Sunday, September 27, 2009

'Budayawan Bertindak' menyokong Pak Samad




Artikel 'Wacana Budaya' Dinsman (Harakah Bil. 1475, 28 Sept - 1 Oktober 2009)

Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP) dengan begitu cepat sekali bertindak menganjurkan sebuah majlis baca puisi khas, “Bahasa Jiwa Bangsa” (dalam siri “Puisi Di Ambang Sore”), sebagai menyahut cadangan daripada Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) agar diadakan acara bagi menyatakan sokongan terhadap perjuangan Sasterawan Negara A Samad Said, bagi mendaulatkan kembali bahasa Melayu di negara ini.

Kita semua tentu sudah sangat maklum akan pendirian SN Samad Said sejak bermulanya gerakan yang dipimpin oleh GMP atau Gerakan Mansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) awal tahun ini. Selaku Penasihat GMP, sejak turun ke jalan raya dan menghidu gas pemedih mata dan sesak nafas dalam himpunan 100 ribu rakyat menentang PPSMI pada 8 Mac, Samad Said tidak pernah lagi memandang ke belakang.

Dari masa ke semasa, kenyataannya semakin lantang menyatakan komitmennya untuk perjuangan bahasa, “biar sampai ke akhirat” katanya. Sesiapa sahaja pemimpin yang cuba meminggirkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di negara ini, dianggapnya sebagai pengkhianat yang mesti dijatuhkan.

Dan dia sendiri telah berjanji akan meneruskan perjuangan ini, dengan menggunakan saluran-saluran yang penting termasuk saluran politik dan pilihanraya, bagi memastikan kerajaan yang mengkhianati bahasanya (dan identiti negara-bangsa ini), tidak akan dipilih lagi, sebaliknya diganti dengan kerajaan baru yang lebih peka terhadap kedaulatan bahasa Melayu.

Komitmen Samad Said ternyata sudah jauh melampaui komitmen seni dan sastera yang menjadi pegangan dan pendiriannya selama ini. Komitmennya kini tidak lagi terbatas kepada ruang daerah seni dan sastera sahaja, tetapi telah mengalir juga ke ruang daerah lain, bersama-sama dengan rakyat yang sekian lama menjadi bahan dan sumber inspirasi seninya.

Inilah dia komitmen budaya seorang seniman dan budayawan besar milik bangsa dan negara ini. Maka kita haruslah berbangga dengannya. Bahawa dia telah menjadi simbol perjuangan budaya kita. Inilah yang dirasakan oleh beberapa orang seniman dan budayawan di dalam Paksi dan juga yang bersahabat dengan Paksi, lalu membawa mereka bertemu di Rumah Pena pada petang Ahad 6 September lalu.

Seramai 11 orang seniman dan cendekiawan yang bertemu menjelang saat berbuka puasa dengan e-Sastera di Rumah Pena itu, bukan sahaja telah bersetuju untuk menyambut komitmen perjuangan A Samad Said, dengan merancangkan beberapa aktiviti yang sesuai, tetapi mereka juga bersetuju untuk bergabung tenaga dan suara secara berterusan, bagi menyatakan kehadiran seniman dan cendekiawan dalam arus kehidupan masyarakat Malaysia hari ini.

Buat sementara ini, atas cadangan Prof Emeritus Abdullah Hassan, mereka menamakan kumpulan mereka yang tiga orang daripadanya dari kaum Cina itu sebagai “Budayawan Bertindak”. Suatu nama yang cukup sesuai dengan kesedaran di kalangan mereka – bahawa golongan budayawan-cendekiawan tidak sepatutnya berdiam diri membiarkan golongan politikus dan bisnesmen sahaja menentukan arus pembangunan dan perubahan dalam masyarakat, tetapi mereka juga perlu bertindak aktif dalam arus kehidupan tersebut. Ya, ‘Budayawan Bertindak’!

Berita dan wacana bahawa perjuangan SN A Samad Said perlu diberi sokongan itu disebar juga kepada kawan-kawan di luar Kuala Lumpur. Aktivis teater di Trengganu yang telah menghasilkan puluhan karya, Wan Ahmad Ismail, yang kebetulan datang ke Kuala Lumpur, memberi sambutan yang sangat menggelorakan.

Manakala di utara, Anuar Asmadi (Ketua Satu 2PNP), seperti yang diceritakannya dalam tulisannya di Harakah Bil.1474, 18 Sept, ms F22: “Lantas saya pun hubungi beberapa teman di Pulau Pinang seperti sasterawan Azizi Hj Abdullah, Marzuki Ali (ahli cipta USM), dan Azmi Hamid (Presiden Teras). Mereka memberi jawapan yang positif dan meminta 2PNP merencanakan satu kegiatan…”

Itulah dia – “Baca Puisi Di Ambang Sore” dengan tema “Bahasa Jiwa Bangsa” akan diadakan di Laman Ilmu, Masjid Batu, Permatang Pauh, pada petang 3 Oktober. Ini memang di luar perancangan kumpulan 11 yang menamakan diri mereka “Budayawan Bertindak” tadi. Tetapi itulah dia – sesiapa sahaja budayawan yang mahu bertindak, maka mereka pun adalah juga “Budayawan Bertindak”. Bukankah begitu?

Azmi Abdul Hamid, Presiden Teras itu, malah menyatakan minatnya yang sangat besar terhadap gagasan ‘Budayawan Bertindak’ ini. Dia malah mencadangkan supaya “geng 11” yang membuat inisiatif Budayawan Bertindak di Kuala Lumpur itu turun ke Permatang Pauh pada 3 Oktober, meraikan majlis baca puisi anjuran 2PNP yang mempunyai tujuan yang sama. Dan kemudian sama-sama pula membincangkan tindakan ‘Budayawan Bertindak’ yang selanjutnya.

Menarik, memang menarik. Komitmen berani yang dibuat oleh SN A Samad Said itu nampaknya telah menggerakkan minda dan rasa-sedar ramai kawan-kawan seniman, sasterawan, budayawan dan cendekiawan. Kalaulah ini suatu petanda akan bermulanya suatu gerakan kebudayaan baru dalam masyarakat kita….

Apa pun, biarlah kita jangan terlalu cepat memasang angan-angan dan imaginasi yang belum tentu bagaimana jadinya lagi. Wan Ahmad Ismail mungkin sedang bersama dengan kawan-kawannya di Kuala Trengganu mengaturkan satu acara seni-budaya yang sesuai bagi menyambut cabaran yang dilontarkan oleh A Samad Said itu.

Manakala di Selangor Dr Ibrahim Ghafar mungkin juga sedang melakukan hal yang sama. Dan begitu juga dengan Lee Ban Chen, kolumnis Malaysiakini yang percaya dan menulis dalam bahasa Melayu, barangkali sedang merancangkan sesuatu dengan kawan-kawannya Goh Kean Seng dan Wong Chun Nam.

Biarlah semuanya bergerak sesuai dengan kemampuan dan kepakaran masing-masing. Dan sementara itu sesiapa yang teringin hendak bersama-sama dengan gerak pertama ‘Budayawan Bertindak’ pada 3 Oktober ini, mereka bolehlah datang ke Masjid Batu, Permatang Pauh, solat Asar di situ, dan jumpa kawan-kawan. Dan kalau ada apa-apa kemusykilan, bolehlah berhubung terus dengan Ketua Satu 2PNP, Anuar Ahmad, telefon 019-5626982.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel
dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)



No comments: