Sunday, July 4, 2010

Tentang kerosakan dan 'penulis yang masih lagi terkial-kial'

1) Ya, sesungguhnya kerosakan kita menyeluruh


Kerosakan yang menimpa negara kita yang tercinta sesungguhnya besar ― tersangatlah besar. Lihatlah contoh-contoh berikut yang sering dibangkitkan (namun tidak sedikit pun) dipedulikan:


Dulu, orang atau lebih khusus penjawat awam, secara sembunyi-sembunyi dan malu-malu, muncul di khalayak untuk menyatakan sokongannya terhadap PARTI yang memerintah. Sekarang ini, seorang penjawat awam, tanpa segan silunya menghebahkan kepada seluruh cakrawala milik Allah ini bahawa “Kita sudah menang” apabila parti yang memerintah memenangi pilihan raya. Dia, terang-terangan di khalayak TV ‘milik’ pemerintah, menghebahkan bahawa parti yang memerintah itu adalah partinya. Walhal pada saat itu, dia masih lagi seorang penjawat awam yang dilantik oleh sebuah Suruhanjaya ― bukannya Umco, parti yang memerintah misalnya.


Di depan tabir, seorang TNC sebuah universiti awam tidak pernah ‘nampak’ apalagi ‘ketahui’ bahawa ada mahasiswanya dan ada pensyarahnya yang keluar berkempen untuk PARTI yang memerintah. Tak ternampak olehnya. Namun TNC yang sama terus-terusan mengejar, sehingga ke lubang cacing, mana-mana ‘oknum’ mahasiswa yang berkempen untuk parti pembangkang!


Kenapa? Mungkin cara TNC itu memperolehi kerusinya di universiti pun, juga meragukan. Tidakkah mungkin begitu?


Apabila Juruperunding bertauliah memperakukan bahawa rekabentuk sebuah struktur/sistem itu mantap, baik dari aspek kosnya, masa, kualiti, spesifikasi atau kebolehpercayaannya, kita jarang pertikaikan profesionalisme Juruperundingnya.


Namun apabila terdapat kadar harga yang sangat tidak masuk akal dan ― tiba-tiba jambatan gantung, bumbung makmal sekolah ― malah stadium pun turut runtuh seperti runtuhnya istana pasir yang dibina anak-anak yang bermain-main di tepi pantai, kita pun tertanya-tanya:


Apakah yang sedang berlaku kepada ‘makhluk’ yang namanya ‘profesionalisme’ itu?

Dan apabila terdapat sekian banyak kes yang pada pandangan kita lebih wajar mendapat perhatian, tetapi kes-kes ikan bilis juga yang dikejar-usut sepanjang hayat operasinya, kita pun tertanya-tanya: Apakah benar ― inilah peranan sebenar sebuah institusi awam?



2) Persatuan penulis: Istimewa, sayangnya tidak juga berbeza



Dengan kerosakan yang sedemikian total@menyeluruh, apakah kita masih boleh mengharapkan persatuan penulis itu sebagai NGO-NGO yang istimewa@berbeza? Ya, persatuan penulis menjadi istimewa kerana sifatnya yang unik dan istimewa pula ― bebas, merdeka, telus-bertanggungjawab.


Kenapakah kemerdekaan fikiran, ketelusan pandangan dan kejernihan buah fikiran itu perlu kepada para penulis?


Sebabnya mudah. Untuk menyatakan kebenaran (yang kini ternyata semakin elusif), penulis mestilah merdeka. ‘Penulis’ yang disyaratkan supaya merujuk isi kandungan tulisannya kepada segala terma dan syarat yang ditetapkan tuannya, hanyalah alat ― bukanlah penulis.


Kenapa? Apakah orang yang dikurung mindanya, terdaya menyatakan kebenaran? Bagi kita, orang seperti ini adalah upahan ― sedikit tercorot darjatnya daripada ‘petition writer’.


Penulis yang taat kepada kehidupannya ‘di sana’ tidak pedulikan siapa pun yang berkuasa. Dia yakin bahawa tugasnya hanyalah berkata benar: Ertinya, dia bukanlah alat pemerintah maupun orang suruhan pembangkang.


Mampukah penulis kita di abad ke 21 ini menjadi sedemikian, lebih peka kepada persoalan ‘di sana’? Atau semua ini hanya wujud dalam dunia yang dibuat-buat, khayalan muluk-muluk dunia sastera, atau sekadar fantasi dunia awang-awangan yang tidak jejak ke bumi yang nyata? Betulkah begitu? Jika betul, kenapa demikian?


Katanya ‘semuanya’ telah binasa. Lihatlah hujah yang pernah dilogikkan oleh seorang mantan: Hari ini kita tidak mungkin mendapat empat orang saksi yang tidak fasik. Oleh itu hudud sukar dilaksanakan.


Apakah kita mahu tunduk kepada logika yang sedemikian ini? Kita, di sini ditujukan khusus buat semua ‘penulis’ ― termasuk mereka yang besar-besar dan para gergasinya segala penulis.


Kenapa?


Jangan sampai kita malu kepada anak-anak yang baru belajar mengasah pensel.




No comments: