Monday, July 5, 2010

Haramkan semua bentuk judi

1.0 Mukadimah



Pertama sekali saya ingin menyatakan bahawa ini adalah tanggapan peribadi saya sebagai seorang individu, ertinya saya tidak mewakili Budayawan Bertindak maupun Paksi.


Kedua tahniah dan syukurlah kerana GMJ, Gerakan Mansuhkan Judi telah berjaya menggerakkan seluruh masyarakat untuk bangun menentang judi bola Umno/BN. Sesungguhnya ini satu fenomena baru yang sukar dibayangkan satu ketika dulu. Bagi saya ini petanda jelas bahawa kita, rakyat Malaysia yang pelbagai ini, semakin ke depan dalam membina sebuah masyarakat idaman ― madani.


Dengan latar yang sedemikian ini, kita tidak pelik melihat bagaimana pemerintah yang ada sekarang ini mempamerkan kewalahannya ― berdolak dalik kerana bingung dengan kebangkitan rakyat yang menyeluruh ini.


Untuk itu wajarlah bersyukur kerana kewajaran kita. Syukur.


2.0 Menanggapi makna di sebalik pendirian LLG, KLSCAH dan Tamil Foundation


Namun isu yang ingin kita berikan penekanan di sini bukanlah aspek kejayaan yang sungguh bermakna itu. Saya lebih cenderung melihat reaksinya LLG, KLSCAH dan Tamil Foundation yang menolak untuk hadir dalam perhimpunan 3 Julai, 2010 di Massjid Negara yang dijadualkan pada jam 2 petang tetapi tertunda sehingga jam 5 petang kerana pengkebumian Allahyarhamah isteri Tun Dr. Ismail.


Terdapat satu dua reaksi yang pada pandangan penulis elok kita teliti untuk renungan bersama untuk panduan pada masa depan. Dalam konteks ini, reaksi yang sedikit keras lengkap dengan tuduhannya tidak akan kita sentuhi.


Sahabat saya Dinsman misalnya, berpendapat elok dilupakan saja peristiwa ini kerana ‘kita mesti melihat ke depan, yang berlalu biarkan ia berlalu. Yang nak dibuat itu jauh lebih penting’.


Kata Dinsman, lebih baik kita kumpul secara santai sambil membaca puisi di sekolah Cikgu Goh misalnya. Itu lebih bermanfaat.



2.1 Pada satu sisi, saya bersetuju dengan pandangan ini kerana mengulang-ulangi kisah lama belum tentu berupaya perbaiki keadaan. Namun kekadang terdapat juga isu-aspek yang wajar ditelti untuk dijadikan teladan-sempadan. Dalam tajuk yang kita bicarakan ini, isunya begini:



“Secara relatifnya, anjuran mengharamkan segala bentuk judi mungkin akan mendatangkan dampak yang besar ke atas proses transformasi demokrasi yang menjadi sasaran utama masa kini. Inilah yang tidak diingini oleh semua pihak yang menjunjung prinsip dan nilai demokrasi. Dikhuatiri tindakan pengharaman judi akan semudahnya dilabel sebagai menyokong gagasan Negara Islam, sekaligus menyebabkan perjuangan agenda reformasi hilang fokusnya dan kekuatan reformasi akan dipatahkan dengan mudah. Secara tak langsung, ia juga mengetepikan isu-isu yang lebih mendesak dan memberi dampak kepada kesemua rakyat seperti rasuah, kronisme, ketidakadilan sosial, penindasan terhadap penyokong demokrasi dan golongan terpinggir. Ini tidak mendatangkan faedah bagi mewujudkan Barisan Bersatu Pelbagai Kumpulan Etnik yang berlandaskan nilai demokrasi yang progresif.”


Dato’ Dr. Toh Kin Woon, Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG dalam kenyataan media kenapa LLG tidak akan ikut serta dalam perhimpunan penuh sejarah GMJ pada 3 Julai 2010 di Masjid Negara.


Terdapat beberapa frasa kunci yang menarik perhatian iaitu:


Gagasan Negara Islam, agenda dan kekuatan reformasi, isu-isu yang mendesak,


2.2 Sementara itu dalam para sebelumnya dalam kenyataan media yang sama, Dr. Toh menjelaskan:


Kami berpendapat bahawa gerakan membantah judi bola telah mencapai tujuan asalnya. Sekiranya ada pihak ingin meneruskan gerakan membantah judi, ia perlulah ditangani melalui pendekatan pendidikan dan kempen meningkatkan kesedaran rakyat, bukan menganjur dengan menghapuskan segala bentuk judi melalui pelaksanaan kuasa pemerintah. Kami tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengenakan piawaian moral yang terlalu rigid dan bersifat dualisme mudah tanpa mengambil kira latar belakang budaya dan kepercayaan yang berbeza. Ini harus dielakkan dalam satu masyarakat yang mendukung prinsip kebebasan dan demokrasi.


Di sini kita temui, frasa-frasa kunci seperti berikut:

gerakan membantah judi,

pendekatan pendidikan dan kempen,

menghapuskan segala bentuk judi melalui pelaksanaan kuasa pemerintah.

mengenakan piawaian moral yang terlalu rigid dan bersifat dualisme mudah,

mendukung prinsip kebebasan dan demokrasi.


3.0 Tampang pemerintah yang memerintah kita selama ini


Ketika ini pemerintah kita (yang sedang memerintah kita sekarang ini) telah mencuba sedaya upaya mempamerkan bahawa ia percaya penuh dengan gagasan Malaysianya yang satu itu.

Malangnya rata-rata rakyat sangat meraguinya. Kita tidak perlu kupas lanjut kenapa dan mengapa semua ini terjadi. Namun untuk mengimbasnya, kita perhatikan soalan-soalan berikut:


Pertama:


Bukankah teras kelahiran mereka sebagai pemerintah, sejak setengah abad yang lalu, itu perkauman bentuknya?


Kedua:


Sekarang ini, bukankah kelangsungan hayat mereka juga amat perkauman walaupun pemerintah ini sentiasa berpura-pura bahawa mereka tidak sedemikian?


Ketiga:


Tidakkah kita (ertinya seluruh rakyat jelata) lahir, membesar, hidup dan mencari sesuap nasi dalam dunia kepura-puraan ini, di bawah naungan pemerintah yang berpura-pura?


Oleh yang demikian, dengan latar yang sedemikian ini apakah kita pelik jika kita sesama kita sering curiga mencurigai?


4.0 Mencari, memahami dan menemui makna jalan tengah yang waras tapi elusif


Rata-rata para pengamat bersetuju bahawa senario politik baru pasca PRU12 telah membuka dimensi baru dalam sejarah negara kita. Dan di antara ketiga-tiga kelompok parti yang menjadi tunggak politik baru ini, Paslah yang paling mudah memanfaatkan senario baru ini. Bukti ke arah itu sudah pun kelihatan. Penubuhan sayap bukan Islamnya adalah sesuatu yang cukup luar biasa.


Bagi saya sebab utama kejayaanya ialah sifat Islam syumul itu sendiri, sekiranya ia sungguh-sungguh dipraktikkan. Pas di bawah Tok Guru Nik Aziz, TGNA telah mencubanya dan ternyata ia berhasil. Kesyumulan Islam itu dipraktikkan.


4.1 Pas wajar membaca, menghadam dan memberikan contoh yang terbaik.


Dengan latar sedemikian ini, kita tentunya sangat mengharap agar Pas benar-benar merenungi, mencari dan menemui jalan tengah yang waras ini. Jalan yang wajar dipelopori dengan penuh iltizam dan hikmah.


Lalu apakah hubungannya dengan kenyataan media LLG, KLSCAH dan Tamil Foundation seperti yang dibentang di atas?


Dalam usaha untuk mencari jalan tengah ini, terdapat soalan-soalan yang masih berlegar-legar. Soalan-soalan yang elok disenaraikan:


i) Apakah rasionalnya mendesak ‘hapus semua bentuk judi’ sekarang ini jika dibandingkan dengan pendekatan mendidik dan berkempen?


ii) Apakah berdosa (kita semua yang Islam) jika judi yang telah diakar-umbikan oleh pemerintah sekarang ini, tidak dihapuskan sekarang ini?


iii) Apakah aspek “Dikhuatiri tindakan pengharaman judi akan semudahnya dilabel sebagai menyokong gagasan Negara Islam, sekaligus menyebabkan perjuangan agenda reformasi hilang fokusnya” itu pandangan yang berasas dan wajar diteliti dalam segala gerak kerja Pas pada masa depan?


iv) Apakah “Kami tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengenakan piawaian moral yang terlalu rigid dan bersifat dualisme mudah tanpa mengambil kira latar belakang budaya dan kepercayaan yang berbeza.” ini tidak berasas dan tidak perlu diberikan perhatian yang serius?


5.0 Penutup


Dalam banyak hal, kita selalu menunggu orang yang lebih pandai, mereka yang arif dalam hal-hal agama, mereka yang bijak-bijak untuk menyatakan pandangan. Namun pandangan seperti ini mungkin hanya berlegar-legar dalam kalangan mereka yang lebih arif. Mungkin.


Oleh itu kita masih tertanya-tanya kenapa misalnya pendekatan “hapus semua bentuk judi sekarang ini” itu diterima dan dijadikan matlamat?


Sebagai penutup, saya perturunkan satu kisah nyata yang pernah dialami:


Sebuah Jabatan mengadakan jamuan makan. Majoriti stafnya Melayu. Namun dalam kalangan staf itu terdapat seorang India. Semua bergembira, mungkin kerana pelbagai sebab. Mungkin hidangannya sedap-sedap dan dibayar pula oleh Jabatan.


Lama kemudian, seorang teman India Kristian, bertanya:


“That day, I heard you all had a big makan in the office. Unfortunately Muniandy could not enjoy. You all serve beef only. Next time, please provide a chicken for Muniandy.”


Lama juga kawan saya ini terpukul. Saya juga termenung bila diceritakan kisahnya. Itulah gambaran benar tentang ‘sensitivity in action’ yang tidak pernah saya lupakan.


Atau semua ini terlalu remeh untuk difikirkan? Kalau ya, kenapakah kita menjerit-jerit dengan ayam yang tidak disembelih sempurna?


Kenapa?


Kerana...Islam tidak mengatakan mengabaikan seorang Munaindy itu perbuatan yang haram?


(Untuk manfaat semua, kita kepilkan kenyataan media LLG)


Kenyataan Media Bersama Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG, Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dan Tamil Foundation


MENDIDIK RAKYAT MENJAUHI JUDI


Dengan adanya bantahan daripada Gerakan Rakyat Bantah Judi (GMJ) dan pelbagai pertubuhan masyarakat madani yang lain, akhirnya kerajaan akur kepada kehendak masyarakat dan seterusnya menarik balik lesen judi bola yang mencetuskan kontroversi selama ini. Kami memberi pujian dan mengalu-alukan kejayaan ini.


Kami berpendapat bahawa gerakan membantah judi bola telah mencapai tujuan asalnya. Sekiranya ada pihak ingin meneruskan gerakan membantah judi, ia perlulah ditangani melalui pendekatan pendidikan dan kempen meningkatkan kesedaran rakyat, bukan menganjur dengan menghapuskan segala bentuk judi melalui pelaksanaan kuasa pemerintah. Kami tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan mengenakan piawaian moral yang terlalu rigid dan bersifat dualisme mudah tanpa mengambil kira latar belakang budaya dan kepercayaan yang berbeza. Ini harus dielakkan dalam satu masyarakat yang mendukung prinsip kebebasan dan demokrasi.


Tidak dinafikan, judi adalah gejala buruk sosial yang boleh menyebabkan kemerosotan nilai moral serta membawa porak peranda kepada rumahtangga. Inilah konsensus yang dipegang dan masalah sosial yang dihadapi oleh semua kumpulan etnik. Bagi mengatasi ketagih berjudi, program pendidikan jangka panjang perlu direncanakan untuk memupuk nilai-nilai humanisme dan budaya kehidupan sederhana dan sihat dengan menentang sikap materialisme dan budaya memanjakan nafsu.


Secara relatifnya, anjuran mengharamkan segala bentuk judi mungkin akan mendatangkan dampak yang besar ke atas proses transformasi demokrasi yang menjadi sasaran utama masa kini. Inilah yang tidak diingini oleh semua pihak yang menjunjung prinsip dan nilai demokrasi. Dikhuatiri tindakan pengharaman judi akan semudahnya dilabel sebagai menyokong gagasan Negara Islam, sekaligus menyebabkan perjuangan agenda reformasi hilang fokusnya dan kekuatan reformasi akan dipatahkan dengan mudah. Secara tak langsung, ia juga mengetepikan isu-isu yang lebih mendesak dan memberi dampak kepada kesemua rakyat seperti rasuah, kronisme, ketidakadilan sosial, penindasan terhadap penyokong demokrasi dan golongan terpinggir. Ini tidak mendatangkan faedah bagi mewujudkan Barisan Bersatu Pelbagai Kumpulan Etnik yang berlandaskan nilai demokrasi yang progresif.



Dato’ Dr. Toh Kin Woon
Presiden Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG





1 comment:

Anonymous said...

" KUALA LUMPUR, 5 Julai: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) sedang membuat persiapan bagi menganjurkan "Konvoi 10 ribu Rakyat, Didik dan Dakwah Tak Nak Judi" ke puncak Genting Highlands.

Menurut ketuanya, Nasrudin Hassan at-Tantawi, program tersebut dijadual pertengahan Syawal depan selepas umat Islam selesai menjalani ibadah puasa Ramadhan.
............................................................................................................"Tak cukup 10 ribu, kami tak akan buat sebab kita takut tidak berkesan," katanya."

Bolehkah Pas berbincang dengan DAP dan PKR tentang konvoi yang tersebut diatas ?

Kenyatakan media Dato' Dr. Toh patutlah diambil berat oleh Pakatan.

Kemungkinan besar lah Konvoi ini akan kurang dapat penyertaan dari masyarakat China, yang lebih teruk ia akan dieksploitasikan oleh BN