Thursday, December 25, 2014

Wacana Budaya: Syari'ah vs Sekularisme





Dinsman (Hrkh 467, 19/1214)
Pertembungan baru Syari’ah vs Sekularisme

Tidak tahulah bagaimana alkisahnya maka tiba-tiba tampil 25 orang tokoh Melayu yang terdiri daripada bekas-bekas Ketua Setiausaha kementerian itu dan ini, bekas ketua pengarah jabatan, bekas hakim, bekas duta dan sebagainya, menulis surat terbuka dalam bahasa Inggeris, meminta perhatian kerajaan terhadap suatu perkara yang mereka anggap boleh mengheret negara ini menjadi seperti Afganistan yang diperintah oleh golongan ekstrimis Islam Taliban.

Dan mereka mengangkat kes pertentangan antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil, yang mereka anggap krisis itu terjadi kerana pihak mahkamah syariah menceroboh bidang kuasa Mahkamah Persekutuan, dan ia bertentangan dengan Perlembagaan negara. Dan itu dilihat mereka sebagai anasir-anasir ekstremisme Islam yang menggugat kestabilan dan keharmonian hidup masyarakat berbilang agama di negara ini.

Maka mereka menyeru supaya kerajaan bertindak bagi menyekat perkembangan yang dianggap mereka sebagai tidak sihat dan menggugat kestabilan dan keharmonian negara itu.

Berikutan tersebarnya surat terbuka itu pada 8 Disember, beberapa pihak telah menyambut-nya dengan reaksi yang menyokong dan juga menentang. Akhbar The Star menunjukkan sokongan yang ketara. Manakala pertubuhan Perkasa (Ibrahim Ali) pula menyanggah kritikan 25 tokoh Melayu (TM) pencen itu dan malah menyalahkan mereka pula sebagai antara yang menyebabkan terjadinya apa yang terjadi itu.

Dan saya pun menerima jemputan daripada kedua-dua pihak, agar menyertai mereka, yang kedua-duanya adalah sahabat-sahabat yang selalu bersama dalam aktiviti-aktiviti seni-budaya dan keilmuan.

Satu, pihak Cikgu Azmi (Mapim) dan Prof Shaharir (Gatera) yang tidak bersetuju dengan pandangan 25 TM tersebut; dan satu lagi pihak NGO masyarakat Cina yang aktif dalam pendidikan dan kebudayaan, yang menggerakkan beberapa NGO lain menyertai mereka, bagi menyokong surat 25 TM itu. Maka ke manakah akan saya libatkan diri?

Tentunya saya tidak memerlukan masa untuk berfikir pun, kerana pendirian saya memang jelas. Lagipun emel daripada Prof Shaharir telah terlebih dahulu sampai dan telah saya jawab segera: bersetuju untuk bersama.

Saya melihatnya begini: Kumpulan 25 TM itu tidak senang dengan perkembangan gerakan Islam mutakhir, khasnya di bidang perundangan dan kehakiman. Mereka lebih suka biar Mahkamah Syariah di negara kita ini berfungsi seperti dulu saja, dengan bidang yang terhad pada hal-hal nikah-kahwin dan kekeluargaan Islam sahaja

Tentunyalah itu sangat bertentangan dengan perkembangan gerakan Islam hari ini. Dan ternyata mereka itu (seperti ramai yang lain juga) telah terpengaruh dengan diayah Amerika dan Zionis yang sedang giat menghitamkan wajah Islam di mana-mana saja di dunia pada hari ini. Ketakutan pada wajah Islam yang telah dihitamkan itulah, saya fikir, yang menggerakkan mereka itu menulis surat terbuka tersebut.

Dan suara kebimbangan mereka itu tentulah akan disambut dengan pukulan gendang besar-besaran oleh golongan, terutamanya bukan Muslim, yang selama ini sering menyatakan kebimbangan yang sama. Apa lagi! Kini orang-orang penting dari kalangan orang Melayu-Islam sendiri pula yang menyuarakannya!

Maka saya melihat kemungkinannya akan terjadi pertembungan baru antara dua golongan yang besar ini. Satu pihak yang menyokong Mahkamah Syariah dan syariat Islam diperkasakan di negara ini; manakala satu pihak lagi yang mahukan sekularisme diperkasakan hingga syariat Islam tunduk kepadanya.

Pertembungan atau krisis Syariah vs Sekularisme ini sebenarnya memang sudah dan sedang berlangsung dalam masyarakat kita sejak sekian lama. Tetapi syukur, kerana masyarakat kita selama itu menunjukkan kadar toleransi dan kesaling-fahaman yang tinggi, serta saling menghormati agama dan kepercayaan masing-masing, maka pertembungan ini menjadi lembut dan tidak sampai mengganggu keharmonian.

Tetapi sekarang nampaknya ia akan mengambil tempo yang baru dan masuk ke dalam fasa yang baru. Kumpulan 32 Pemikir Islam (bersama Cikgu Azmi dan Prof Shaharir) dalam memorandum yang mereka keluarkan pada 15 Disember, antara lain menyatakan:

“Tidak ada negara yang boleh mengabaikan hasrat sebahagian besar rakyatnya (yang mahukan undang-undang Islam dilaksanakan -p) tanpa kesan buruk terhadap kestabilan dan keamanan. Kita perlu mencari jalan untuk memenuhi tuntutan orang Islam terhadap pelaksanaan undang-undang Syariah dalam kerangka kerja perlembagaan yang demokrasi tanpa mencabuli hak-hak golongan rakyat minoriti.”

Untuk itu mereka mencadangkan: “Kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa tertinggi untuk menyemak semula Perlembagaan Persekutuan kita dan menyarankan pindaan untuk memasukkan segala keperluan penduduk Islam serta menegakkan hak-hak golongan minoriti di negara ini.”

Tegas mereka lagi: “Perlembagaan bukanlah sesuatu yang tidak boleh diubah. Ia merupakan dokumen kehidupan dan perlu berkembang selaras dengan perubahan yang diinginkan oleh rakyat.”

Berbeza dengan kumpulan 25 yang kebanyakannya terdiri daripada pegawai-pegawai tinggi kerajaan yang telah pencen, kumpulan pemikir Islam ini terdiri daripada mereka yang masih aktif. Kebanyakan mereka adalah professor-profesor di bidang sains, kejuruteraan, ekonomi, dan matematik. Antaranya Prof Dato’ Dr Ir Wan Ramli Wan Daud, Prof Kejuruteraan Kimia, UKM.

Mufti Perak Tan Sri Hj Harussani Zakaria juga turut bersama dengan kumpulan 32 ini; begitu juga Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim. Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr Awang Sariyan juga bersama.

(Penulis boleh juga dihubungi dengan sms 019-7172408)



No comments: