Sunday, January 18, 2015

Garis sempadan seni-budaya dan politik





Dinsman (TMI siri 43, 20/0115)

Garis sempadan seni-budaya dan politik


Berikutan sidang media Seniman Paksi Rakyat (Paksi) 8 Januari lalu berhubung isu akhbar Harakah memberhentikan dua orang wartawan kanannya dan meminta Ketua Pengarangnya meletak jawatan, diikuti esoknya dengan persembahan Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) yang salah satu temanya ialah “Solidariti untuk kawan-kawan di Harakah”, beberapa orang kawan dalam Paksi sendiri menimbulkan soalan: apakah Paksi sedang mendedahkan dirinya di‘hijack’ oleh pihak lain?

Soalan itu barangkali juga timbul memandangkan kejayaan yang tercapai pada malam itu agak “terlajak laris” sambutannya. Malam itu merupakan percubaan Paksi menganjurkan program Baca Puisi secara tetap pada setiap bulan, dan malam itu adalah program pertamanya. Dirasmikan oleh tak-lain-daripada Sasterawan Negara/Sasterawan Rakyat A Samad Said.

Turut hadir kawan-kawan dari Kedah, Ahkarim; dari Johor Bahru, Amni Jagat; dan dari Melaka, Sharifah Asiah. Memang meriahnya di luar duga walaupun kumpulan Kompang Anak Remaja Kg Banda Dalam tak jadi beraksi malam itu disebabkan ada kematian di rumah berhampiran, di waktu siangnya.

Tidak perlulah saya sebutkan mengapa timbulnya rasa musykil itu di hati kawan-kawan yang prihatin – seorang daripadanya penyair veteran manakala seorang lagi penyair muda. Saya faham kemusykilan mereka itu berbeza asasnya, namun kedua-duanya berkongsi rasafikir yang sama, iaitu musykil dengan arah tuju Paksi seterusnya, berikutan hal-hal yang boleh menimbulkan rasa curiga itu.

Memang rasa curiga itu berasas, bagi mengingatkan ahli-ahli sebuah badan seni-budaya seperti Paksi, agar sentiasa waspada dengan prinsip kebenaran dan keadilan yang bersifat sejagat, sebagai prinsipnya.

Paksi pun jarang-jarang tampil dengan kenyataan umum melalui sidang media seperti itu. Sebelum ini hanya dua kali – pertama berkaitan isu novel Interlok, dan kedua berkaitan isu A Samad Said dipanggil polis kerana membaca puisi “Unggun Bersih” pada tahun 2011.

Kali ini Paksi hadir bersama dengan sebuah parti politik peringkat kawasan, iaitu PAS Kawasan Batu (Kuala Lumpur). Maka ada wartawan yang bertanya dalam sidang media itu – kenapa Paksi hadir bersama dengan PAS Batu? Satu soalan yang sangat wajar. Hanya dia tak mengatakan: kenapa Paksi terlibat pula dengan parti politik?

Ya, mengapa sebuah badan seni-budaya tampil bersama dengan parti politik? Apakah Paksi juga berpolitik kepartian? Jawabnya tidak, Paksi tidak berpolitik kepartian. Tetapi Paksi dengan PAS Kawasan Batu ada cerita lain. Ceritanya ialah disebabkan oleh suatu watak yang besar bernama Cikgu Ishak Surin, yang kebetulan menjadi Yang Dipertua PAS kawasan tersebut.

Dan beliau juga ialah Ketua Kampung bagi Kg Banda Dalam; Imam bagi surau Madrasah Tarbiyah; bekas pengasas suratkhabar Harakah; Ketua sebuah badan yang memperjuang-kan kelestarian kampung warisan – Muafakat; dan beberapa NGO lagi, yang terbaru ialah Bertindak, iaitu badan bertindak bagi mengembalikan pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur melalui undi pilihanraya.

Kami tertarik dengan watak Cikgu Ishak Surin itu pertamanya pada tahun 2010 ketika beliau dan orang-orang Kg Banda Dalam bangkit untuk mempertahankan kampung mereka daripada diambil oleh pihak Dewan Bandaraya untuk projek pembangunan yang terlibat dalam Draf KL 2020.

Paksi menganjurkan himpunan seniman dan budayawan bagi menyokong perjuangan orang-orang kampung tersebut, yang dipimpin oleh Ishak Surin. Sempena himpunan itu Paksi menerbitkan sebuah antologi puisi karya 56 penyair – iaitu puisi-puisi yang bertema kampung dan mengapa kampung di pinggir Kuala Lumpur perlu dipelihara sebagai warisan bangsa.

Dan sejak itu hubungan baik antara seniman-budayawan Paksi dengan orang-orang Kg Banda Dalam berterusan dijalin melalui pelbagai aktiviti seni-budaya. Ishak Surin tidak didlihat oleh Paksi sebagai pemimpin politik PAS, tetapi dilihat sebagai aktivis sosio-budaya yang masih giat-aktif walaupun usianya sudah lanjut, dan beliau menjadi ikon yang disegani dan diteladani kegigihan dan istiqamahnya dalam prinsip perjuangan.

Kebersamaan Paksi dan PAS Batu dalam mengadakan sidang media 8 Januari itu bukanlah demi politik, tetapi demi hak dan kebebasan bersuara. Nama PAS Kawasan Batu diangkat ialah kerana dipercayai itu akan memberi kesan yang lebih terhadap pihak pengurusan Harakah yang dikuasai oleh parti politik tersebut.

Dalam sidang media itu juga ada wartawan bertanya kenapa Paksi bersuara apabila Lutfi hendak diberhentikan Harakah, tetapi tidak ketika wartawan-wartawan di akhbar lain diberhentikan? Apakah kerana Lutfi itu bersaudara dengan Dinsman?

Ketika menjawab soalan itu saya mengakui bahawa Paksi memang lebih cenderong kepada parti-parti dalam Pakatan Rakyat, kerana Paksi lebih percayakan mereka dalam perjuangan untuk kebenaran dan keadilan. Dan sehubungan itu Paksi juga menganggap media mereka seperti Harakah adalah juga media bagi penulis dan budayawan yang sealiran. 

Paksi tidak bersuara ketika ada wartawan di akhbar lain diberhentikan kerana tidak percaya yang suara mereka akan memberi kesan kepada pihak akhbar lain itu.

Dan ada faktor lain lagi yang dimusykilkan oleh penyair muda berkenaan, yang barangkali merasakan badan penulis perlu bebas daripada penglibatan politik. Untuk itu Kassim Muhamad menjelaskan bahawa karya sang penulis perlu ada isinya. Dan dia bertanya apakah isi di dalam karya sastera cukup dengan hal-hal seni dan sastera sahaja tanpa penglibatan dengan isu dan permasalahan dari realiti kehidupan manusia itu sendiri?

Paksi adalah badan seni-budaya yang percaya kepada perlunya hal isi dan pengisian karya itu dijadikan sebahagian daripada aktivitinya. Bukan sekadar bersibuk dengan persoalan dan permasalahan seni dan sastera sahaja, tetapi juga dengan persoalan dan permasalahan manusia dan masyarakat yang menjadi sumber pengisian karya.

Makanya para seniman dalam badan penulis seperti Paksi perlu mempunyai kefahaman dan keyakinan diri yang kuat, agar tidak mudah terpengaruh atau dipengaruhi, bukan sahaja oleh parti atau agen-agen politik kepartian tetapi juga oleh pihak-pihak lain yang berkepentingan atau mempunyai kecenderongan yang berbeza.

Seniman dan budayawan (termasuk penulis), seperti juga ulama, perlu kenal dan faham mana yang baik dan mana yang jahat, juga mana yang benar dan mana yang bohong. Malah perlu mempunyai keyakinan diri yang kuat, agar tidak berasa takut untuk hadir atau melibatkan diri dengan politik dan orang-orang politik.

Sesi pertama BPMS 9 Januari 2015 membawa “Solidariti buat kawan-kawan di Harakah” sebagai temanya; manakala sesi kedua pada 13 Februari ini pula akan membawa tema “Solidariti buat Mejar Zaidi”, (di samping pelancaran novel “Nenek” karya Razali Endun).

Memang Mejar Zaidi bukan penyair, tetapi sikapnya yang berani berkata benar walau apapun risikonya itu perlu dihormati dan dihargai oleh para penyair dan seniman. Demikianlah Paksi menyatakan sikap dan komitmennya.

Mereka yang ingin menyatakan sikap dan solidariti yang sama – silalah hadir di Madrasah Tarbiyah, Jalan Gombak, pukul 9 malam. Kita berpuisi, menyanyi, bermuzik dan bersuara secara kita. “Kita buka bentangkan suara kebenaran melawan kepalsuan. Kita buka laungkan suara keadilan menentang kezaliman.”



No comments: