Thursday, June 9, 2016

Labu

Labu
(bukan angan-angan tikus)

 

Ketika aku membelimu di pasar awam, isteriku cepat berpesan," Pilih yang cukup tua. Jika boleh, yang halus isinya."

 

Kini dalam bakul kau menggeletak. Entah kenapa, tiba-tiba timbul pula pelbagai keinginan:

Terasa ingin sekali mengecatmu menjadi mural paling menyala dan meriah di seluruh bandar ( mengalahkan kuala kubu baru, kkb).

 

Namun hati juga ingin mau mengecatmu betul-betul seperti badut berhidung merah itu. Tapi, teringat pula pada nasib yang sedang menimpa Fahmi Reza. Apakah kamu juga badut?

 

Lalu teringat, pada Cindralela yang masih tak punya kenderaan ke pesta DiRaja.

Nah! kan kusulap kamu menjadi kereta kuda tercantik di alam ini.

Biar Cindralela cepat-cepat dapat laki orang kaya lagi berpangkat!

 

2.0

 

" Bang, labunya dah siap dikupas??"

 

 

Kassim Muhamad.
Pengkalan Lebai Man, Sungai Petani, Kedah.

 

 

Sunday, June 5, 2016

Perlukah diukur?



Perlukah diukur?

(To measure or not to measure?)


Mahu cari cara mengukur sesuatu yang tidak ketara (intangibles)? Sebuah peribahasa Melayu yang berbunyi “ukur baju di badan sendiri” mungkin boleh dijadikan petunjuk bagaimana kita melakukannya. Mungkin.  Mengikut portal Dewan Bahasa dan Pustaka, peribahasa ini bermaksud “menentukan baik buruk perbuatan orang berdasarkan perasaan sendiri”. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=badan%20sendiri&d=11    


2.0

Adakah kaedah menggunakan perasaan sendiri cukup baik dan sesuai untuk mengukur pencapaian sesebuah NGO sastera-budaya seperti Seniman Paksi Rakyat, PAKSI? Agaknya apakah petunjuk yang dapat digunakan untuk mengukur sejauh manakah Paksi telah mencapai matlamatnya?

Sebelum itu ada satu soalan. Sebagai sebuah NGO kenapakah kita bersusah payah mahu mengukur pencapaian kita?  Bukankah lebih penting jika kita buat apa yang ingin kita buat daripada membuang masa mengukur?  Bukankah satu kerja yang tidak begitu bermanfaat jika kita sibuk dengan ROI (Return Of Invesment)?

Jadi kenapa mengukur?
Inilah soalan yang perlu dijawab sebelum kita mengukur.
Perlukan kita mengukur ‘kerja buat’ kita?

Persoalan di atas adalah di antara agenda kami dalam mesyuarat AJK Paksi.

Jika ada dalam kalangan tuan/puan pembaca yang arif dengan persoalan mengukur yang tidak ketara (measuring the intangibles), mohon komen.  Kita ingin belajar,




Friday, June 3, 2016

Lebai dan pertimbangannya




Lebai dan pertimbangannnya




Lebai Garang telah membuat keputusan untuk hadir mera’ikan kenduri berkhatan satu-satunya anak lelaki Jusoh Tukang Rumah di muara sungai. Lebai sedar dengan membuat pilihan ini, dia bakal menongkah arus. Air sungai sedang pasang besar.

Ini bermakna kenduri tujuh-hari-tujuh-malam Man Lawa di hulu sungai akan Lebai Garang kemudiankan. Man Lawa bukan saja kaya raya tapi besar pengaruhnya dalam kampung. Bagi Lebai tidak bakal susut sedikit pun kemeriahan pesta pernikahan puteri Man Lawa jika dia tidak hadir.

(ps: Teks asal menceritakan ‘nasib’ Lebai Malang.  Dorongan yang mempengaruhi pertimbangannya dalam memilih kenduri mana diberikan keutamaan, merugikan dirinya. Ayuh, mari kita tulis semula teks-teks silam dengan nafas yang berbeza.)




Friday, February 12, 2016

Seekor LIPAS, sezarah kepercayaan






Seekor LIPAS, sezarah kepercayaan

Ini pagi yang aneh. Sungguh, suatu pagi yang pelik sekali.
Bakul sampah di dapurku penuh sisa-sisa makanan.
Dan kutemui seekor lipas merayap-rayap; menadah tempurung.

Setelah sekian lama berpandangan, kami pun berbicara:

AKU: Kau cari apa?

Ia diam. Mata bergandanya bersinar-sinar terus.
Dan tempurung diangkatnya, tingi-tinggi.

AKU: Kau cari apa?
Ia tersedu-sedu.

LIPAS: Sekalian serangga TIDAK lagi percaya aku ini LIPAS. Apa kau tidak kasihan akan aku?

AKU: Kau mahu apa?

LIPAS: Mohon bantuanmu. Kau penuhilah tempurung ini dengan zarah-zarah kepercayaan. Aku malu. Sekarang aku menanggung malu yang teramat sangat. Aku malu terus hidup sebagai seekor LIPAS. 

LIPAS yang defisit kepercayaan.

Ia terus menangis; tempurungnya ditadah tinggi-tinggi. Ia terus menangis dan menangis.
Tidak sampai hati pula melihatnya terus meratap, meratap dan meratap dan menangis. Akhirnya kubulatkan tekad. Ia perlu kubantu.

Lalu kujuihkan muncungku ke arahnya. Ia menghampiriku dan kami pun berpelukan. Kami bercium panjang. Cium derma keyakinan yang paling panjang dan sangat lama yang pernah kuberikan dalam hidupku.

Hah, LIPAS itu sudah kuberikan sezarah kepercayaan.

Akhirnya, dengan segala tabik hormat, ia pun pergi penuh kegembiraan.

Maka berkatalah seekor LIPAS, "Terima kasih Bro. Aku masih seekor lipas yang dipercayai."

Tirai pagi pun ditutup.



(Mohon maaf kerana terlalu lama kau kutinggalkan. Apakah lelangit Barajiwa kini penuh dengan sesawang?)



 

Tuesday, November 24, 2015

Belajar dari Ngarrindjeri elder Tom Trevorrow





Belajar dari Ngarrindjeri elder Tom Trevorrow

“The approach of Traditional Owners to caring for the natural landscape, including water, can be expressed in the words of Ngarrindjeri elder Tom Trevorrow: “our traditional management  plan was don’t be greedy, don’t take any more than you need and respect everything around you. That’s the management plan — it’s such a simple management plan, but so hard for people to carry out.” 

This traditional philosophy is widely held by Traditional Owners and respected and supported by the Murray-Darling Basin Authority.”
Petikan di atas digunakan oleh the Murray-Darling Basin Authority, sebuah institusi yang mengurus lembangan sungai Murray-Darling di Australia; Ia menjadi contoh atau model  pengurusan lembangan sungai bertaraf dunia.  

Buah fikiran dan pandangan Orang Lama Ngarrindjeri, seperti elder Tom Trevorrow seorang asal Australia telah diambil untuk dijadikan falsafah asas kepimpinan sebuah institusi yang berjaya seperti Pihak Berkuasa Murray-Darling. Pandangan Elder Tom Trevorrow penuh kebijaksanaan yang sukar ditandingi itu menjelaskan masalah sebenar kita manusia ketamakan. Jika manusia dapat mengawal diri supaya tidak tamak banyak masalah kita dapat diselesaikan dengan mudah.

Untuk sebuah masa depan Malaysia yang selamat, kita tentu mahukan hal-hal seperti kepimpinan yang baik ini direnung dengan serius, mendalam dan bersungguh-sungguh oleh orang-orang yang sentiasa bergulat dengan kuasa iaitu orang-orang politik.  Mereka yang bakal memerintah Malaysia ini mestilah sedar bahawa demi masa depan negara ini, agenda sempit berteraskan pemikiran bahawa hayat politikku ialah lima tahun sahaja mestilah dikikis habis. Orang-orang politik kita mestilah besar jiwanya.  Mereka yang beria-ia dan bercita-cita mahu menerajui sebuah negara tentulah punya idealisme murni untuk diterjemahkan. Jika ingin pelajari caranya, sila teliti buah fikiran orang lama, seorang asal benua Australia elder Tom Trevorrow:

Pelan pengurusan silam kita ialah jangan jadi TAMAK.

Apakah pihak Oposisi kita mampu ikuti landasan pemikiran ini, lama sebelum PRU14?

Sebenarnya ini juga adalah sebuah komponen tekad budaya.




Tuesday, November 10, 2015

KITA semua asesori SATU JAMBAN?











Jamban dan asesorinya


‘Perasan’ berasal dari kata dasar ‘rasa’; ia menceritakan tentang emosi dan perasaan seseorang itu.

 ‘Perasan’ sepatah kata yang kerap digunakan di Utara semenanjung. Sejak kecil lagi; sejak lahir, membesar dan belajar di Kedah, saya kerap mendengar orang-orang Kedah menggunakannya.  Ia membawa maksud megah dan berasa bangga.

2.

Setiap kali memasuki bilik air, saya terpandang asesori pembersih bilik air (dan tentunya untuk jamban juga) ini. Tanpa alat-alat ini, kita tahu apakah akibatnya.

Tidak ada sesiapa yang waras dapat menidakkan peranan, fungsi serta tanggungjawab alat-alat ini untuk sebuah bilik mandi dan untuk sebuah jamban.


3.

Pegawai-pegawai besar awam, para pemimpin institusi, para jaguh NGO, para jurucakap agama, para hakim, para ahli rumah undang-undang, para bijak bistari universiti, para jaguh silat tapi tidak termasuk para parasit yang tinggal dan membesar di atas segala macam para tentulah ada peranan dan tanggungjawab masing-masing untuk negara ini dan ummah?

Sayang sekali, ramai sekali yang masih perasan bahawa mereka sangat hebat dan berguna.
Maka saya pun teringatkan asesori jamban ini.


4.

Apakah mereka segala para ini juga seperti segala asesori di bilik airku itu?
Setiap kali aku memasuki bilik air, kuterbayangkan wajah segala para.
Apakah jawapan kalian kepada cucu cicitmu nanti?

Kita sudahpun tenggelam dalam kemelut.
Kalian masih lagi dengan dongeng
Kalian masih jua ayem:
Maka hiduplah mereka sekalian
aman damainya
sehingga
ke anak
cucu.


Why must you be part of a jamban?