Showing posts with label puisi. Show all posts
Showing posts with label puisi. Show all posts

Wednesday, October 28, 2015

Tikus Tarbus







Tikus tarbus
(buat Razali Endun)


“Orang politik semuanya sama. Mereka hanya mahu kuasa!”
tak terhitung, entah berapa kali saudara kibar penyata
buatku, teman-teman Paksimu.
mulanya, tak yakin aku akan madah kelirumu
aku percaya, masih bersisa politikus lurus
di tengah gerombolan tikus;
politikus.


muncul Ular Serban   
Tikus Tarbus
Jengking Murka
di atas pentas,
membaca khutbah.


Razali
aku yakin
kau benar.


kassim muhamad.
28 Oktober 2015
kuala lumpur.


Tuesday, January 13, 2015

Sang Maha BER-BER





SANG Maha BER-BER  





Ramai yang percaya Islam itu penyelamat.

maka ramailah, YA begitu ramai sekali

ramai-ramai mem-ber-BER tentang ISLAM:

BERsyarah, BERbincang, BERseminar,

BERforum, BERdebat, segala macam BER-BER.   

mereka BER-BER apa saja ‘tentang Islam itu cara hidup’: 

AD-Deen yang lurus lagi selamat ― sirotulmustaqeem.

Dunia akhirat.



Percayalah, aku juga yakin dan percaya

JIKA kumahu, aku juga mampu memBER-BER

aku mampu jadi hebat melarik tetopeng retorik menjadi hasrat 

Aku, si fakeh bertopeng ini adalah sang maha BER-BER agama.





II. Pengalaman temanku, Giyono



Percayalah, mesej Islam kita bukan sekadar BER-BER. 

apakah tidak benar mesej pertama oleh setiap kita tentang Islam

adalah utas-utas jala bocor keyakinan,

saban waktu itu-itu jua yang kita berulang-ulang kali tebarkan    

dan bukan semua yang pertama itu indah-indah, molek-molek belaka;

pengalaman pertama, parutnya membaham, cengkamnya maha dalam.



jika aku sangat yakin dan percaya bahwa Islam itu sedap,  

rakanku Giyono di Universitas Gadjah Mada tahun 70an

TIDAK percaya. Tidak percaya dia ― apatah lagi yakin

sesungguhnya durian itu sedap.

baginya pengalaman pertamanya adalah bukti sahih:

bahwa buah berduri-durian itu tidaklah tersangat sedap



Maka puaslah kami ― para rakan sekelas ― MemBER-BER:

berkempen, berhujah, bercakap, bersyarah

perihal enaknya ulas-ulas durian.

Giyono tetap menolak!

Kami kecewa:

Kasihan, teman kami Giyono tidak nikmati enaknya durian.



Aku pun turut berhujah, “Ayuh Giyono, ono apo kue, ogah nie dureen separuh mati?” Kenapakah Giyono, kamu ini separuh mati membenci durian?”



“Apakah kamu tidak sedar, saking enaknya durian itu, ia digelar manusia TIMUR sebagai raja segala buah-buahan?”



Berkatalah Giyono:



“Sim, jika ada yang bersalah melihat sikapku terhadap durian, kau salahkanlah pengalaman pertamaku mencicip durian!”



“Rasanya sungguh tidak enak, bagiku rasa durian itu jauh lebih buruk daripada air longkang walaupun aku belum pernah cicipi air longkang!  Lama kemudian,  baru kutahu durian yang pertama kali kucicipi itu adalah durian bosok!!”





III Islam yang mahu mereka Melayukan





Jika Giyono serik dengan pengalaman durian bosoknya,

aku juga serik berdepan Islam yang juling amalnya.

maha kecewa aku berdepan amalan Islam. 

ia masih nyenyak didodoi buai syarah dan teks.



Perhatikan contoh-contoh berikut:



Mereka ― orang-orang politik ―

saban waktu berlumba-lumba mereka,

berebut- berebut menjuarai Islam 

maka jadilah Islam itu piala,

piala pusingan, piala rebutan,  

piala pusingan diperagakan.



Lebih malang, bangsaku gemar menjadi hamba

sebagai hamba,  mereka pun bertuan.   

Maka tuannyalah menyediakan makan, pakai

dan keperluannya berkelamin.

Bangsaku juga suka bertenung nasib,

merengkuh kebatinan,

bercita-cita bermimpi ketemu Nabi,

lebih ironis,  bangsaku yang kaya metafora itu

juga punya cita-cita besar:  

maka selalulah pintanya;

matikan daku di dalam Islam. 





IV Aku, wadah dan Islam



Sejak 60an aku memujanya.  Katanya, itu wadah Islam ― wujudnya juga demi Islam

awal 70an aku tersedak, terkedu melihat wadah Islam sekelambu, bercumbu-cumbuan.

80a awal sehinggga dua ribuan, perih sengsaranya terus-terusan,

bangsaku diperkotakkatik,  diperbodoh set-set ketuanan.

2008, 2013 gembiranya batin mencerap bening-bening sinar harapan

 2015, ternyata wadah Islam kembali bermukah dengan kekasih lamanya.









V Bangsaku,  mahunya apa?



Entah mengapa bangsaku ratibnya ‘asalkan Melayu’.

biarkan, biarlah betapa hodoh, jorok jelek sekalipun, biarlah,

― biarkanlah ― asalkan Melayu

biarkan, biarkan, biarkan mereka menyamun

asalkan Melayu!

mestikah Melayu sesat dalam kitaran setan yang sama?

kenapakah dulunya hamba, sekarang juga semestinya hamba?

apakah sekali hamba, selama-lamanya semestinyalah hamba?

kenapakah Melayuku ― sang hamba tersohor itu ―

matinya mahunya Islam?



Bangsaku

mahunya, bila mati kelak biarlah Islam.

mahunya dalam-dalam dalam Islam

semahu-mahunya mahunya Islam

mahunya.



Bangsaku,

mahunya apa, sebenarnya?

Melayukan Islam?

Islamkan Melayu?

atau para Melayu Islam?

mana satu mahunya kita?



Kassim Muhamad

9 Januari 2015



(Sajak yang tidak sempat dibaca malam BPMS (Baca Puisi Madrasah Seni) bil 1/15 kerana terlalu ramai peminat yang mahu terlibat).




Wednesday, June 25, 2014

Get the DEVIL!





Sir, Get THE devil while you can!


In the Village that rears, breeds anarchists 
monsters roam free, devils always amok,
lawlessness rules our days, prowls our nights,
yes, the stage manager appears kaput – purportedly insane


NO...NO...NO, stage master
you’ve to scourge that shit-stirring devil.
banish him for good as the filthiest of scums.
then, only then, the stage will own itself.


YES, NO, YES, NO? Stage master,  you can’t pretend!
you can’t,
you’re real, that mundane from within?
hence prefer burning the Village to remain safe?


NO, NO...NO!
my dear stage master,   
we don’t scorched our very own Village to ashes.
we prefer your one-way ticket to Hell!
else,  get that devil behind the stage,
GET him at all cost while you can!
before it’s too late to save your own skin.



Kuala Lumpur.
25 June 2014.

Tuesday, June 24, 2014

Apa dan bila?





Apa dan bila?


I

Apakah benar?

Apa benar mereka hanya bisa direntap lewat peti undi,
lima tahun sekali?

Apa benar kitalah rakyat kerdil, dhaif tidak terdaya itu?

Apa benar sia-sialah segala anjing menyalak bukit?

Apa benar merekalah penentu bagaimana kita berTuhan?

Apa benar ketam mahu mengajar anak berjalan betul?

Apa benar tamsil ― belakang parang diasah menjadi tajam?

Apa benar satyagraha bukti kukuh “lawan tetap lawan”?

Apa benar jasad terkurung,  jiwa merdeka lepas bebas?

Apa benar Tuhan ternama, maka namalah rebut-rebutan?

Apakah tidak benar ― kita dihenyak terperuk ke hujung dinding?



II


Bila lagi mahu “pelaksanakan kata-kata”?


Bila pulangkan segala gelar dan anugerah feudal itu?

Bila mahu belajar mimpi gelandangan marhaen?  

Bila berhenti takut, damba dan kemarukkan merdeka?

Bila lagi cerdik menyokong, perebah untuk ubah?  

Bila ― sampai bila ― mahu menadah tangan?

Bila berhenti malu-malu, maunya galak menyalak?

Bila ditajam belakang parang ditebang petualang?
  
Bila mahu nyaringkan seruan “Tuhan tidak pernah ekslusif”?

Bilakah mahu nyalakan api “elak-asing-sisih dan pulau” jembalang?

Bilakah dipecat segala hapak hanyir kekejaman?

Bila lagi mahu berfikir merdeka dan merdeka berfikir?

Bila mahu berhenti mengejar ajar segala ketam?

Bila mahu satyagrahakan roh dan kehidupan melawan?

Kenapa ― ya kenapa ― belum bangun dan lawan?



Kuala Lumpur, 24 Jun 2014