Saturday, September 26, 2009
Perihal Pokok Pinang dan Kambing
Dalam sejarah persekolahanmu, pernahkan tuan dengar kisah pelajar yang gagal mata pelajaran bahasa kerana karangannya, katanya terkeluar tajuk? Ertinya lain yang ditanya, lain pula yang dijawab. Ini semua boleh saja berlaku kerana pelbagai sebab: Terlalu gopoh atau mungkin tidak cermat memahami soalan. Mungkin.
Lain pula pesan nakal teman sebaya kami tatkala di sekolah menengah dulu itu. Bunyi pesanannya begini: Katakanlah kamu ditanya tentang pokok pinang tetapi kamu lebih arif dan gemar sekali dengan kambing-kambingmu. Usah risau kamu boleh mulakan saja karanganmu kira-kira begini. “Datukku ada caranya yang tersendiri menandakan batas sempadan kampung kami. Di sepanjang sempadan kampung kami, datuk tanami pokok-pokok pinang. Biasanya pokok-pokok pinang itulah tempat kuikat kambingku sebelum aku keluar bermain. Kambingku tiga ekor semuanya, dua betina satu jantan....” Nah kau ceritalah tentang kambingmu yang sangat akrab denganmu itu.
Apabila blog Raja Petra, Malaysia Today mempamerkan kertas kabinet berhubung skandal PFZ yang tersohor itu, para pemimpin kita menjadi kalut dan marah-marah: Bagaimanakah dokumen sesulit itu boleh bertaburan di alam maya? Siapakah yang cirit birit? Bagaimana? Ya, bagaimana? Para pelaku sewajarnya dikenakan hukuman keras di bawah OSA, jerit para penguasa kita. Seorang bekas panglima DSAI pernah terhukum kerana perbuatan yang sama. Dan pahlawan itu pun diamankan kerana didapati terlalu celupar membocorkan bahan-bahan sulit yang boleh diOSAkan itu. Dan khabarnya lagi.... kos PFZ ini belum seberapa jika dibandingkan dengan Bakun.
Kita tidak tahu apakah para aparat pemerintah-yang-setianya-entah-seperti-apa-itu pernah mendengar nasihat teman saya itu: Kau ceritakan saja tentang kambingmu. Bukankah itu subjek yang paling kau minati?
Dirgahayulah wahai negaraku, 1Malaysia yang tercinta!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
sdra barajiwa,
rasanya banyak lagi akan bertabur dan bertabur itu bukan seperti kacang putih pecah bungkusan tapi bertabur macam berak cirit, tak terpegang, tak sanggup cuci. kotor sangat.
akan tiba masanya apabila ekonomi semakin merudum di mana pak menteri dan MP tak dapat elaun di sana sini.
-laki besah tukwan lamim.
Post a Comment