Tuesday, July 13, 2010

Ikhtibar 9A+


9A+ dan janji biasiswa JPA


1.0 Jangan ambil mudah iltizam mereka yang lama berkuasa


Mengikut laporan muka depan “The Sunday Star” 11 Julai 2010, “ Rungutan berhubung pelajar cerdik yang tidak mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam, JPA tidak lama lagi akan menjadi sejarah”.


Kenapa?


Kata akhbar itu, Menteri Perdana, Datuk Seri Najib Tun Razak telahpun mengumumkan bahawa para pelajar yang mencapai 9A+ atau pencapaian yang lebih tinggi, akan diberikan biasiswa JPA untuk menuntut sama ada di dalam maupun di luar negara.


Lebih menarik, biasiswa diberikan tanpa mengira kaum.


Berita ini disambut penuh kegembiraan oleh pelbagai pihak. Ya, kita boleh mengerti kenapa.

Walaupun kita semua wajar gembira dengan berita tentang dasar baru yang sangat memihak@pro-rakyat ini, tetapi...


Ya, masih ada tetapinya ― kita masih belum melihat pelaksanaannya.


2.0 Dasar yang baik belum pasti membuahkan panen yang baik


Kenapakah begitu? Sama seperti dasar-dasar yang lain, rakyat hanya boleh mengharap.

Lazimnya dalam menterjemahkan sesebuah dasar, rakyat berdepan dengan dua ‘kutub realiti’ yang terpisah jauh. Di satu kutub, ada amanat@ dasar ‘murni’ yang sangat berkobar-kobar ― minta disegerakan pelaksanaannya. Malangnya, di kutub yang lain, kerap kalinya rakyat terbentur dengan hambatan delivery atau penyampaiannya yang tak seindah@setanding dengan kemulukan dasarnya.


Kenapa?


Ya, kerana di sana masih ada jurangnya; di antara dasar dan pelaksanaan. Dan kerap kalinya jurang ini tidak terdaya dirapatkan.


Dalam banyak keadaan, salah satu faktor penentunya ialah sumber atau dana yang mencukupi. Biasakan? Ada padi semua menjadi, ada beras kerja pun deras. Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah jentera pelaksananya.



3.0 Bagaimana pula yang miskin dan daif?


Rasanya masih ada yang belum beres. Atau semua ini telahpun wujud dalam rumus tindakan pihak yang berkuasa? Ya, kita terfikirkan, nasibnya anak-anak daerah terpencil; anak-anak yang makannya pun belum tentu sempurna setiap hari ― apakah terdaya mereka mencapai 9A+?


Rasanya pihak penguasa telah siap dengan formula khas dan kaedah khusus untuk anak-anak para fakir miskin di seluruh tanah air kita. Kenapa? Tidakkah kriteria 9A+ untuk mendapat biasiswa itu terlalu mendera buat mereka dari golongan yang fakir dan terpinggir ini?



4.0 Penguasa dan tanggungjawab sosialnya



Aspek ini telah lama disebut-sebut orang.


Apakah negara kita bakal kekal dalam zon baru akibat pelbagai dasar (pengswastaan, Malaysia-Incorporated, dll) yang telah dilaksanakan oleh seorang mantan itu? Zon ekslusif baru yang telahpun diketahui oleh semua pihak, lebih-lebih lagi rakyat jelata miskin: Bahawa hak mendapatkan ilmu pengetahuan dan hak untuk mendapatkan kemudahan perubatan itu bukanlah lagi tanggungjawab kerajaan?


Ya, di negara kita kini, peluang mendapatkan ilmu pengetahuan di peringkat IPT dan juga hak untuk mendapatkan perkhidmatan dan rawatan yang baik, kelihatannya sudahpun menjadi hak ekslusif mereka yang kaya dan berduit saja. Yang miskin dan tidak berduit, bolehlah membawa diri...menggigit jari?


Bukankah begitu?


5.0 Renungan buat ‘pembangkang’ yang kini sudahpun berkuasa


Episod 9A+ ini membuat kita teringat akan cita-cita dan impian pembangkang menguasai pemerintahan pusat.


Lebih khusus, cuba kita lihat negeri yang telah dikuasai...


Jika ada ‘pembangkang yang kini telahpun berkuasa di sesetengah negeri’ berfikir bahawa usaha mereka sejak dua tahun yang lalu itu sudahpun memadai, kita mohon supaya mereka berfikir semula pendirian yang sebegini. Janganlah sekali-kali diambil mudah dengan kesungguhan dan keazaman sang-penguasa-sejak-setengah-abad-lalu itu, yang benar-benar bermati-matian mahu mengekalkan kuasanya! Jangan.



Ya, janganlah sekali-kali diambil mudah iltizam mereka!


Dan jika ada yang masih lagi kental berfikir bahawa cara akulah yang paling bagus walaupun telah berulang kali diperingatkan, mohonlah bertenang ― bertenang, untuk berfikir berulang-ulang kali, bahawa segala teguran yang telah dan pernah disampaikan oleh mereka yang resah gelisah dengan gelagat dan cara kita itu, kadang-kadang ada bobotnya@meritnya.

Harapan rakyat, setelah memilih penguasa baru, melihat perbezaan ― sangatlah besar.


Terlalulah besar sehinggakan kadang-kadang tidak masuk di akal! Apakan daya, bukankah itu semua sememangnya lauk pauknya para politikawan?


Apa pun, harapan setinggi gunung ini tentunya minta diurus dengan berkesan pula.


Adakah contohnya?


Ya, contoh mudah ialah harapan rakyat melihat pengisiannya Ramadhan. Rakyat jelata sangat berharap agar Ramadhan di bawah kepimpinan pemerintah-yang-katanya-sangat tebal-roh-agamanya itu, tentulah jauh lebih cemerlang daripada penguasa yang terdahulu.

Apakah begitu?


Katanya, telah mereka perhatikan (pengisiannya@tidak terisinya) Ramadhan dua tahun yang lalu itu.


Namun, katanya sejak dua tahun yang lalu, kehadiran Ramadhan di sesetengah negeri diperhatikan. Dan katanya lagi, rakyat kecewa cara Ramadhan diraikan ― sebagai tetamu.

Sama-sama kita nantikan pengisian Ramadhan yang bakal menyusul tidak lama lagi itu.



Wallahuklam.




1 comment:

Anonymous said...

BARAJIWA
BAGUEH PANDANGAN NI.
PANJANGKAN DALAM SIASAH.

BIASISWA DAH LAMA ORANG LUPA.

AZIZI ABDULLAH