Saturday, October 31, 2009

Melepaskan fikiran daripada sentimen politik parti

Dinsman (Artikel 111, 30/10)

PAS sedang bergolak. Samada bergolak itu seperti air berkocak di dalam cawan atau ribut bergelora di dalam lautan, terpulang pada pendekatan kita melihatnya, di mana kita berdiri memandangnya, dan sejauh mana maklumat kita mengenainya. Bergolak memang bergolak. Usahlah kita menafikannya.

Tok Guru Nik Aziz selaku Mursyidul Am membuat gempar apabila dia melontarkan cadangan supaya diadakan Muktamar Agung Khas (EGM) bagi menyelesaikan isu-isu yang sedang bergolak itu. Dan itu pun telah dilihat orang dari pelbagai sudut, pendekatan dan tujuan. Sebahagiannya cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan diri dan pihak tertentu. Biasalah tu!

Ramai juga yang terkejut dan tergamam. Seorang pembaca Wacana Budaya menghantar SMS mengisytiharkan dia keluar dari parti, dengan memberikan nombor keahliannya sebagai bukti. Wah, ini bukan lagi ribut di dalam cawan. Ini macam suatu petaka yang serius! Apatah lagi bila saya fowardkan SMS itu kepada seorang kawan, dan dia menjawab begini:

“Masih ingat apa kata Abu Bakar bila Rasulullah saw wafat? ‘Sesiapa yang memeluk Islam kerana Muhammad, sesungguhnya Muhammad telah wafat. Tetapi jika dia memeluk Islam kerana Allah, maka Allah tetap hidup dan tak akan mati.’ Begitu juga dalam perjuangan ini. PAS sebagai wadah. Kita kena berjuang bukan kerana PAS atau pimpinan PAS, tapi kerana ia wadah perjuangan untuk Islam didaulatkan.”

Dan katanya lagi, “PAS dan pimpinan PAS adalah makhluk yang tak lari daripada silap. Apa yang penting, kita berjuang dan bersama perjuangan PAS kerana Allah. Kerana itu adalah pilihan terbaik sekarang ini. Kalau tak nak tolong Islam, Allah tak rugi satu sen pun, tapi kerugian kita adalah nyata.”

Tak pastilah saya apakah maksud sebenar dia, dengan responsnya yang demikian itu. Mengapa dia sampai mengingatkan saya kepada peristiwa wafatnya Rasulullah? Kita bukanlah sedang menghadapi peristiwa yang sehebat kewafatan Rasulullah. Hanya suatu pergolakan, yang memang tidak boleh dikatakan kecil. Suatu krisis kepimpinan. Itu saja.

Tetapi, walau bagaimanapun, terasa ada sesuatu yang penting dan relevan juga dalam respons tersebut. “Kita kena berjuang bukan kerana PAS atau pimpinan PAS, tapi kerana ia wadah perjuangan untuk Islam didaulatkan.” Perspektifnya itu. Lebih luas daripada perspektif kepentingan sebuah parti politik.

Melepaskan diri dan fikiran daripada sentimen dan emosi kepentingan parti politik. Saya kira itulah salah satu pendekatan yang wajar diambil dalam situasi yang kacau-rumit-celaru sekarang. Melihatnya dalam perspektif perjuangan Islam yang melangkaui kepentingan parti politik, walaupun PAS adalah sebuah parti politik. Kerana dalam masa yang sama PAS bukanlah sekadar sebuah parti politik, tetapi ia lebih daripada itu.

PAS juga, misalnya, adalah sebuah organisasi dakwah. Dan PAS juga adalah sebuah institusi pendidikan. Dan di Kelantan, PAS juga adalah sebuah “Kerajaan Islam” yang sedang beroperasi dengan cukup berkesan.

Memang ramai yang terkejut, tergamam, sedih, pilu, pedih dan macam-macam. Ramai juga yang mengadu dan minta nasihat dan pandangan saya, (kerana kebetulan nombor saya ada di bawah ruangan ini). Salah satu jawapan saya yang standard kepada beberapa orang, (saya salinkan juga kepada beberapa kawan rapat) melalui SMS, adalah begini:

“Pasal sedih dan sayu apa yang berlaku pada PAS itu memanglah sedih/sayu. Ini suatu saat yang genting dan mencabar. Tiap gerakan atau organisasi perjuangan akan ada saat ujian yang sebegini. Menguji kebijaksanaan kepemimpinan, untuk menghadapi cabaran yang lebih besar di hadapan. Ada hikmah-Nya, untuk PAS (satu-satunya wadah untuk Islam didaulatkan di negara ini) menjadi lebih kukuh dan mantap. Lebih baik ia ribut sekarang daripada ia ribut tahun depan. Semoga PAS menjadi lebih kuat menjelang PRK-13, insya Allah.”

Dan seperti yang pernah saya sebut di ruangan ini, saya bukanlah orang yang pakar dalam politik dan bukan juga aktivis politik yang berpengalaman. Jadi tak sesuailah kalau saya nak membebel bagi pandangan dan teguran itu-ini yang patut dan tak patut dibuat bagi mengatasi kemelut yang sedang dihadapi ini.

Maka kepada beberapa orang sahabat yang tiba-tiba melatah dan melenting memuntahkan pandangan melulu mereka melalui media massa dan blog masing-masing, menuduh pihak itu dan pihak ini tak betullah, begitulah beginilah, macam-macam – ha yang ini saya fikir saya bolehlah tegur.

Tegur saja, bukannya apa. Sebab kita ini bukannya orang politik. Walaupun saya juga menjadi AJK bahagian sebuah parti politik, saya tetap menganggap diri bukan orang politik. Penglibatan dalam parti hanyalah sekadar untuk membantu dalam hal ehwal seni dan budaya. Diminta lebih daripada itu saya mohon maaf. Betul. Biarlah kita menyumbang dalam bidang yang kita boleh memberi sumbangan terbaik kita. Betul tak?

Maka tak usahlah kita nak berlagak pandai dalam bidang yang bukan bidang kita. Maklumat yang ada pada kita pun tak setara mana, buat apalah nak menjadi hakim membuat penilaian yang hanya berdasarkan sekucil maklumat itu. Kadang-kadang tu memalukan. Kita mungkin bijak dan pakar dalam bidang tertentu. Tak semestinya kita juga akan mempunyai idea yang baik dalam percaturan politik.

Nak berceloteh juga bukan tak boleh. Boleh sangat! Negara demokrasi. Kita menghormati dasar kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat. Silakan! Saya hanya sekadar nak menegur atas dasar kawan! Saya percaya kalau para budayawan kita mahu bertindak dengan berani dalam bidang kita, ada peranan dan sumbangan yang boleh kita buat, ke arah menjernihkan kembali jiwa masyarakat yang keruh.

Yang menjadi masalahnya, kita sendiri pun, dalaman diri kita sendiri, masih tidak bebas untuk berdiri di atas prinsip kebebasan, kemanusiaan, keadilan dan kebenaran, dan masih tidak bebas daripada pelbagai ketakutan (takut hilang pendapatan, takut tak naik pangkat, takut tak dapat peluang itu dan ini), tiba-tiba di luar diri pula kita nak berlagak kononnya atas dasar kebebasan bersuara! Hah ha ha…

Memang. Kadang-kadang tu memalukanlah!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel
dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)


No comments: