Thursday, November 26, 2009

Apocalipso: Drama Pendek Dinsman

Dinsman
Drama pendek
Apocalipso


ADEGAN 1

SEORANG PEMUDA DUDUK DI ATAS SEBUAH KERUSI DI TENGAH PENTAS. BEBERAPA ORANG DI SEKELILINGNYA MENYANYI SEBUAH LAGU (APA-APA LAGU YANG SESUAI. MISALNYA APOCALIPSO, LAGU M.NASIR). PEMUDA ITU SEDANG DI‘MEKAP’ OLEH BEBERAPA ORANG ‘JURUMEKAP’ (LELAKI LEMBUT), DIKETUAI OLEH IMAGE CONSULTANT (IC). PEMUDA ITU DUDUK SAMBIL MEMEGANG SKRIP. DIA SEDANG MENGHAFAL SKRIP.

IC : (BERCAKAP KEPADA PENONTON. GAYA LELAKI LEMBUT).
Tuan-tuan dan puan-puan, minta maaf ya, kami ni sedang sibuk sikitlah ya… maklumlah nak siapkan pengantin bukannya mudah, ‘kan! Alahai pengantin pulak… eh, bukan. Eh, pengantinlah ‘kan!

JM 1 : Dia nak kahwin dengan siapa?

IC : Dia bukanlah nak kahwin, tapi… cara kita siapkan dia ni samalah juga macam
kita siapkan orang nak kahwin, ‘kan! Ini semua ni tuan-tuan puan-puan (MENUNJUKKAN PARA JURUMEKAP (JM) YANG SEDANG SIBUK MEMEKAP PEMUDA ITU), kawan-kawan saya ni semuanya terdiri daripada pakar-pakar, yang terlatih di luar negeri semuanya ni. Ha, yang ini…

JM 1 : Pakar solekan muka.

IC : Yang ini…

JM 2 : Pakar dandanan rambut.

JM 3 : Saya… pakar pasal pakaian.

JM 4 : Dan saya… pakar pasal kasut, tuan-tuan puan-puan.

IC : Dan saya ni pula, pakar apa tau? Saya ni orang panggil Image Consultant.
Ha, hari ini tuan-tuan puan-puan, cara kita menampilkan diri kita, iaitu yang dikatakan imej kita, terutamanya di hadapan media, di hadapan media tuan-tuan puan-puan, tersangatlah penting. Sekarang ni kita ada seorang pemuda, seorang pemuda tuan-tuan puan-puan, remaja, yang akan kita tampilkan sebagai hero kita, sebagai ikon kita…

JM 2 : Dia seorang pemuda yang berani.

IC : Berani, puan-puan tuan-tuan. Kalau dia tak berani takkan kita semua ada di sini sekarang. Kerana keberanian dialah…

JM 2 : (SEPERTI BERBISIK KEPADA PENONTON) Dia dah buat repot polis! Betul. Reporter semua dah tahu. Dia dah buat repot polis.

IC : Satu Kuala Lumpur gempaq. Ada bom nak meletup. Ha… tahu bom?
Bukannya bom macam di Iraq atau di Afghanistan tu. Ini bom yang macam di Hollywood sana. Bom yang akan menggegarkan katil-katil…

JM 3 : Alahai katillah pulak!...

IC : Sorry, sorry, bukan katillah, tilamlah.

JM 2 : Bukan tilamlah.

IC : (CEPAT) Kerusi! Ya, kerusi. Bom yang akan menggegarkan kerusi-kerusi.

PEMUDA YANG SEDANG DIMEKAP TERGELINCIR KERUSINYA.
MASING-MASING BERBEGAS MENOLONG DIA.

IC : Alahai kerusi ini pula yang menggegar. Kita maksudkan kerusi yang lain.
Kerusi yang ada power di sana tu! Kerusi politiklah… Sebab itu reporter dan cameraman daripada media-media antarabangsa semua dah berkumpul di sini. Ini satu world happening ni. World! Kita ada satu orang pemuda yang berani.

JM 2 : Handsome boy!

KORUS: Handsome boy! Handsome boy!
Handsome boy! Handsome boy!

IC : Ini yang kita nak tampilkan dia dengan penuh bergaya. Handsome boy! Akan
take over the center stage di negara ini. Huh! Ini yang kita semua happy sangat ni. Lepas ni bolehlah kita celebrate ya. Sekarang saya nak tengok sentuhan akhir, the final touch daripada pakar-pakar imej saya…

MASUK SEORANG DIRECTOR.

DIR : Hello, are you all ready?
(KEPADA PEMUDA) Are you ready Mr Balol? Semua orang dah ada di sana nampaknya. We have to be ready by now. Are we ready Mr Image Consultant?

IC : Yes, we are ready Mr Director.

DIR : Thank you Mr Image Consultant. I hope now you are ready to go, Mr Balol.
Semua orang sedang tunggu you di luar sana. You are the focus of the whole world today you know. A new superstar is born today, right here. A new kind of superstar. Like never before! Ok, saya nak tengok you berjalan sikit Mr Balol. Cuba, cuba!

MR BALOL BANGUN BERJALAN DENGAN BERGAYA.

DIR : Okey, orait. Excellent. Nampak genuin, ya genuin. Tulen. Betul. Now, cuba bercakap sikit.

BALOL: Tuan-tuan dan puan-puan. Selamat datang. Saya… nama saya Balol bin Saton. Saya mengadakan siding media ini atas nama diri saya sebagai seorang warganegara yang bermaruah, beragama, bertatasusila, berakhlak mulia….

DIRECTOR MEMBERI ISYARAT, LALU DISAMBUT OLEH SEMUA ORANG YANG MENJADI KORUS, MENYANYIKAN LAGU APOCALIPSO.



ADEGAN 2

PARA REPORTER DAN CAMERAMAN BERASAK-ASAK. MEREKA DARI MEDIA-MEDIA PENTING ANTARABANGSA DAN JUGA LOKAL. SEORANG REPORTER LOKAL MEMBUAT LIPUTAN:

REP : Tuan-tuan dan puan-puan. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan dapat lihat,
keadaan di sini sekarang… Kuala Lumpur sedang menjadi tumpuan mata dunia, sekali lagi, atas isu yang sama seperti yang berlaku 10 tahun yang lalu. Berpuluh-puluh wartawan dan jurugambar, mungkin beratus atau beribu, dari media-media penting antarabangsa, berada di sini. Mereka berkumpul di sini untuk membuat liputan satu berita penting yang dijangka akan didedahkan pada bila-bila masa saja sekarang.

IC : Minta perhatian! Minta perhatian. Your attention please. Tolong beri perhatian. Tolong diam. Silence please. Terima kasih. Kita akan memulakan acara sekarang.

DIR : Assalaamu‘alaikum warahmatullaahi ta’aala wabarakaatuh. Salam sejahtera, tuan-tuan dan puan-puan. Terlebih dahulu kami mengucapkan terima kasih kerana menghadiri persidangan media ini. Persidangan media ini diadakan khusus bagi menerangkan dan menjelaskan perkara sebenar yang sedang berlaku di negara ini.

MR BALOL DIIRINGI KELUAR MENUJU KE TENGAH PENTAS, DENGAN
LAGU APOCALIPSO.

BALOL: Ya, tuan-tuan dan puan-puan. Saya mengaku saya kini adalah mangsa, entah yang ke berapa. Saya tidak sangka samasekali bahawa orang yang saya sanjung selama ini, yang saya hormati sebagai abang, sebagai majikan dan sebagai pemimpin yang berwibawa, pemimpin yang dianggap sebagai kuat berpegang kepada agama, yang dikatakan bakal menjadi peneraju utama negara ini, rupa-rupanya dia seorang yang jahat, yang busuk, yang di luar tabi’i. Dia seorang yang sangat hina sebenarnya, lebih hina daripada binatang. Dan dia tidak harus dibiarkan bebas untuk mencari mangsanya yang seterusnya.

SOAL : Apa sebenarnya yang dia telah lakukan kepada kamu?

BALOL: Dia telah melewati saya.

SOAL : Di mana? Tempat. Tempat.

BALOL: Di Kondominium Gaya Villa, tingkat 13.

SOAL : Bila? Bila?

SOAL : Berapa kali?

BALOL: Tidak kurang daripada 8 atau 9 kali.

KORUS: Hoi!
DAN TERUS BERSAMBUT DENGAN LAGU APOCALIPSO SECARA YANG BERTAMBAH RANCAK.



ADEGAN 3

PENTAS KOSONG. MASUK ‘AD DAN LAH.

LAH : (MEMANGGIL) Hoi, Jid. Kalau hang takdak buat apa la ni, mai ikut kami.

(TIADA JAWAPAN)

‘AD : Dia takdak ghumah kut. Try sekali lagi.

LAH : Hoi, Jid. Jid! Jid!

JID BERJALAN MASUK PENTAS.

JID : Ghenggah pangge macam aku takdak telinga. Aku tak tuli lagi aih.

‘AD : Tak tuli awat hang tak menyaut.

JID : Awat, hampa nak pi mana ni? Pakai segak sangat ni.

LAH: Jom ikut kami pi balai.

JID : Balai? Balai polis?

‘AD : Balai polislah, balai apa lagi.

JID : Hampa nak buat apa ajak aku pi balai polis? Awat, khebau hang hilang tu dah
jumpak dah ka?

LAH : Ni bukan ceghita khebau hilanglah. He, hang tengok tivi semalam?

JID : Tengok tivi? Hang ni Lah, ‘Ad, hampa habaq betui-betui kat aku – apa yang
hampa nak ajak aku buat ni? Hampa jangan nak pekena aku.

‘AD : Macam ni. (KEPADA PENONTON) Cakap betui-betuilah nu! Dok kata kot tu kot ni, payah. (KEPADA JID) Lagu ni, Jid. Dalam warta berita tivi semalam – ‘kan ada berita pasai satu budak tu, dia buat repot polis pasai dia kena lewat. Hang tengok dak?

JID : Ha tengok, tengok. Aku tengok tu.

‘AD : Budak tu hang kenai dak dia sapa?

JID : Awat, dia budak kampung kita ka? Anak sapa, ha? Amboi dia kheja dengan menteghi tu.

LAH : Muka dia boleh keluaq tivi, lepaih tu haghi ni hang tengok semua sughat habaq ada gambaq dia, pasai apa hang tau?

JID : Pasai dia buat repot polis dia kena lewat.

LAH : Pandai. Tang ni hang memang aku kena mengaku hang pandai. Sebab tu lah
kami nak ajak hang ni.

JID : Nak ajak aku pi balai polis, buat repot polis… (TENGOK ‘AD, TENGOK LAH)… Awat, sapa kena lewat dengan sapa pulak?

‘AD : Ha, hang jangan duk tengok aku lain macam gitu Jid. Nanti tak pasai-pasai tangan aku teghbang pi kat kepala hang.

LAH : Sudah, sudah! Cukuplah satu dunia orang Islam duk begaduh. Hampa jangan nak tambah seghabut lagi masalah pergaduhan orang Islam sama sendiri. Benda tak perlu begaduh pun, buat apa nak caghi gaduh. Aku pun tak fahamlah, apa pasai yang orang suka sangat nak begaduh. Sana begaduh, sini begaduh.

JID : Ok, ok., sudah. Balik kepada tujuan asai. Jadinya, apa tujuan hampa?

LAH : Soalan dia di sini, yang oghang kata duduk bermain-main dalam kotak kepala aku ni – pasai apa budak Balol tu tiba-tiba saja boleh jadi masyhur terkenal masuk tivi masuk semua sughathabaq, satu negara oghang bercakap pasai dia – macam takdak apa-apa!

JID : Hang faham ‘Ad? Apa yang Lah maksudkan. Dia kata satu negara semua oghang duk bercakap pasai tu, macam takdak apa-apa. Kalau dah satu negara semua oghang duk bercakap, macamana boleh kata takdak apa-apa?

LAH : Benda tu, benda tu! Benda yang terkutuk dan terlaknak tu, yang budak tu buat tu. Mana kita pernah bercakap pasai benda tu, macam tu. Macam ni, la ni. Satu perkara yang sangat memalukan. Tapi la ni dah disebut di mana-mana macam takdak apa-apa, macam tak salah pun buat benda tu.

‘AD : Boleh masuk masjid lagi. Pakai lawa-lawa, letak songkok ataih kepala, pegang Quran, ajak imam jadi saksi dia bersumpah. Bersumpah pegang Quran tu bukannya cara Islam. Yang duk mintak Tuhan laknak dia sampai ke anak cucu tu pasai apa? Apa salah anak cucu dia?

LAH : Ini yang buat ghosak ajaran Islam. Nabi Muhamad bukan ajarq tu semua. Depa buat Islam ikut suka depa. Quran jadi alat depa. Macam takdak apa-apa. Takdak salah apa. Yang salah cuma kerana orang yang buat soghang lagi tu, oghang yang tak dikehendaki, tak disukai. Hang faham?

JID : Tak dikehendaki tak disukai oleh sapa?

LAH : Susahnya hang ni. Itu sebabnya la ni aku nak ajak hang pi buat repot. Tapi oghang yang melewat tu adalah seoghang yang… terbalik daripada yang tadi. Yang tadi tak disukai, yang ini disukai, oleh pihak yang meneraju. Hang faham? Ha kita tengok, ada tak media semua akan bagi perhatian yang gempaq jugak kat kita. Depa nak tunjuk dak muka kita kat dalam tivi.

JID : Hai – ni bunyi lain macam nampak ni. Hampa nak sua aku soghang ka huluq batang tengkuk aku, ataupun hampa nak ajak aku teman saja?

‘AD : Ai, hang dulu bukankah pernah berkawan baik dengan seorang menteri!

TERUS DISAMBUT KORUS YANG MENYANYIKAN LAGI APOCALIPSO.



ADEGAN 4

KORUS SAMBIL MENYANYI SAMBIL BERTUKAR KOSTIUM, YANG AKHIRNYA SEMUANYA BERPAKAIAN DAN BERTOPI HITAM MACAM ORANG BARAT. MEREKA DALAM SATU PESTA MENYAMBUT SATU KEMENANGAN. ADA MINUM-MINUM DAN SEBAGAINYA.

SESEORANG MEMBERI UCAP TAHNIAH KEPADA IC.

BOS : Tahniah! Tahniah!

IC : Terima kasih boss. Terima kasih boss.

BOS : Tugas yang paling berat sudahpun beres. Tinggal nak memantau kesan dan akibatnya saja.

IC : Saya harap boss berpuas hati dengan kerja yang telah saya lakukan.

BOS : Oh ya, so far so good. Nampaknya di sini tak begitu sukarlah. Tak perlu nak menghantar bom dan peluru dan kereta kebal macam di Iraq dan Afghanistan. Nak menghasut mereka supaya bergaduh sesama sendiri pun nampaknya tidaklah begitu sukar.

IC : Nampak tak sukar boss, tapi….

BOS : Saya faham, saya faham. Di sini kita cuma perlu hasut mereka supaya makin ramai yang suka kepada budaya gay dan lucah – itu sudah cukup. Nampaknya lebih hebat kesannya daripada dadah.

IC : Lebih hebat ya boss! Boss bersetuju dengan idea saya, ya! Hiburan, gay dan lucah – ini budaya tiga serangkai boss, kita maintain di sini, saya pasti tidak lama lagi sebuah lagi negara Islam akan jatuh ke dalam genggaman kita. Tak perlu hantar bom dan peluru dan kereta kebal. Hiburan, gay dan lucah sudah cukup. Di samping budaya materialisme dan seks bebas. Budaya tiga serangkai ini pasti mampu memporak-peranda dan mengkacau-balau umat Islam di seluruh dunia.

BOS : Image Consultant. Mereka perlukan Image Consultant.

IC : Ya, image consultant boss, untuk budaya pemusnah Islam tiga serangkai – hiburan, gay dan lucah.

DISAMBUT KORUS YANG MENYANYIKAN LAGI APOCALIPSO.

(Tamat-12-8-08)

ADEGAN 5

PENTAS KOSONG. MASUK PENGACARA MAJLIS, MEMBAWA MIKROFON. DIA MEMBUAT PENGUMUMAN:

PM : Tuan-tuan dan puan-puan, penonton yang kami hormati. Di sini kami ingin
mengumumkan satu berita yang… tidak begitu menyenangkan, iaitu… Sdr Jid kita, yang membuat aduan polis kerana dia diliwat oleh Timbalan Menteri Perdana… telah ditahan polis.





2 comments:

Anonymous said...

Barajiwa,
Pengakhiran yang tidak melegakan, tidak menyeronokkan, tiga umm, tidak pancing, tidak touching, tidak syok dan tidak membuat penonton mengeluh.
Seeloknya di akhir, jadikan yang buat laporan itu selak pungkur kepada penonton, londeh nampak jubur lalu katanya, dia cemburu kerana pungkurnya dijadikan Tuhan tidak menarik.
Salam
azizi hj abdullah

dilaga said...

Sdr. Azizi,

Ha..ha... itu kena tukang tulis skrip Sdr. Dinsman. Mengikut Dinsman teater pendek ini dicadang dipentaskan semasa PRK Permatang Pauh yang lalu..tapi kerana masalah dana ia tidak menjadi kenyataan. Skrip ini pernah muncul dalam Harakah.

Saya siarkan semula untuk teman-teman yang mahu melihat teater sebagai satu kemungkinan untuk menyampaikan mesej.

Semoga Sdr. Suhaizan Kayat dan Ami Jagat dapat memanfaatkan skrip ini.

Terima kasih.