My Daddy, Abi Tok Ayah Incorporated
“Jadi, kau
serius?” dahinya terus berkerut-kerut, pelupuk mata kian mengecil; dia sudah hampir-hampir
sepet. Segala alur, kerutan dan lipatan di
dahinya tidak dapat dia sembunyikan lagi.
“Kau fikir aku
main-main? Kami berkenalan sejak dia mula-mula
sampai ke Kaherah. Akulah seniornya yang
menyambut, mengurus, melayan dan menatangnya sepenuh jiwaku ― ibarat mengimbang-ampu
sebuah takhta kristal.”
“Wah, menjaga
atau meracik? Kau tahu siapa Dedinya ‘kan?”
“Abi...” aku
perbetulkan panggilan untuk bakal bapa mertuaku.
“Ya, Abi..” Aiman
patuh meniru gayanya si tiung.
Itu kisah akhir
tahun-tahun 1990an. Minggu lalu aku memberitahu
Aiman yang kami akan bernikah sebelum akhir tahun.
“Dapat juga
kau racik anak kesayangan Tok Ayah...” Aiman masih sukar mahu percaya aku layak
menjadi menantunya orang hebat-hebat.
“Apa kau masih
tidak percaya yang aku adalah lelaki terbaik dalam kalangan jejaka yang baik-baik...?”
Kuhulurkan bukuku yang baru. Dalam buku pertama, kusyarah perihal bagaimana mahu belajar agama
di negara asal usul para ulamak besar dunia.
Buku itu mendapat sambutan luar biasa, lebih-lebih lagi dalam kalangan
para calon hafiz, hafizah, ustaz dan ustazah yang ada kaitan dengan Azhar.
“Ha, bukan
main lagi – Tips Menjadi Menentu Yang Baik”
Gambarku
terpampang di kulit belakang, lengkap dengan “cv” dan segala macam kelulusan.
Yang memikatkan tentunya nama Universiti tertua dunia.
Kubiarkan Aiman
mengimbas-imbas isinya:
Bab 1: Hormati bakal isterimu ― anak kesayangan bakal
mertuamu ― dan jagalah anaknya baik-baik.
“Nah! Itu telahpun
kulakukan sejak kami sama-sama di Azhar lagi...” kujelaskan walaupun Aiman tidak pula meminta sebarang
penjelasan.
Bab 2: Dampingilah sang puteri di saat-saat diperlukan
“Pernahkah kau
tengok aku abaikan Diyana? Bukankah aku
sentiasa di sisinya di saat-saat aku diperlukan ― semasa dia mahu ujian, praktikum,
sakit gigi, mahu ke doktor atau pun deman?”
Bab 3: Bersikap dan bertindaklah seperti lelaki
sejati
“Apa kau lihat
aku ini jenis yang berkelakuan tidak senonoh di depan bakal isteriku dan juga di
depan bakal mertuaku?”
Bab 4: Dekatilah bakal bapa mertuamu
“ Aku tak
pernah lupa membuktikan bahawa aku sentiasa ingat dan teruja dengan Abinya
Diyana. Paling busuk pun, aku selalu titipkan salam setiap kali dan pabila
Diyana menelefon Abinya”
Bab 5: Hadiri, dekatilah dan bermesra-mesralah
dengan keluarganya
“Kenapa tak
ada penjelasan?” Aiman seolah-olah menunggu keterangan lanjutku.
“Itu lebih
banyak kulakukan bila kami sama-sama berada di Pantai Timur.” begitulah
kira-kira penjelasanku.
Bab 6: Binalah jambatan kasih dengan keluarganya
yang lain
“Itu tak jadi
masalah besar kepadaku. Aku sentiasa
dirindui adik kakaknya. Ini jelas
terbukti jika aku terlalu lama tidak bertandang ke Pantai Timur. Semua pada bertanya, di manakah Muaz?”
Bab 7: Berunding dan mendapatkan nasihat buah
hatimu pabila ada masalah besar
“Bukankah yang
lebih dekat, rapat dan mengetahui segala
‘selok belok, liku dan tikungan perasaan’ seorang Abi itu adalah anaknya
sendiri? Sebelum kuperolehi jawatan
juruperunding sekarang ini, itulah yang kubisik ke telinga Dyana. Dan waktu itu kami sedang menunggu kehadiran cahaya
mata kami yang pertama ...”
“Bolehkah
kubicarakan karyamu ini? Ini kit praktis
terbaik untuk menawan hati mertua yang pernah kutemui!”
Wah, ternyata Aiman
juga teruja dengan kemahiranku, Muaz Al-Jabbar Al-Hafiz, melagang agenda besar.
27 Julai 2014
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment