Himpunan solidariti untuk
kawan-kawan di Harakah
Dinsman
Published: 6 January 2015
Hari ini pimpinan PAS jadi tidak boleh ditegur. Tegur saja terus melenting
dan gunakan kuasa apa yang ada untuk hentikan teguran. Saya ingatkan
allahyarham Tan Sri Azizan Razak (bekas menteri besar Kedah) saja yang macam
itu dulu. Rupa-rupanya kebanyakan ulama yang ada dalam PAS sekarang pun macam
itu juga. Maka tersingkirlah Datuk Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid daripada
Harakah, dan Ahmad Lutfi Othman pun diminta supaya berhenti.
Mulanya Tarmizi diberhentikan sebagai pengarang Harakah, 1 Oktober 2014.
Kemudian di pertengahan Disember Roslan pula diberhentikan, khabarnya kerana
dialah editor yang bertanggungjawab menyiarkan 2 tulisan saya yang mengkritik
ulama. Dan saya juga diberhentikan daripada menjadi kolumnis ‘Wacana Budaya’ di
Harakah.
Terakhir ialah Ahmad Lutfi, ketua pengarang Harakah sendiri, yang sedang
bercuti sakit, diminta meletakkan jawatan. Barangkali kerana dia sedang
mengalami sakit yang dipercayai oleh mereka akan menyebabkan dia tidak dapat
menjalankan tugasnya, atau sebab-sebab lain, tidak dapat dipastikan.
Tetapi khabarnya waktu diminta berhenti itu tidak ada apa-apa alasan
diberi, dan hal sakitnya itupun tidak ditimbulkan.
Saya bukannya menghina ulama pun. Gilakah saya hendak menghina ulama yang
diperakui Rasulullah sendiri ulama adalah pewaris para nabi? Saya hanya
mengkritik segelintir ulama dalam pimpinan atasan PAS yang berkelakuan tidak
seperti ulama, malah merosakkan imej mulia ulama.
Beberapa tulisan saya itu bertujuan cuba memperbaiki keadaan. Mereka yang
mengikuti tulisan dalam Wacana Budaya tentu tahu bagaimana pandangan saya
terhadap golongan tertentu di kalangan mereka yang dikatakan ulama dan
pendakwah dalam masyarakat kita. Ramai di antara mereka itu yang bukan ulama
sebenarnya. Mereka hanya mengambil kesempatan daripada gelar dan status ulama.
Mereka itu sebenarnya sedang memburukkan imej ulama. Ini yang saya kritik.
Adapun berita Lutfi diminta berhenti itu menggemparkan beberapa pihak
tertentu. Cikgu Ishak Surin, yang dipertua PAS Kawasan Batu (Kuala Lumpur)
misalnya, menjadi begitu marah dan berang kerana sebelum ini Tarmizi, naib YDP
PAS kawasannya sendiri pun disingkirkan daripada Harakah.
“Sekarang Ahmad Lutfi Othman pula!” katanya.
“Bukankah dia sedang bercuti sakit?” Soal Cikgu Ishak kepada saya dan
beberapa kawan yang sedang berkumpul di Madrasah Seni (Madrasah Tarbiyah, Kg
Banda Dalam) kerana membincangkan persiapan menganjurkan Malam Baca Puisi
“Bebas”, pada Jumaat 9 Januari ini.
“Ini satu tindakan zalim,” katanya lagi. “Bagaimanakah sebuah akhbar Islam,
yang menjadi suara kepada parti Islam di negara ini, tetapi pihak
pentadbirannya tidak berakhlak Islam? Perbuatan zalim ini bukan akhlak Islam.
Dulu Tarmizi disuruhnya berhenti dengan serta merta. Tak ada proses nasihat
atau amaran dan sebagainya.”
Memang marah betul Cikgu Ishak pada petang itu. “Aku tak boleh diam lagi
kali ini,” katanya. Selepas itu khabarnya dia menulis surat kepada pengerusi
Harakah, merangkap setiausaha agung parti PAS, Datuk Mustaffa Ali – menyatakan
protesnya terhadap tindakan yang dikenakan ke atas tiga wartawan kanan akhbar
tersebut.
Saya sebenarnya turut berasa terlibat dalam kemelut itu, kerana jelas
Roslan disabitkan dia harus ditamatkan khidmatnya ialah kerana dia meluluskan
tulisan saya yang mengkritik ulama itu. Dan saya sangat khuatir apakah Ahmad
Lutfi juga diminta berhenti itu disebabkan dua tulisan saya itu?
Sebenarnya kritikan terhadap ulama di dalam PAS itu bermula di sini – dalam
The Malaysian Insider ini, dengan tulisan berjudul Kepemimpinan ulama dan salah faham
mengenainya, terbit pada 5 Disember 2014. Diikuti dengan “Apabila
ulama kehilangan keyakinan diri” dalam Harakah 8 Disember; dan disusuli dengan
“Penjelasan Dinsman: Imej ulama tercalar” (judul yang diubah daripada judul
asalnya “Imej ulama sedang alami kerosakan besar”).
Saya bukan tidak menjangka yang tulisan itu akan menimbulkan semacam
kemarahan di pihak pimpinan tinggi parti tersebut. Dan saya pun bukanlah secara
tiba-tiba saja menulis kritikan tersebut. Perkara imej ulama yang tercalar di
dalam PAS itu sebenarnya bukan satu perkara baru. Ia sudah lama menjadi buah
mulut orang ramai. Sudah diperkatakan di mana-mana. Hanya barangkali ia tidak
sampai ke telinga pihak yang berkenaan saja.
Maka saya melihatnya sesuatu yang tidak harus dibiarkan begitu, kerana
khuatir ia akan menjadi bertambah buruk. Pihak tertinggi parti mesti tahu apa
yang sedang menjadi buah mulut ahli-ahli di peringkat akar umbi. Maka saya
memberanikan diri mengambil risiko untuk “berkata benar walaupun pahit”. Saya
mulakan dengan wacana yang agak umum, dan memfokus kepada isu lain, “Krisis MB
Selangor lebih rumit daripada isu Hudud?” (Harakah 15 September, 2014).
Seminggu kemudian melalui artikel “Apa sebenarnya PAS mahu sekarang?” (22
September, 2014), isu mengenai imej ulama yang merosot itu diperkatakan dengan
jelas. Dan pada 17 Oktober saya menyebutnya dengan lebih jelas lagi: “Pemimpin
tahu bila masanya dia harus berundur”, tetapi tulisan itu diolah agar
sasarannya kelihatan sesuatu yang umum dan tidak ditujukan kepada seseorang
pemimpin tertentu. Dan semua itu diterbitkan dalam kolum ‘Wacana Budaya’.
Pemberhentian wartawan Harakah yang dibuat secara sewenang-wenang itu juga
mendapat perhatian rakan-rakan dalam Seniman Paksi Rakyat (Paksi). Selama ini
Pakatan Rakyat termasuk PAS selalu mengkritik pihak penguasa Barisan Nasional
yang dikatakan tidak menghormati hak kebebasan bersuara, menggunakan Akta
Hasutan dan Akta Mesin Cetak secara sewenang-wenang dan sebagainya. Tiba-tiba
sekarang mereka pula yang bertindak buruk seperti itu.
Maka Paksi yang kebetulan sedang membuat persiapan untuk memulakan program
Baca Puisi Bulanan di Madrasah Seni (Jalan Gombak, Kuala Lumpur) pada 9 Januari
ini, mendapati waktunya sangat sesuai untuk menunjukkan solidariti kepada
rakan-rakan di Harakah tersebut.
Lalu diputuskan, di samping meraikan penyair Chan Yong Sin dengan antologi
puisi “Bebas” yang ditulisnya sewaktu dalam tahanan ISA selama 11 tahun itu,
majlis itu juga akan meraikan Ahmad Lutfi dan rakan-rakan wartawan Harakah yang
dianiaya.
Datanglah beramai-ramai kita menunjukkan semangat solidariti sambil
menghantar mesej kepada pimpinan PAS, khasnya pimpinan Harakah, supaya menyemak
semula tindakan mereka yang berkenaan, agar ia tidak menambah burukkan lagi
imej ulama PAS yang sudah tercemar itu.
Dan pada majlis itu juga Cikgu Ishak berharap agar dapat dibuat kutipan
derma untuk mangsa banjir di Kelantan yang mengalami kemusnahan rumah dan harta
benda dalam banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.
Jadinya, malam 9 Januari menjadi malam tiga dalam satu – pembacaan puisi
daripada antologi “Bebas” karya Chan Yong Sin; solidariti untuk Ahmad Lutfi dan
kawan-kawan di Harakah; dan derma untuk mangsa banjir di Kelantan. – 6 Januari,
2015.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak
semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
See more at: http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/himpunan-solidariti-untuk-kawan-kawan-di-harakah#sthash.8ydYT9pG.dpuf
No comments:
Post a Comment