Sumber:
http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/titah-ucapan-sultan-selangor
Titah ucapan Sultan Selangor
Published: 15 July 2014
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillahir Rahmanir Rahim.
Segala puji bagi Allah Subhanahu Wata’ala, Tuhan semesta alam, Selawat dan
Salam ke atas junjungan besar Nabi kita Muhamad Sallallahu Alaihi Wasallam.
Alhamdulillah, Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana
dengan limpah kurniaNya, Beta dapat hadir ke majlis perasmian masjid dan
berjumpa serta berbuka puasa dan menunaikan solat tarawikh dengan rakyat Beta
di daerah ini.
Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana negara Malaysia
dan negeri Selangor yang kita kasihi ini adalah dalam keadaan aman dan tidak
ada kekacauan dan rusuhan, yang mana umat Islam dapat menjalankan ibadah puasa
pada bulan Ramadan yang mulia ini dengan aman dan tenteram.
Allah Subhanahu Wata’ala telah menyuruh umat Islam menjalankan kewajipan
berpuasa di bulan Ramadan yang mulia ini dan beramal serta menjalankan
kerja-kerja yang mulia serta menghindari perkara-perkara yang dilarang oleh
Allah Subhanahu Wata’ala dan agama Islam.
Beta juga bersyukur pada hari ini kita dapat bersama-sama menyambut Nuzul
Quran yang mana ini adalah satu peristiwa agung yang perlu diingati iaitu
turunnya Al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitul Izah di Langit Dunia dan juga
turunnya ayat pertama daripada surah Al-Alaq yang diturunkan dari Baitul Izah
kepada Nabi Muhammad Sallahu Alaihi Wasallam, melalui Malaikat Jibril Alaihis
Salam dan ianya mengambil masa selama 23 tahun untuk menyempurnakan Al-Quran
yang menjadi panduan kepada umat Islam untuk menjalankan kehidupan di dunia ini
dan beribadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala.
Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, Beta mengingatkan supaya orang Melayu
umat Islam janganlah berbalah antara satu sama lain sebaliknya orang Melayu
umat Islam, haruslah bersatu padu dan bermuafakat.
Orang Melayu umat Islam jangan fitnah-menfitnah, mencaci dan menuduh antara
satu sama lain serta membuat cerita-cerita yang tidak benar hingga menimbulkan
perasaan syak wasangka dan seterusnya akan mencetuskan permusuhan antara sesama
orang Melayu umat Islam dan akan mengakibatkan kerugian kepada generasi kita di
masa depan.
Perpecahan orang Melayu akan merugikan orang Melayu sendiri, baik hari ini
ataupun untuk generasi akan datang.
Orang Melayu mestilah bersatu padu dan mengukuhkan bangsa Melayu serta
agama Islam agar tidak diperlekehkan. Beta percaya seandainya orang Melayu
tidak mahu bersatu padu, nescaya di satu hari nanti tragedi akan menimpa orang
Melayu yang mana orang Melayu akan menjadi satu bangsa yang kian pupus dan
tenggelam ditelan zaman serta akhirnya akan hanya tinggal nama semata-mata.
Adakah kita mahu tragedi sebegini berlaku kepada orang Melayu yang beragama
Islam di tanah air kita sendiri? Fikirkanlah siapa yang akan untung dan siapa
yang akan rugi.
Selain itu, Beta juga amat dukacita dengan golongan ekstremis agama,
liberalisasi agama dan juga pluralisme agama yang sedang berleluasa di negara
kita.
Ekstremis agama, liberalisasi agama dan pluralisme agama bukan sahaja akan
merosakkan aqidah umat Islam, malah akan menghancurkan umat Islam di suatu masa
nanti.
Ekstremis agama yang Beta maksudkan adalah golongan ekstremis yang sering
mencetuskan keganasan tanpa batasan, manakala liberalisasi agama adalah
golongan yang mengamalkan budaya seperti LGBT yang secara terang-terangan
melanggar akidah umat Islam.
Pluralisme agama pula adalah mereka yang berpendapat semua agama termasuk
agama Islam adalah sama dan tidak ada satu agama pun boleh diberikan kelebihan
berbanding agama-agama lain.
Walau bagaimanapun kita perlu akur bahawa agama Islam mempunyai kedudukan
yang lebih tinggi kerana ia adalah Agama Persekutuan sebagaimana yang termaktub
di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh itu, semua golongan ini perlu dibendung agar aqidah umat Islam
terpelihara dan dilindungi.
Beta mahu rakyat Negeri Selangor mengamalkan agama Islam yang “moderate”
mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dalam pada itu, Beta merasa dukacita kerana ada di kalangan ahli politik
dan golongan cerdik pandai yang beragama Islam sendiri, tidak melindungi
kesucian agama Islam daripada dipermainkan oleh pihak-pihak tertentu.
Sebaliknya mereka lebih mengutamakan agenda politik dan peribadi mereka
dengan mengelirukan masyarakat. Ada di kalangan mereka ini telah dengan berani
mempersoalkan kuasa institusi agama Islam seperti Mais yang selama ini
berperanan memastikan kesucian agama Islam dan urus tadbir hal ehwal agama
Islam di Negeri Selangor ini.
Beta merujuk kepada petikan laporan akhbar-akhbar utama tanahair pada 18
Jun 2014, yang mana Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad telah mempersoalkan
kuasa eksekutif Mais dan mencadangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor
menghapuskan kuasa eksekutif Mais. Beta amat kesal dan kecewa dengan kenyataan
yang tidak bertanggungjawab itu.
Khalid Samad yang bukannya anak jati Selangor namun telah berpeluang
menjadi Ahli Parlimen di Selangor sepatutnya mengambil segala langkah untuk
melengkapkan diri untuk memahami sejarah negeri Selangor dan mendalami
undang-undang yang terpakai di negeri Selangor terutama Undang-undang Tubuh
Kerajaan Selangor dan Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor.
Kenyataan Khalid Samad itu ternyata menunjukkan beliau jahil tentang
peranan Mais yang diwujudkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor sebagai
penasihat dan membantu Beta dalam menjalankan kuasa Beta sebagai Ketua Agama
Islam di Negeri Selangor.
Tindakan Khalid Samad mempersoalkan kuasa MAIS seolah-olah menunjukkan
sikap biadap dan penentangan kepada kuasa Beta sebagai Ketua Agama Islam yang
mendapat nasihat dari pihak Mais berkenaan agama Islam seperti yang sedia
termaktub di bawah undang-undang.
Ini bukan kali pertama Khalid Samad telah mempersoalkan tentang isu
berkaitan tentang kuasa eksekutif Mais dan juga Enakmen Pentadbiran Agama Islam
Selangor yang dianggapnya sudah lapuk.
Oleh itu Beta menyeru kepada Khalid Samad agar di masa akan datang beliau
berwaspada di dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan jangan menunjukkan
sikap biadap dan jahil beliau apabila membicarakan isu berkaitan dengan kuasa
Beta dan peranan Mais di dalam menasihati Beta mengenai agama Islam.
Beta ingin mengambil kesempatan di sini untuk menegaskan bahawa Mais
sentiasa menjamin hak dan kebebasan penganut agama lain di dalam mengamalkan
agama mereka.
Mais sentiasa menghormati orang bukan Islam di dalam amalan agama mereka
seperti yang telah diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Segala tindakan yang dilakukan oleh Mais dan Jais adalah bagi memelihara
kesucian agama Islam tanpa menggangu penganut agama lain di dalam menganut
agama mereka.
Beta sekali lagi menegaskan kepada semua pihak bahawa jangan jadikan agama
Islam sebagai modal politik. Kesucian agama Islam perlu sentiasa dipelihara.
Sebagai orang politik seharusnya mereka lebih bertanggungjawab di dalam
mengeluarkan sebarang kenyataan bagi memastikan kesucian agama Islam dan
perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa terpelihara.
Di bulan yang mulia ini juga Beta berkenan supaya semua umat Islam di
negeri Selangor ini mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah Subhanuhu
Wata’ala.
Beta mengingatkan sekali lagi janganlah dijadikan masjid sebagai gelanggang
untuk berpolitik dan juga tempat mengadakan demonstrasi yang negatif, baik di dalam
atau di kawasan perkarangan masjid.
Masjid dan surau adalah tempat Umat Islam dan Orang Melayu beribadat dan
bertemu bagi mengeratkan silaturrahim antara sesama orang Melayu umat Islam.
Beta mengakhiri ucapan Beta ini dengan mengucapkan selamat berpuasa kepada
seluruh umat Islam, semoga amal ibadah kita diterima dan diberkati Allah
Subhanahu Wata’ala.
Jadikanlah masjid sebagai tempat yang aman, selesa dan kondusif untuk
setiap umat Islam melakukan ibadah dan mendapat keredhaan Allah Subhanahu
Wata’ala.
Maka dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, Beta merasmikan Masjid ini
dengan nama Masjid Pekan Sepang.
Sekian,
Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. –
15 Julai, 2014.
* Titah ucapan Sultan Selangor di majlis perasmian Masjid
Pekan Sepang.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak
semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/titah-ucapan-sultan-selangor#sthash.43eZsJPw.dpuf
No comments:
Post a Comment