Saturday, October 31, 2009

Jalan Pilihan: Melayu? Islam? Melayu-Islam?


Bagiku cara dia memperkenalkan dirinya semakin pelik. Ya, sebagai kawan lamanya aku merasakan ia pelik. Bukankah aku ini kawan lamanya Pahlolradzi? Tentang pandangan kawan-kawanku yang lain, yang sama-sama hadir tatkala aku disergah, aku yakin mereka juga resah. Ternampak aku air muka mereka, memang berubah. Jelas mereka juga turut terkejut dengan amarah Pahlolradzi yang tiba-tiba saja meletup itu. Apakah kawan-kawanku yang lain juga berfikir seperti yang aku fikirkan: Apakah yang mahu ditonjolkan kawan lama kami ini, kawan-kawan baiknya sendirinya?

Terus terang aku tidak pernah begitu terlalu peduli untuk membedah anatomi asal usulku, baik sosiobudaya maupun fisiologinya (?). Ya, aku lelaki. Ya, aku Melayu yang dilahirkan oleh ibu bapaku yang Islam. Ya, ya aku bercakap Melayu. Ya, aku belajar di sekolah Melayu. Ya, aku belajar orang putih di kelas special Malay. Ya, aku satu ketika dulu, meluat juga mendengar lagu-lagu yang tidak kufaham bahasanya kecuali lagu-lagu nyanyian Mohd Rafi dan Latamangiskar(?). Namun sekarang setelah sekian lama menjadi tetamu planet ini, aku sedar bahawa bahasa apa saja sangat sarat bobot budayanya. Aku sedih kerana tidak menguasai bahasa-bahasa itu. Betapa ruginya.

Ya, temanku Pahlolradzi mahu dirinya dikenali sebagai seorang Melayu-Islam. Dia mahu orang-orang luar, termasuk kawan-kawan baiknya sendiri sedar yang dia adalah Melayu yang Islam. Ibarat mengupas bawang, dia mau susun-lapis dirinya kelihatan dengan jelas. Jangan ada orang lain, termasuk kawan-kawan baiknya sampai tak nampak, “Siapakah aku, Pahlolradzi yang sebenar”

Semasa aku disergah Pahlolradzi di depan kawan-kawanku yang lain bahawa “Tak adil kalau asal usulku kamu lupa!” aku terkejut. Mula-mula terkejut kecil kerana sebagai seorang kawan lama, aku tidak pernah menyangka yang Pahlolradzi marah jika dia tidak dikenali sebagai Melayu-Islam.

Aku tidak dapat melelapkan mataku sepanjang malam semalam. Senarai soalan yang menyerbu cukup panjang:

Apakah menjadi Melayu itu lebih utama daripada menjadi seorang manusia, seorang insan, seorang Muslim yang bertaqwa?
Apakah tatkala dibangunkan semula, itulah yang paling utama dijelaskan: Menjadi Melayu?
Apakah kelihatan sebagai juara Melayu-Islam itu lebih besar maknanya daripada sekelumit usaha ikhlas dalam menentang kezaliman, misalnya?
Terus terang, aku kurang arif makna sebenar Melayu-Islam itu?
Tuan faham maknanya?





No comments: