http://www.themalaysianinsider.com/opinion/dinsman/article/pemikiran-sekitar-nik-aziz-selepas-pemergiannya
Pemikiran sekitar Nik Aziz
selepas pemergiannya
Dinsman
Published: 18 February 2015
Dia seorang pemimpin ummah bagi zaman ini. membangunkan sesuatu yang sangat
berharga di negeri Kelantan, sebagai model untuk dunia. Juga menyiapkan tafsir
al-Quran dengan pendekatan baru, yang kalau dibukukan kuliah-kuliah berkenaan
akan menjadi beberapa jilid, duduk sebaris dengan Tafsir Syed Qutb, Tafsir Ibn
Kathir, Tafsir Qurthubi dan lain-lain.
Tetapi sayangnya – para pimpinan partinya sendiri (PAS) tidak dapat membaca
mutiara kebaikan yang mereka sendiri cari sekian lama, lalu matlamat perjuangan
yang berjaya dicapai oleh Tok Guru Nik Aziz, iaitu sebuah pentadbiran kerajaan
Islam dalam suasana dunia moden abad ke-21 ini, dibiarkan begitu saja sedangkan
mereka asyik berpolitik dan bersaing sesama sendiri untuk merebut jawatan tanpa
memahami/menghayati matlamat perjuangan politik mereka sendiri.
Maaflah kalau saya seperti bersuara sumbang dan sumbing, menyatakan secara
yang barangkali dianggap kasar oleh sesetengah pihak yang mungkin beranggapan
waktunya amat tidak sesuai untuk menyuarakan perkara seperti ini.
Tetapi entah mengapa saya pula terasa hendak menyatakannya pada saat ini.
Ketika tubuh Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat baru saja disemadikan di
perkuburan Pulau Melaka kira-kira pukul 11.30 pagi, Jumaat, 13 Februari 2015.
Kita menghormati Tok Guru Nik Aziz bukan dengan berpantang dan memendamkan
pemikiran untuk mengangkat dan memajukan idea dan hasil jihadnya selama ini. Ya
memang aktiviti riuh seperti Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS) yang dijadualkan
pada malam 13 Februari itu (Solidariti dengan Mejar Zaidi) kita batalkan, untuk
dibuat ganti pada 27 Februari.
Tetapi pemikiran seperti mempersoalkan kenapa sistem pentadbiran unik Nik
Aziz yang dibinanya secara beransur-ansur selama 23 tahun dia menjadi menteri
besar itu tidak direkod-susun dalam bahasa pengurusan moden dan diangkat
sebagai bukti suatu kejayaan dan pencapain besar seorang pemimpin Islam abad ini
– tidaklah perlu didiamkan.
Ini bukan pertama kali perkara ini disuarakan. Sebelum inipun berulang kali
saya suarakan perkara ini. pentadbiran Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik
Aziz sebagai menteri besar sejak 1990 itu adalah suatu pencapaian besar.
Pentadbiran Kelantan oleh Tok Guru Nik Aziz itu adalah model pentadbiran
kerajaan Islam yang selama ini diperjuangkan oleh para pejuang Islam di seluruh
dunia. Tok Guru Nik Aziz berjaya membangun dan melaksanakannya di Kelantan.
Amat menghairankan saya – kenapakah selama ini para pemimpin atasan PAS
sendiri tidak pernah mengangkatnya. Tidak pernah menyebutnya sebagai suatu
kejayaan dan pencapaian penting dalam perjuangan PAS.
Apakah lagi yang mereka perjuangkan (apakah lagi yang mereka cari) kalau
apa yang dicapai oleh Tok Guru Nik Aziz itu tidak mereka iktiraf sebagai satu
pencapaian besar? Tidak mereka iktiraf sebagai model pentadbiran kerajaan
Islam?
Kerana ia tidak sempurna. Kerana masih terdapat kekurangan dan kelemahan di
sana-sini. Apakah itu sebabnya? Ya, itulah sebabnya. Itulah pemikirannya.
Dan itu pemikiran yang sangat dhaif. Bukan sahaja dhaif tetapi salah.
Bilakah pernah ada sebuah kerajaan Islam yang sempurna? Yang sempurna itu
hanyalah teori-teori di dalam buku sahaja. Apabila dilaksanakan memang tidak
pernah ada yang sempurna
Dan saya bimbang ada faktor lain lagi, iaitu faktor tidak mahu mengiktiraf
kebolehan dan pencapaian sesama sendiri, atau sesama saudara sendiri. Kenapa
jadi begitu? Saya pun tak faham.
Waktu Terengganu diperintah oleh PAS dulu, berikutan kemenangan dalam
pilihan raya 1999, sejurus apabila PAS membentuk kerajaan saya pernah bertanya
kepada Ustaz Harun Taib waktu itu, apakah Terengganu akan mengikut cara
pentadbiran yang dijalankan oleh PAS di Kelantan? Anda tahu apa jawapannya?
Sangat mengejutkan. “Jangan bandingkan Terengganu dengan Kelantan!”
Begitu juga apabila Kedah ditadbir oleh PAS berikutan kemenangan dalam
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12. Menteri Besar Ustaz Azizan Razak pernah ditanya
soalan yang kira-kira sama – apakah Kedah juga akan melaksanakan beberapa
peraturan Islam seperti yang dijalankan di Kelantan? “Kedah tak sama dengan
Kelantan….” – jawabnya.
Dinafikan terus kemungkinan untuk mengiktiraf pencapaian di Kelantan itu
sebagai pencapaian bersama bagi seluruh jemaah PAS. Mengapa? Mengapa begitu
halnya? Padahal ini di dalam sebuah daerah geografi-budaya-politik-ekonomi yang
sama, di dalam sebuah negara yang sama.
Maka apatah lagi untuk melihat persetujuan dan persefahaman yang demikian
itu di kalangan umat Islam yang tinggal di negara-negara yang berbeza. (Tidak
hairanlah mengapa umat Islam di dunia tak dapat bersatu, ya!)
Faktor tidak mahu mengiktiraf pencapaian sesama sendiri ini, saya fikir ini
satu faktor penting yang menghalang umat Islam melangkah maju ke depan pada
hari ini. Nampaknya seperti remeh dan kecil sahaja, tetapi saya percaya ia
mempunyai akar psikologi yang kuat mencengkam di lubuk hati dan minda bawah
sedar di kalangan kita. Maka ia perlulah diberi perhatian serius, dan perlu
diatasi.
Perkara kedua yang disebut di atas ialah mengenai usaha membukukan tafsir
al-Quran yang selesai dikuliahkan oleh Tok Guru Nik Aziz seluruh 30 juz itu.
Ini pun satu pencapaian besar oleh personaliti yang mentadbir Kelantan selama
23 tahun.
Tafsir dengan pendekatan baru dalam suasana masyarakat sekeliling yang
didominasi pemikiran sekular, dengan pentafsiran seorang yang mempunyai kuasa
politik dan sedang melaksanakan pentadbiran mengikut syariat di sebuah negeri
yang ditadbirnya. Belum ada lagi kitab tafsir yang seperti ini.
Maahad ad-Dakwah wal-Imamah, Nilam Puri, pernah mengusahakan pembukuan
tafsir Surah Hud dan Surah Yunus (1998), dan Mashhudi Bunyani mengusahakan buku
Surah at-Taubah (1999). Barangkali maahad tersebut, walaupun sudah bertukar
nama, patut mengambil inisiatif meneruskan usaha yang sangat diperlukan ini.
Legasi ketiga Tok Guru Nik Aziz selain sistem pentadbiran kerajaan Islam
zaman moden dan tafsir al-Quran, ialah keperibadiannya sendiri yang serba
sederhana dan zuhud, serta bersikap terbuka terhadap sesama manusia yang
pelbagai kaum, pelbagai agama dan juga pelbagai watak.
Kini dia sudahpun pergi, dan tak akan kembali lagi. Pergi buat
selama-lamanya, dan tidak akan ada lagi teguran atau nasihat daripadanya untuk
kita. Tarikh 12 Februari 2015 (22 Rabi’ul Akhir 1436) jam 9.40 malam, itulah
saatnya dia bertolak menuju ke alamnya yang baru, setelah berjaya menjalankan
tugas dan tanggungjawab sebagai insan khalifah Allah di bumi yang sementara ini.
Selamat dan sejahteralah dia di alam barunya! Tinggal kitalah sekarang,
masih memikul tugas dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan, sebelum tibanya
saat teristimewa itu untuk kita pula.
Mengenangnya – maka saya terfikirkan dua perkara tersebut, yang berulang
kali saya nyatakan kepada pihak-pihak berkenaan, juga saya tulis pun berulang
kali, agar ada di kalangan pihak-pihak berkenaan itu yang terfikir dan terasa
ingin menghargai jasa Tok Guru Nik Aziz, lalu bersetuju berusaha ke arah
merealisasikannya. – 18 Februari, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak
semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment