Friday, July 2, 2010

Penulis dan penanya



1) Tulisan kekal selama-lamanya


“Menulis sangat berbeza daripada bercakap” kata seorang kawan.


“Tau kenapa? Tulisan kekal lama”. Dia bertanya, dia juga yang menjawabnya.


Itu pandangan seorang kawan jurutera yang menulis tentang segala hal ― kejuruteraan, khususnya pengairan, pembinaan, kualiti, pembangunan sumber manusia kecuali sastera Melayu. Baginya membaca dan menulis dalam bahasa Melayu ternyata sesuatu yang cukup menderakan. Kasihan sahabat Melayuku.

“Ada lagi aspek pentingnya, ” tambah kawan ini, “kita perlu berfikir sebelum menulis”.

Dalam senario hari ini, pada abad ke 21 ini, berapa ramaikah penulis yang benar-benar peduli apa yang ditulisnya? Maksudnya, penulis yang percaya bahawa tulisannya itu bertujuan menyebarkan idea-pandangan, kritikan yang pada fikiran jernihnya bermanfaat untuk pembacanya. Masih ramaikah penulis yang sedemikian?


2) Berapa ramaikah yang peduli?


Yang pasti, ada penulis yang yakin tulisannya bakal diangkat untuk dibicarakan semula ― ‘di sana’. Sebagai penulis, dia yakin tulisannya ‘berkekalan’ walaupun dia sudah tidak ada lagi di dunia ini.

Ada penulis yang percaya bahawa pada setiap detik kesementaraankehidupannya ‘di sini’ itu, terdapat pula sisi kekalnya ‘di sana’. Dia tidak percaya kepada segala teori karut marut bahawa kehidupan ‘di sini’ adalah tragedi manusia terhukum yang terpaksa menolak batu menongkah (cerun) segala bukit!
.
Soalannya ialah hari ini, berapa ramaikah penulis yang benar-benar berfikir bahawa ‘satu hari nanti’ itu, segala buah fikirannya, pandangannya, (apatah lagi fitnahnya) itu bakal dibangkitkan semula sebagai sebahagian daripada miliknya walaupun semasa hayatnya tulisannya itu mungkin tidak pernah dibicarakan secara serius? Masih ramaikah penulis yang berfikir demikian?





3) Berapa ramaikah yang yakin bahawa sesungguhnya dia adalah penulis?


Maka apabila kita bercakap tentang Gapena dan para kerabatnya, teman saya Hasni Abas membantah. “Buat apa kita buang masa memikirkan masalah rumah lama yang nak roboh? Kita bina rumah yang baru!”

Dalam pesanan ringkas balasan, jawapan saya kira-kira begini:

“Gapena menggunakan dana milik negara, milik rakyat. Kita wajar ambil peduli”

Yang tidak saya ungkapkan ialah:

Gapena itu satu himpunan Gergasi. Tempat para Gergasinya segala penulis bernaung. Gergasi pun kadang-kadang terlupa.

Penulis bertaraf ‘Gergasi’ pun mungkin terlupa kenapa dan mengapa mereka menjadi ‘penulis’ atau lebih hebat lagi, menjadi ― sasterawan.



No comments: