Tuesday, June 24, 2014

Apa dan bila?





Apa dan bila?


I

Apakah benar?

Apa benar mereka hanya bisa direntap lewat peti undi,
lima tahun sekali?

Apa benar kitalah rakyat kerdil, dhaif tidak terdaya itu?

Apa benar sia-sialah segala anjing menyalak bukit?

Apa benar merekalah penentu bagaimana kita berTuhan?

Apa benar ketam mahu mengajar anak berjalan betul?

Apa benar tamsil ― belakang parang diasah menjadi tajam?

Apa benar satyagraha bukti kukuh “lawan tetap lawan”?

Apa benar jasad terkurung,  jiwa merdeka lepas bebas?

Apa benar Tuhan ternama, maka namalah rebut-rebutan?

Apakah tidak benar ― kita dihenyak terperuk ke hujung dinding?



II


Bila lagi mahu “pelaksanakan kata-kata”?


Bila pulangkan segala gelar dan anugerah feudal itu?

Bila mahu belajar mimpi gelandangan marhaen?  

Bila berhenti takut, damba dan kemarukkan merdeka?

Bila lagi cerdik menyokong, perebah untuk ubah?  

Bila ― sampai bila ― mahu menadah tangan?

Bila berhenti malu-malu, maunya galak menyalak?

Bila ditajam belakang parang ditebang petualang?
  
Bila mahu nyaringkan seruan “Tuhan tidak pernah ekslusif”?

Bilakah mahu nyalakan api “elak-asing-sisih dan pulau” jembalang?

Bilakah dipecat segala hapak hanyir kekejaman?

Bila lagi mahu berfikir merdeka dan merdeka berfikir?

Bila mahu berhenti mengejar ajar segala ketam?

Bila mahu satyagrahakan roh dan kehidupan melawan?

Kenapa ― ya kenapa ― belum bangun dan lawan?



Kuala Lumpur, 24 Jun 2014

    


No comments: