Friday, October 31, 2014

Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan – Bhgn 1


Sumber: http://gatera.my/senang-lenang-dan-berlinangnya-pembangunan-bhgn-1/



Senang-Lenang dan Berlinangnya Pembangunan – Bhgn 1
Bhgn 1 | Bhgn 2 | Bhgn 3

Abstrak

Makalah ini mengandungi kupasan punca-punca konfliknya pembangunan dari aspek teorinya dan amalannya. Ini termasuklah konfliknya makna pembangunan dengan development, konfliknya sejarah projek pembangunan di Eropah  dengan pembangunan di Malaysia, konfliknya teori pembangunan Barat dengan teori pembangunan yang sepatutnya, iaitu dalam acuan kita sendiri, konfliknya tanggapan sarjana Barat dengan sarjana kita terhadap konsep pembangunan, dan konfliknya amalan projek pembangunan kita dengan matalamat pembangunan itu sendiri. Selain daripada “pengajaran” drp amalan pembangunan selama ini yang ditunjukkan negatif sifatnya, model pembangunan kerajaaan Sriwijaya abad ke-7 M yang bermatalamatkan subhagia rakyatnya yang begitu kontras sifatnya dipaparkan bagi mendapat pengajaran baharu zaman ini. Beberapa syor penambah-baikan pembangunan sekarang dipaparkan.
  1. Kenal Pembangunan
Kita kenal istilah pembangunan mulai Rancangan Lima Tahun Pertama Malaya 1956-1960 yang menumpukan kepada sektor ekonomi luar bandar sehingga rakyat menyekutukan pembangunan dengan pembangunan luar bandar sahaja. Namun datangnya Rancangan Malaysia Pertama 1965-1970 (Penyambungan Rancanganan Malaya kedua 1961-1965) istilah pembangunan ditujukan kepada seluruh negara (yang pastinya termasuklah Bandar, iaitu pembangunan bandar) (Lihat Internet 1). Rakyat mula melihat pembangunan bukan lagi cuma penerokaan tanah hutan belantara untuk penanaman dan penempatan baharu sahaja yang menjanjikan senang-lenangnya para peneroka nanti (walaupun atas tangisan flora-fauna, dan mungkin sekali orang asal di tempat berkenaan) tetapi yang lebih ketaranya pembinaan bangunan baharu (gedung perniagaan, kilang-kilang dan rumah-rumah kediaman) di dalam kawasan Bandar. Pembangunan dijadikan wahana untuk pengindustrian negara, dan Barat menjadi modelnya sehingga pembangunan juga disetarakan dengan pemBaratan atau pemodenan dengan kefahaman yang positifnya. Sekali gus pembangunan kita semakin menampakkan ciri-ciri kejasmanian dan kebendaan semata-mata, iaitu pembinaan bangunan sehingga pembangunan (proses bangun) menjadi semakin tepat kepada pem-bangunan-an (proses membina bangunan).


Inilah yang menempa sejarah pembangunan negara kita yang tersendiri yang bertukar tujuannya kepada melahirkan kekayaan individu yang bersenang-lenang dan seterusnya akaun kekayaan negara yang melonjak tetapi semakin besarlah pula rakyat yang berlinangan kesedihan nasibnya akibat terpinggir atau dipinggiri oleh arus pembangunan sebegini. Ternyata negara semakin kaya (KDNK semakin meningkat) tetapi jurang yang bersenang-lenang dengan yang berlinang tidaklah juga berubah seperti yang sepatutnya/dijanjikan bahkan adakala semakin meluas (Lihat jadual indeks GINI di bawah yang berhubung dengan isu ini). Bukti yang lebih tepat kesenjangan agihan kekayaan negara dipersaksikan oleh pernyataan Raja Nazrin bahawa 78 % penanggung keluarga di Malaysia berpendapat kurang daripada RM3 ribu sebulan (Lihat akhbar perdana pada 2 Okt 2014) dan pernyataan Menteri Kewangan Kedua Malaysia (Borneo Post 19 March 2013) seramai 6.1 juta penerima BRIM (mereka yang kurang drp RM3 ribu sebulan) yang kira-kira berkesimpulan yang serupa. Apakah sebenarnya “pembangunan” yang kita ambil daripada “development” itu?

Jadual 1: Indeks GINI Malaysia mengikut kajian World Bank dan Jabatan Statistik Malaysia
Tahun                                               Indeks GINI (0 sempurna dan 100 amat buruk)
1985                                                       48
1990                                                       47
1995                                                       49
*2000                                                    45
*2005                                                    48
2009                                                      46
2012                                                      43 (lebih buruk drp Thailand 40, Indonesia 37 dan India 33)
         * drp Jabatan statitik Malaysia sahaja
  1. Makna Pembangunan
Perkataan “pembangunan” pastinya ada sudah lama dalam bahasa Melayu dengan makna “proses bangun atau membang” tetapi sejak 1956 perkataan ini dipadankan dengan istilah Inggeris development yang juga sering dipadankan dengan “kemajuan”. (Perkataan terakhir itu amat positif bunyinya, walaupun konsep “maju” itu sendiri, mengikut pengertian bahasa Inggeris, progress, advance dsbnya cukup berkonflik dengan nilai “maju” kita sendiri yang dipengaruhi oleh Islam). Tidak hairanlah pebangunan sentiasalah disekutukan dengan pemajuan atau kemajuan.


Development mulai dijalankan di Eropah selepas Perang Dunia Kedua bagi tujuan mengembalikan keadaan ekonomi dan sosial negara-negara di Eropah yang menerima bahana Perang tersebut. Projek pembangunan ekonomi ini diprakarsai oleh Amerika Syarikat 1948 sebagai suatu usaha pembinaan semula negara-negara Eropah yang runtuh/roboh hampir segala-galanya (bukan bangunan sahaja) akibat Perang Dunia II. Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Truman memaparkan prinsip pembangunannya (prinsip development Truman):

“Yang kami bayangkan ialah sebuah program pembangunan berasaskan konsep kira-bicara yang adil berdemokrasi …. Pengeluaran yang lebih hebat adalah kunci kepada kemakmuran dan keamanan. Dan kunci kepada pengeluaran yang lebih hebat ialah penerapan ilmu teknik dan sains moden yang lebih bersungguh-sungguh.” [Terjemahan penulis terhadap sebahagian drp ucapan Truman bersumberkan: Economic development , http://en.wikipedia.org/wiki/Economic_development]

Jelaslah konsep pembangunan Barat yang asalnya ini melibatkan keadilan berdemokrasi, pengeluaran yang cekap dan banyak, dan penerapan sains dan teknologi yang hebat. Sejauh mana pembangunan kita menerapkan konsep pembangunan asli ini memanglah banyak yang tidak kesampaiannya, tetapi perkara ini tidak dibicarakan di sini secara terusnya. Gantinya dibicarakan teori dan amalannya sahaja kerana teori pembangunan adalah hasil dukungan konsep pembangunan asal ini dengan perluasan mengikut acuan sarjana-sarjana Barat.

Sarjana Barat memang menyahut konsep pembangunan Truman ini dengan mengutarakan teori bersesuaiannya sehingga tahun 1960-an bahawa kerajaan/pemerintah Negara Membangun (Developing Nation) semestinya berperanan utama dalam mempromosi pengindustrian dan sekali gus membuahkan teori pemodenan dan pembangunan sebagai agen pertumbuhan ekonomi (walaupun pertumbuhan ekonomi boleh sahaja berlaku tanpa “pembangunan”, dan kini diakui ekonomi berasaskan pengekalan pertumbuhan pada aras berapa pun adalah ekonomi yang tidak terlestarikan; ringkasnya pembangunan terlestarikan beroksimoron, iaitu bertentangan parah, dengan pertumbuhan dan ini akan dibicarakan berasingan nanti). Dalam tempoh pembangunan ekonomi di bawah kawalan pemerintah ini (sehingga 1970-an) jugalah ahli teori memperakukan bahawa pembangunan semestinya memfokuskan terlebih dahulu kepada pembangunan modal insan dan pengagihan semula kekayaan negara. Inilah juga yang diretorikkan oleh kerajaan kita, walaupun aspek retorik pembangunan modal insan ini baharu sahaja munculnya sejak zaman Pak Lah sahaja. Seterusnya, setelah tepunya pulangan dasar liberalisme terpimpin ini, maka dasar liberaru (neo-liberalisme), iaitu peniadaan peranan kerajaan/pemerintah dalam pembangunan, dimunculkan dalam tahun 1980-an yang menekankan kepada agenda perdagangan bebas dan Pengindustrian Gantian Impot (Import substitution industrialization), iaitu pengurangan barang impot yang digantikan dengan buatan sendiri. Ternyata, projek pembangunan Eropah yang ditunjangi oleh teori-teori itu berjaya. Bukti nyatanya, lebih separuh daripada Negara Maju sekarang (berjumlah 40-an) adalah negara-negara di Eropah (yang hancur dalam Perang Dunia II dahulu). Laluan teori pembangunan inilah yang cuba dilalui oleh negara kita sejak dari mulanya lagi, tetapi bukan secara sepenuhnya seperti Penggantian Gantian Impot itu amat ketinggalan dalam pembangunan kita. Maka sesuai dengan hukum alamlah bahawa pemikiran impot terutamanya jika diambil secara berpilih akan menimbulkan banyak konfliknya seperti yang akan dipertuntunkan nanti.


Dengan kejayaan projek pembangunan di Eropah itulah maka pembangunan di anggap satu cara untuk memajukan sesebuah negara dan seterusnya menciptakan kesejahteraan, kemakmuran …. dan akhirnya kebahagiaan, walaupun indeks-indeks ini tidak pernah pula menjadi sasaran dasar utama pembangunan kita, bahkan tidak pernah sarjana kita terlibat dalam pembinaan modelnya (Lihat sorotannya oleh Shaharir 2008). Sebenarnya sejak 1970-an lagi kritikan dari kalangan ahli ekonomi Barat pun terhadap pembangunan mulai timbul kerana pembangunan dilihat membawa kesengsaraan atau kemerosotan kebahagiaan mereka. Ini dibicarakan lagi pada akhir makalah ini.
Persoalan yang menerbitkan konflik dalam pembangunan ialah maksud “kejayaan” , “kemajuan” dan “kebahagiaan” yang amat sarat dengan nilai atau kebudayaan itu. Pendukungan sesuatu bangsa akan makna tiga perkara ini mengikut acuan Eropah itulah yang menimbulkan konflik. Sebahagiannya dibicarakan di sini.
  1. Konflik makna pembangunan dengan development
Perkataan Inggeris, develop mengalami perubahan makna asalnya buat pertama kalinya akibat keperluan istilahnya dalam teknologi terawal fotografi dalam abad ke-19 M. Dalam fotografi, develop dimaksudkan “mencuci gambar” , developer bermaksud “pencuci gambar” ; Underdeveloped bermaskud “tak cukup bersih cuci gambar”. Kemudian mulai 1948, menerusi projek pembangunan Truman itu, baharulah muncul development sebagai bermaksud “keadaan ekonomi” dan seterusnya perkataan develop, developing, developed, underdeveloped membawa pengertian yang khusus dalam konteks ekonomi ini.


Sebelum berlakunya perubahan di atas, asalnya, perkataan Inggeris develop diambil daripada Perancis, developer atau desveloper , dalam sekitar pertengahan abad ke-17 M dengan makna “buka lipatan”, “buka bungkusan” atau “buka tutupan/hijab”; “menjelaskan makna”. Kemudian digunakan juga untuk konteks pembuatan fotograf itu mulai pertengahan abad ke-19 M. Istilah development yang membawa makna proses, iaitu “pembukaan lipatan”, “pembukaan bungkusan” atau “pembukaan tutupan/hijab” muncul kira-kira seabad kemudian dan sekaligus pula muncul makna baharunya, berhubung dangan hartanah, “menyerlahkan kemungkinan terpendamnya” dan seabad lagi (akhir abad ke-19 M) mendapat makna baharu lagi ke atas hartanah itu, iaitu “penambah-baikan yang dilakukan ke atas tanah baharu menerusi penanaman dan pendirian bangunan dsbnya” dan seterusnya pada awal abad ke-20 mendapat makna ekonomi, “ keadaan kemaraan/kemajuan ekonomi” (state of economic advancement).

Dalam bahasa Melayu sejarah makna “bangun” dan “pembangunan” sebelum abad ke-20 M tidaklah diketahui (terutama segi etimologinya) melainkan maknanya agak berbeza daripada develop Inggeris itu. Perkataan “bangun” bukan daripada Sanskrit kerana berdasarkan kamus Inggeris-Sanskrit di internet, perkataan Sanskrit yang dipadankan dengan develop ialah jaayante; developed ialah pravriddhae dan pravriddhaah; developing ialah prabhavishhnu; dan development ialah praagalbhya; manakala rise dalam Sanskrit ialah udaya, abhudaya dan bhaagyodaya. Perkataan “bangun” juga bukan daripada bahasa Arab kerana mengikut kamus Inggeris-Arab di internet, develop ialah tatdwyr/tatwir, tduwr/tur, nawm dan zhur/zuhr, manakala development ialah tatdwyr atau tanmiyah; walaupun ada kemungkinan datangnya daripada qum seperti dalam Suraht al-Muzammir itu (apabila Allah menyuruh Nabi Muhammad SAW bangun/qum drp berselimutnya). Oleh itu sehingga kini, “bangun” boleh diangap perkataan Melayu/Malayonesia asli. Perkataan “bangun” dalam bahasa Melayu tiada hubungannya dengan lipatan, bungkusan atau tutupan itu tetapi berhubung dengan jatuh, terlantar, baring, tidur dsbnya. Jika tiadalah pengaruh makna develop dan development dari bahasa Inggeris itu, konsep pembangunan Melayu sewajarnya jauh lebih baik daripada konsep-konsep Inggeris itu, apatah lagi dengan amalan pembangunan kita selama ini. Nampaknya kita membelakangi makna asli dan murni “bangun” kita dan “pembangunan” dalam bahasa kita itu dan membina kefahaman “bangun” dan “pembangunan” kita sama seperti dalam bahasa Inggeris itu: cuci (gambar) pencuci (gambar) dikembangkan kpd kegiatan ekonomi: cuci dulu segala-galanya tempat yang mahu “dimajukan” itu. Dalam bahasa Melayu abad ke-20 hingga kini, padanan develop segi ekonomi ialah “maju” atau “bangun”; development dipadankan dengan “kemajuan” atau “pembangunan”; developed dipadankan dengan “maju”, seperti dalam negara maju/Negara Maju =developed nation; developing dipadankan dengan “membangun” seperti dalam developing nation =negara membangun/Negara Membangun. Kedua-dua konsep “maju” dan “membangun” itu tentunyalah sama dengan konsep dalam bahasa Inggeris itu (mengikut konsep ilmu Barat, ilmu bukan dalam acuan kita sendiri) . Inilah konflik awal-awalnya pembangunan, iaitu bersenang-lenangnya kita dengan konsep pembangunan orang tanpa keinsafannya terhadap konsep “pembangunan” kita sendiri walaupun sudah lamalah berlinangnya air mata sekumpulan yang tidak bermaya melakukan sesuatu terhadap ilmu ini.

Apa lagi konfliknya? Ada beberapa lagi yang terasnya yang akan diperkatakan di dalam bahagian seterusnya, atau rujuk artikel penuh di bawah.