SANG Maha BER-BER
Ramai yang percaya
Islam itu penyelamat.
maka ramailah,
YA begitu ramai sekali
ramai-ramai mem-ber-BER
tentang ISLAM:
BERsyarah,
BERbincang, BERseminar,
BERforum, BERdebat,
segala macam BER-BER.
mereka BER-BER
apa saja ‘tentang Islam itu cara hidup’:
AD-Deen yang lurus
lagi selamat ― sirotulmustaqeem.
Dunia akhirat.
Percayalah, aku
juga yakin dan percaya
JIKA kumahu, aku
juga mampu memBER-BER
aku mampu jadi
hebat melarik tetopeng retorik menjadi hasrat
Aku, si fakeh bertopeng
ini adalah sang maha BER-BER agama.
II. Pengalaman temanku, Giyono
Percayalah, mesej
Islam kita bukan sekadar BER-BER.
apakah tidak
benar mesej pertama oleh setiap kita tentang Islam
adalah utas-utas
jala bocor keyakinan,
saban waktu
itu-itu jua yang kita berulang-ulang kali tebarkan
dan bukan semua
yang pertama itu indah-indah, molek-molek belaka;
pengalaman
pertama, parutnya membaham, cengkamnya maha dalam.
jika aku sangat
yakin dan percaya bahwa Islam itu sedap,
rakanku Giyono
di Universitas Gadjah Mada tahun 70an
TIDAK percaya.
Tidak percaya dia ― apatah lagi yakin
sesungguhnya durian
itu sedap.
baginya pengalaman
pertamanya adalah bukti sahih:
bahwa buah berduri-durian
itu tidaklah tersangat sedap
Maka puaslah
kami ― para rakan sekelas ― MemBER-BER:
berkempen,
berhujah, bercakap, bersyarah
perihal enaknya
ulas-ulas durian.
Giyono tetap
menolak!
Kami kecewa:
Kasihan, teman
kami Giyono tidak nikmati enaknya durian.
Aku pun turut
berhujah, “Ayuh Giyono, ono apo kue, ogah nie dureen separuh mati?” Kenapakah Giyono,
kamu ini separuh mati membenci durian?”
“Apakah kamu
tidak sedar, saking enaknya durian itu, ia digelar manusia TIMUR sebagai raja
segala buah-buahan?”
Berkatalah Giyono:
“Sim, jika ada
yang bersalah melihat sikapku terhadap durian, kau salahkanlah pengalaman
pertamaku mencicip durian!”
“Rasanya
sungguh tidak enak, bagiku rasa durian itu jauh lebih buruk daripada air
longkang walaupun aku belum pernah cicipi air longkang! Lama kemudian, baru kutahu durian yang pertama kali kucicipi
itu adalah durian bosok!!”
III Islam yang mahu mereka Melayukan
Jika Giyono serik
dengan pengalaman durian bosoknya,
aku juga serik
berdepan Islam yang juling amalnya.
maha kecewa aku
berdepan amalan Islam.
ia masih nyenyak
didodoi buai syarah dan teks.
Perhatikan
contoh-contoh berikut:
Mereka ― orang-orang
politik ―
saban waktu berlumba-lumba
mereka,
berebut-
berebut menjuarai Islam
maka jadilah Islam
itu piala,
piala pusingan,
piala rebutan,
piala pusingan
diperagakan.
Lebih malang, bangsaku
gemar menjadi hamba
sebagai hamba,
mereka pun bertuan.
Maka tuannyalah
menyediakan makan, pakai
dan keperluannya
berkelamin.
Bangsaku juga suka
bertenung nasib,
merengkuh
kebatinan,
bercita-cita
bermimpi ketemu Nabi,
lebih
ironis, bangsaku yang kaya metafora itu
juga punya cita-cita
besar:
maka selalulah
pintanya;
matikan daku di
dalam Islam.
IV Aku, wadah dan Islam
Sejak 60an aku
memujanya. Katanya, itu wadah Islam ― wujudnya
juga demi Islam
awal 70an aku tersedak,
terkedu melihat wadah Islam sekelambu, bercumbu-cumbuan.
80a awal sehinggga
dua ribuan, perih sengsaranya terus-terusan,
bangsaku diperkotakkatik, diperbodoh set-set ketuanan.
2008, 2013
gembiranya batin mencerap bening-bening sinar harapan
2015, ternyata wadah Islam kembali bermukah dengan
kekasih lamanya.
V Bangsaku, mahunya apa?
Entah mengapa
bangsaku ratibnya ‘asalkan Melayu’.
biarkan,
biarlah betapa hodoh, jorok jelek sekalipun, biarlah,
― biarkanlah ―
asalkan Melayu
biarkan,
biarkan, biarkan mereka menyamun
asalkan
Melayu!
mestikah
Melayu sesat dalam kitaran setan yang sama?
kenapakah
dulunya hamba, sekarang juga semestinya hamba?
apakah sekali
hamba, selama-lamanya semestinyalah hamba?
kenapakah Melayuku
― sang hamba tersohor itu ―
matinya mahunya
Islam?
Bangsaku
mahunya, bila mati
kelak biarlah Islam.
mahunya dalam-dalam
dalam Islam
semahu-mahunya
mahunya Islam
mahunya.
Bangsaku,
mahunya apa,
sebenarnya?
Melayukan
Islam?
Islamkan Melayu?
atau para
Melayu Islam?
mana satu
mahunya kita?
Kassim Muhamad
9 Januari 2015
(Sajak yang
tidak sempat dibaca malam BPMS (Baca Puisi Madrasah Seni) bil 1/15 kerana
terlalu ramai peminat yang mahu terlibat).
No comments:
Post a Comment