” itu digunakan untuk merujuk kelompok, gerombolan, mana-mana pihak atau pun parti-parti politik yang diberikan kuasa untuk mentadbir daerah serta “jajahan yang di bawah takluknya”.     

Ini bermakna apabila kita menyebut Sang Penguasa (negara) Malaysia,  kita merujuk sebuah gabungan parti politik Barisan Nasional dengan Umno sebagai tunggaknya.  Begitulah seterusnya.  Maka apabila kita menyebut Sang Penguasa sedia ada (Negeri) Selangor,  yang kita maksudkan Pakatan Rakyat iaitu gabungan tiga buah parti yang menjadi penentang Barisan Nasional/Umno ―  Parti Islam SeMalaysia (PAS), Parti Tindakan Demokrat (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). 


2.0  Yang membezakan tahap jangkauan atau cengkaman kekuasaan sesebuah Sang Penguasa ini ialah besar atau kecilnya kuasa yang dimilikinya itu.  Jika dibuat perbandingan, kuasa yang dimiliki oleh Sang Penguasa sedia ada Malaysia iaitu Umno/BN itu tentulah jauh lebih besar daripada kuasa yang ada di tangan Pakatan Rakyat Selangor.  Ini sesuatu yang jelas i.e. obvious dan tak perlu disuluh dan diulas dengan panjang lebar.


3.0  Salah satu perkara yang sering menjadi isu di Negeri-Negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat ialah keupayaan (dan juga ketidakupayaan@inability) Sang Penguasa negeri-negeri Pakatan Rakyat ini melaksanakan tugasnya dengan licin dan sempurna.  Sebenarnya di samping keupayaan (dan juga ketidakupayaan@inability) Sang Penguasa negeri-negeri Pakatan Rakyat ini mentadbir negeri-negeri yang dikuasainya,  terdapat satu faktor yang kelihatannya sengaja ― direkabentuk dengan sengaja dan khusus ― oleh musuh politiknya demi untuk mencalarkan imej Sang Penguasa bukan Umno/BN ini. 


4.0  Rekabentuk khusus ini termasuklah unsur-unsur kacau ganggu, baling batu sembunyi tangan, dan kadang-kadang sabotaj ini pernah diharungi oleh kerajaan Negeri Kelantan yang dikuasa oleh Pas.  Pas Kelantan pernah merasakan kegetiran dan pahit maung serangan hendap, serangan terbuka dan siri penderaan  oleh musuh politiknya di peringkat pusat.  Siri serangan ini dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai alat dan kaedah yang dikuasai oleh Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat.  Ya, semenjak PRU 12,  Negeri Selangor (khususnya) dan Negeri Pulau Pinang sedang diserang dengan bertubi-tubi oleh musuh politiknya.  Bala-bala tentera musuh Pakatan Rakyat ini termasuklah pelbagai institusi (agama, institusi awam, NGO dll) baik di peringkat negeri dan juga di peringkat pusat. 


Sesungguhnya, episod-tragedi seperti serangan terhadap gereja, rampasan injil, perebutan mayat, konflik hak penjagaan anak kerana ibu bapa telah berbeda agama adalah di antara contoh-contoh yang begitu memilukan dan memalukan Islam itu membuat kita bertanya ― berulang-ulang kali:  Sebagai sebuah negara yang merdeka, mau ke manakah kita dan apa yang telah terjadi dengan negara kita yang tercinta ini?  Apakah kita betul-betul yakin anarki ternakan itu dapat menyelamatkan diri?




5.0  Lalu, apa yang dapat dilakukan oleh para Sang Penguasa Negeri bukan Umno/BN?


Mungkin ini adalah di antara harapan rakyat yang mahukan perubahan sebenar (baca: bukan perubahan kulit, perubahan luaran saja)

5.1 Rakyat mengharapkan pihak yang bercita-cita besar mahu menjadi Sang Penguasa di peringkat pusat itu supaya menumpukan@memfokus matlamat mereka dalam segala kerja buat politik mereka di semua peringkat. Kita begitu mengharapkan mereka ini TIDAK begitu mudah dialih perhatian ke isu-isu yang sengaja digunakan untuk memecah belahkan mereka.  Peluru hudud ialah salah satu contoh paling mutakhir.  Peluru yang gagal meletup ini sebaik-baiknya digunakan semula untuk menembak musuh mereka.


5.2  Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, ketidaksepakatan UMNO/BN (sama seperti segala kebejatannya) bukan lagi isu.  Tapi (malangnya) sedikit saja ketidaksepakatan komponen Pakatan Rakyat adalah masalah besar buat rakyat yang mengamati mereka.  Mereka tertanya-tanya:  Adakah yang bakal menggantikan ini benar-benar lebih SELAMAT untuk dipercayai?


5.3 Jika ada yang yakin bahawa undi orang-orang Cina itu sudah pasti berada dalam dalam tangan mereka, yakinlah mereka tersilap besar.  Orang-orang Cina,  sebagai satu bangsa,  jauh berbeza dengan orang-orang Melayu dan oleh kerana itu janganlah sekali-kali mengambil mudah sokongan orang-orang Cina ini.  Jangan diambil mudah kepercayaan yang telah mereka berikan.  Pesan ini baik diperhatikan dengan serius oleh ostaz-otaz yang bertanding di kawasan-kawasan yang komponen undi Cinanya tinggi (melebihi 40%). Para Ostaz yang lantang mahukan hudud TANPA mahu berdepan dengan para pengundi bukan Melayu mereka,  wajar perhatikan aspek ini dengan serius. 


5.4  TIDAK ada siapa pun yang mahu dikhianati.  Oleh itu usahlah sekali-kali berbuat khianat kepada rakyat khususnya para pengundi yang telah diberikan segala macam janji.

Siapakah yang telah khianat itu? 

Wahai pemimpin yang di bersemanyam di atas takhta kuasa itu,  lihatlah dan amatilah dirimu dan juga sisik dan siripmu yang telah kamu kenakan sejak berkuasa. 

Wahai mereka yang selama ini serak suaranya menjerit-laung perihal hak rakyat,  usahlah sekali-kali bercakap tentang hakmu sebagai pemimpin atau ahli parlimen atau pun ahli DUN.  Buruk tingkah  pemimpin begini bila ditilik renung tingkah lakunya oleh rakyat segala kaum.


Wallahuaklm.



No comments: