(I)
Kalaulah nama-yang-cukup-besar-lagi-menggerunkan dalam arena politik tanah air kita itu (setelah ini npb) dapat membayangkan bahawa tindakan regimnya terhadap Lim Guan Eng dalam peristiwa cucu@korban seorang penguasa besar Melaka itu bakal membawa persahabatan kental di antara Guan Eng-Mat Sabu, mungkin npb berfikir-fikir panjang sebelum menggunakan undang-undang untuk ‘mengamankan’ Guan Eng. Perilaku songsang untuk membungkam dan mendera musuh politik yang mengguriskan nurani ramai rakyat jelata terlalu sukar dinyahkan begitu saja: Seperti menghalau lalat yang hinggap di atas bahu. Dan bagi saya peribadi peristiwa tragis itu meningkatkan iltizam bahawa ‘kebijaksanaan’ penguasa seumpama ini tidak boleh dibiarkan berlalu begitu saja. Paling tidak kita ada talian aduan on-line kepada Maha Pencipta untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Kita tidak boleh membiarkan siri-siri kekejaman seperti itu berterusan tanpa berbuat apa-apa.
(Dalam konteks ini saya sering tertanya-tanya apa agaknya pandangan para pembaca Utusan Malaysia, para pengheret kepala lembu, para pembakar semangat ketuanan Melayu dan kelompok-kelompok lain yang sekelas dengannya ..? Ya, pandangan mereka yang ikhlas tatkala melihat orang yang bangun mendedahkan peristiwa Melaka itu dihumban ke dalam penjara? Adakah mereka akur bahawa tindakan nph itu benar? Atau mereka tidak setuju tetapi memilih untuk berdiam diri? Atau apakah mereka tidak sama sekali peduli kerana Guan Eng itu seorang Cina DAP?)
(II)
Dalam episod penutup teater ‘Menunggu Kata Dari Tuhan’ (MKDT) yang diiringi gesekan biola menyentuh jiwa oleh Sani Sudin, Mat Sabu mengungkapkan bagaimana teater sebagai salah satu cabang seni, mampu membawa mesej universal tentang kemanusiaan. Maka dicadangkan upaya agar pelbagai peristiwa besar dari pelbagai budaya seperti Umar Abd. Aziz, festival kueh bulan, moon cake festival, pemuda Al-Kaffi, Habil dan Qabil misalnya diangkat dalam bentuk teater untuk tontonan rakyat.
Itulah lakaran denai MKDT sehingga ini. Ia telah memasuki dua buah masjid, singgah di pelbagai pentas, hadir dalam pelbagai dewan dan berdiri di tanah nan lapang untuk menemui rakyat jelata. Kelmarin Rabu, 16 september 2009 MKDT telah mencipta sejarah dengan memasuki pentas rasmi Kerajaan Pulau Pinang, merayakan tarikh keramat 16 September Malaysia. Semua ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa persahabatan dan hubungan peribadi yang istimewa Guan Eng-Mat Sabu.
Kami dari Paksi sangat berterima kasih kerana memungkinkan seni dan budaya hadir dalam kalangan khalayak dalam wajahnya yang polos tanpa lipstick yang dipaksa-paksa lagi amat hodoh itu: Lipstick propaganda.
Terima kasih para birokrat organisasi dan individu. Terima kasih Datuk SUK Pulau Pinang dan staf beliau yang baik hati dan mengerti. Azizi Abdullah, Annuar Asmadi, Sdr Radzi ...dan teman-teman lain, terima kasih. Kita telah sama-sama memperkukuhkan lagi jambatan itu.
No comments:
Post a Comment