Friday, October 31, 2014

Tak perlu cipta roda





Kenapa masih ghairah mau mencipta (semula) roda?


Semasa bersekolah di Katholieke Universiteit Leuven, Leuven, Belgium pengarah program pengajian sarjana kejuruteraan pengairan, Dirk Raes pernah memperingatkan kami pelajar angkatan 1987-89 sesuatu yang saya ingat sampai ke hari ini, “Anda semua tak perlu cipta sesuatu yang baru. Sebutlah apa saja tajuknya, sudah ada orang terdahulu yang pernah memperkatakannya”.  Mungkin pernyataan ini benar atau mungkin juga ia tidak tepat seluruhnya. Mungkin.  Dalam konteks ‘mencipta’ sesuatu yang baru, terdapat ungkapan Inggeris (you don’t to invent a wheel) yang kira-kira membawa maksud ― kita tak perlu mencipta roda kerana sudah ada manusia terdahulu menciptanya. Jadi ― jika orang dulu-dulu sudahpun mencipta roda, lalu kenapakah dalam kalangan kita,  masih ada yang asyik mahu mencipta roda? 

Dalam sejarah kewujudan dan khidmat, misalnya sebuah jabatan kerajaan, tentulah terlalu banyak ilmu, pengalaman dan kepakaran yang pernah dikutip dan dikumpul oleh jabatan tersebut. JPS, Jabatan Pengairan dan Saliran, Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Jabatan Parit dan Taliair, JPT tentulah banyak pengalaman, khidmat bakti, ilmu pengetahuan dan kepakaran yang dikumpulnya sejak tahun 1930an.  Ia tentu mahir dalam bidang pengairan tanaman padi dan pengurusan sungai. Itu dua contoh bidang yang menjadi peranan dan tanggungjawab JPS.  Sementara itu Jabatan Kebajikan Masyarakat pula tentulah cukup kaya, mahir, cekap dan cukup kemampuannya untuk ke depan dalam mengurus keprihatinan kerajaan terhadap masyarakat.  Kita boleh teruskan dengan pelbagai jabatan atau pun institusi-institusi lain dan senarainya memang cukup panjang. Pendek kata, perkhidmatan awam negara kita telah sekian lama mengumpulkan ilmu pengetahuan, kepakaran dan pengalaman yang sangat bernilai. Apakah telah kita manfaatkan segala khazanah tersebut dalam membangunkan negara kita?  
         

2.0 Mengusur manusia kerdil, apakah yang telah pemimpin masyarakat Melayu pelajari?   

Di samping kerajaan, para pemimpin masyarakat kerdil di segala bandar besar di seluruh negara kita juga tentulah mengumpulkan pelbagai pengalaman, kepakaran, darah dan air mata dalam berdepan dengan penggusuran yang mesti ― yang tidak dapat tidak ― mestilah dilaksanakan. Penggusuran manusia-manusia kerdil yang mesti dilaksanakan oleh sebab pembangunan yang tidak boleh dihentikan.  Dalam konteks ini, apakah yang seluruh masyarakat kita pelajari dengan segala macam bentuk penggusuran ini?  Apakah ahli-ahli politik kita, baik yang di seberang sini maupun yang di seberang sana,  telah pelajari? Apakah para pembuat dasar pembangunan masyarakat kita telah pelajari dengan kerja-kerja menghalau manusia yang lebih satu abad hidup dan beranak pinak di ibu kota itu? Apakah para profesor di ratusan IPTA/S itu pelajari tentang penggusuran manusia-manusia kecil? Apakah parti Islam yang berdentum-dentum syarahnya tentang keadilan Islam itu pelajari dan lakukan untuk manusia-manusia kerdil ini?  Senarai soalannya cukup panjang.

Agaknya jika Hamid Tuah masih lagi bersama kita, apakah yang mahu diceritakan kepada kita tentang pembangunan dan nasib para manusia kecil?  Mungkinkah dia akan berpesan agar kita di zaman ini janganlah terlalu ghairah mencipta roda. Lihatlah, belajarlah dan bertindaklah berdasarkan pengalaman nenek moyang kita melihat dan mengurus roda.  Bukankah begitu?




No comments: