Dinsman (Artikel 173, 2/7)
Saya memang tak berminat untuk bercakap mengenai Gapena. Tapi tulisan keluaran lalu yang menyentuh mengenainya, kerana menyokong tulisan Razali Endun itu, telah mendapat beberapa reaksi yang mendorong saya untuk menulis lagi mengenainya. Sesetengah sahabat pula cuba mengaitkannya dengan polemik “berkata benar”, yang terjadi antara saya dengan Rahman Shaari, Shukor Harun dan Sutung Umar Rs itu.
Saya sudah lama berhenti memberi apa-apa harapan dan perhatian kepada organisasi penulis Malaysia yang sesetengah orang menyifatkannya sudah jadi semacam dinosaur itu. Ia dikatakan sudah mencipta ‘kelas’nya sendiri, dan duduklah ia bertapa di dalam ‘kelas’nya itu bersama-sama dengan kaum kerabatnya, tanpa mempedulikan apa-apa yang berlaku dan bergolak di sekelilingnya.
Fikir mereka merekalah penulis, sasterawan dan budayawan yang mewakili golongannya di negara ini. Padahal hakikat dan realitinya mereka sudah jauh terpisah dan terasing daripada realiti masyarakatnya. Ini sebahagiannya adalah akibat daripada terlalu intimnya hubungan para pemimpin mereka, (peringkat nasional dan juga negeri), dengan para pemimpin politik Umno, hingga sesetengah kawan-kawan saya secara jenaka menganggap Gapena itu pun macam satu Bahagian di dalam Umno (sama seperti PDRM, SPRM, JPN dan sebagainya).
Ekoran Gapena yang sudah jadi sepereti satu Bahagian dalam parti politik Umno itulah maka, seperti saya sebut dalam WB yang lalu, telah lahir beberapa badan penulis dan peminat seni di kalangan generasi baru, yang bergerak secara bersendirian dan tidak bergabung dengan mana-mana establishment sastera dan budaya. Mereka seperti eSastera, Frinjan dan banyak lagi. Bahkan Paksi dan Budayawan Bertindak juga mungkin lahir kerana itu.
Seorang Cikgu Amnah daripada Melaka misalnya mengirim mesej SMSnya begini: “Saya minta sangat-sangat saudara dan rakan memainkan peranan untuk ‘mengubah’ Gapena menjadi badan yang betul-betul memperjuangkan bahasa Melayu, tulisan Jawi, subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah, dan isu-isu berkaitan martabat Bahasa Melayu yang semakin pupus.”
Barangkali itu bermaksud dia meminta saya dan rakan-rakan dalam Paksi dan Budayawan Bertindak (BB), untuk berbuat demikian. Kalau betullah demikian maksudnya, saya harap Cikgu Amnah jangan kecewa, kerana kami di dalam Paksi dan BB memang tidak akan bertindak dan bergerak ke arah itu. Seperti saya tegaskan tadi, saya sudah lama berhenti memberi apa-apa harapan kepada Gapena.
Saya melihat Gapena itu sama saja macam Umno. Bahkan Umno mungkin lebih baik sikit daripada Gapena. Sebab apa saya kata begitu? Sebab pemimpinnya Tan Sri Ismail Hussein itu boleh berada di atas singgahsananya yang bergelar Ketua Satu itu, sejak badan itu ditubuhkan pada tahun 1971 hinggalah ke hari ini, sudah hampir 40 tahun.
Kawan-kawan saya selalu mengatakan pimpinan Gapena terlalu banyak mengambil ciri-ciri Umno dan menyerapkannya ke dalam sistem nilai dan kepemimpinan Gapena. Hari ini apabila memikirkannya semula, saya rasa kebenarannya mungkin terbalik. Bukan Gapena yang banyak mengambil ciri-ciri nilai daripada Umno, tetapi Umnolah yang lebih banyak mengambilnya daripada Gapena. Lihat sajalah misalnya pada pimpinan nombor satunya.
Saya pernah menyifatkan yang Dr Mahathir Presiden Umno dan Perdana Menteri Malaysia itu memperbodohkan seluruh rakyat Malaysia apabila dia memberi alasan perlu terus kekal menjadi Perdana Menteri kerana belum ada orang yang layak untuk menggantikan dia. Maka demikianlah juga dengan Ismail Hussein. Kendati pun Dr Mahathir hanya mampu bertahan untuk 23 tahun sahaja. Manakala Ismail Hussein sudah mencecah angka 40 tahun.
Begitulah hebatnya Gapena dan Ismail Hussein. Lebih hebat daripada Umno dan Dr Mahathir. Sehebat-hebat Dr Mahathir pun dia hanya mampu bertahan 23 tahun saja. Tetapi Ismail Hussein mampu hingga 40 tahun. (Wow! Elok buat satu perayaan, dan minta untuk masuk dalam Guinnese Book of Records.)
Makanya, apakah lagi yang hendak kita harapkan kepada sebuah organisasi yang sedemikian itu? Betullah seperti kata Razali Endun kepada saya melalui SMS apabila saya mencadangkan dia bertanding melawan Ismail. Susah, katanya, sebab pemikiran kaum kerabat Gapena yang mewakili negeri-negeri masih belum berubah, dan susah nak berubah.
Jadi – itulah dia keadaan mental dan intelek orang Melayu. Paksi pernah buat seminar membincangkan sikap dan mental penulis kita, samada ‘mengepalai’ masyarakatnya atau ‘mengekori’? Seminar itu dibuat sempena empat buah negeri telah mengubah kerajaan dalam PRU-12 pada bulan Mac 2008. Maknanya masyarakat telahpun menunjukkan perubahan, manakala golongan penulis pula masih terkial-kial membuat pertimbangan.
Kini sudah lebih dua tahun masyarakat Malaysia menunjukkan sikap mahukan perubahan itu. Saya menjangkakan secara perlahan-lahan selepas Mac 2008 itu dapatlah kita melihat perubahan yang agak radikal dilakukan oleh golongan penulis dan budayawan kita. Rupa-rupanya harapan saya meleset.
Peristiwa 7 Mac 2009 yang menyaksikan 100 ribu rakyat Malaysia turun ke jalanraya Kuala Lumpur, atas inisiatif dan pimpinan golongan penulis dan budayawan, adalah sesuatu yang di luar jangkaan ramai orang. Ia seolah-olah menunjukkan yang golongan penulis, sasterawan dan budayawan sudah membuat perubahan besar. Beberapa orang tokoh pimpinan Gapena juga dilihat hadir dalam peristiwa demonstrasi bahasa tersebut.
Tetapi hakikat sebenarnya rupa-rupanya, seperti disebutkan tadi, sebahagian besar golongan penulis dan budayawan itu masih terkial-kial lagi berfikir dan membuat pertimbangan. Lihat sajalah dalam akhbar Harakah ini sendiri. Beberapa nama yang tidak ada dalam senarai Paksi ketika menyenaraikan nama-nama penulis dan seniman yang menyokong perubahan dalam era Reformasi, telah muncul bersama-sama karya puisi dan cerpen mereka, kebelakangan ini.
Namun mereka itu apabila diajak berbicara mengenai “kebenaran” dan “berkata benar”, (boleh dikatakan semua mereka hadir dalam seminar berkenaan di Kota Bharu), mereka itu masih memilih untuk berdiam diri dan mengelak daripada dilihat “menyebelahi” pihak yang menerbitkan akhbar Harakah, yang menyiarkan tulisan mereka.
Nampaknya demikianlah – penulis dan budayawan kita hari ini bukan sahaja tidak lagi ‘mengepalai’ masyarakatnya, seperti golongan budayawan di zaman Syed Sheikh Alhadi dan Ishak Hj Muhammad dulu, tetapi dalam ‘mengekori’ masyarakat pun, mereka mengekorinya dengan amat lambat sekali.
Lihatlah misalnya, apabila dalam keadaan terpaksa membuat perubahan, ada cadangan supaya Ismail Hussein itu digantikan dengan Zainal Kling. Alangkah kelakarnya! Seperti cuba merealisasikan semula perubahan yang tak terjadi dalam Umno dulu, iaitu menggantikian Dr Mahathir dengan Ghafar Baba. Wallahu a’klam!
(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)