Perihal hiburan, anak muda dan jejaka tua dalam dunia pasca modernisme
1.0 Latar belakang isu
Azizi Abdullah dalam kolumtepinya dalam Harakah bil. 1554, bertarikh 5-8 Julai 2010 dengan nada kesalnya bertanya ―“ Budaya hiburan: Apa untungnya?”. Dinsman kemudiannya memberikan respons dalam Harakah terbitan berikutnya iaitu lewat kolum Wacana Budayanya dengan menyarankan “Perjelaskan konsep dan bentuk hiburan cara Islam”.
Intipati pandangan kedua penulis kawakan ini kira-kira begini ― Kata Azizi:
Kenapakah membiarkan/dibiarkan, menggalakkan/digalakkan budaya hiburan yang melalaikan yang pada akhirnya merosakkan muda mudi kita? Yang dijawab Dinsman kira-kira membawa maksud begini, “ Ya, betul. Tapi sila tunjukkan di manakah hiburan Islam (baca:alternatif@gantian) yang tidak melalaikan, yang tidak merosakkan yang oleh diikuti muda mudi kita itu?”
Kedua-duanya benar. Kita ketahui masalah yang terbentang di depan kita ― namun yang lebih utama tentunya bagaimanakah kita menangani situasi ini dengan bijaksana dan penuh hikmah. Kata-kata, betapa pun sedap lagi muluk-muluk ia, tak begitu mudah dikotakan.
2.0 Persoalan yang meruntun sanubari semua ibu bapa
Untuk melihat konteksnya sekilas pandang; gambaran yang berupaya menceritakan senario yang kita hadapi kini, perhatikan impaknya Bola Sepak Piala Dunia, 2010 yang bakal sampai ke penghujungnya pagi lusa (13 Julai 2010) terhadap kehidupan di sekeliling kita. Apakah tidak tepat jika kita katakan bahawa inilah salah satu bentuknya tuhan baru yang dipuja oleh seluruh dunia ― Islam dan bukan Islam, kaya dan miskin, timur dan barat, semuanya memuja tuhan baru ini.
Khabarnya Maradona itu dianggap tuhan oleh para pemujanya. Khabarnya, ada gereja baru yang didirikan kerana wujudnya batang tubuh yang namanya Maradona itu. Kita boleh berhujah, ..ahaa itu Argentina. Ya? Lalu bagaimana pula dengan sheikh-sheikh Arab yang tergila-gilakan kelab-kelab EPL seperti kegilaan sesetengah manusia terhadap penari-penari gelek yang telanjang perutnya itu?
Marilah kita semak dengan merenungi diri. Ya, diri kita sendiri. Berapakah ramaikah manusia dalam kalangan kita yang tidak teruja dengan Piala Dunia, yang gah dipentaskan Afrika Selatan sekarang ini? Terlalulah sedikit. Kebetulan secara peribadi, saya ketahui bahawa di Malaysia ini ada seorang manusia yang sedikit berbeza ― Dinsman.
Saya rasa Dinsman tahu bahawa yang namanya Maradona itu manusia dan Pele itu jaguhnya Brazil. Mungkin. Yang jelas saya selalu katakan kepadanya, jika 70 % rakyat daripada Malaysia itu seperti Dinsman, para kapitalis dan para cukong modal tak mungkin dapat jadikan bola sebagai medan untuk menakluk manusia Malaysia! Kenapa? Bola tak memberikan makna apa-apa kepada seorang manusia yang namanya Dinsman. Berapa ramaikah dalam kalangan kita tidak dijangkiti penyakit bahawa “bola itu segala-galanya”?
Demikianlah besarnya pengaruh modernisme dan kini pasca modernisme itu terhadap umat manusia. Seluruh nilai masyarakat, apatah lagi nilai-nilai tradisi dan konvensional yang kita pegang selama ini, tunggang terbalik, berselerak, bercempera, dan hancur lebur jadinya.
Suria Janib dalam facebooknya menurunkan perhatian seperti berikut: Apalah punya PM ini (sebuah negara Scandinavia) begini sikapnya terhadap institusi perkahwinan. Macam mana nak dapat zuriat keturunan jika bernikah sama sejenis?
Demikianlah senarionya, kini. Kita berdepan dengan segala macam nilai, pandangan dan pegangan hidup yang sedemikian rupa kompleksnya. Semua yang tak pernah terfikirkan satu masa dulu. Dan paling merunsingkan ialah betapa nilai-nilai baru ini tidak boleh lagi kita persoalkan sewenang-wenangnya kerana di sana ada lagi satu tuhan baru yang dipuja manusia sejagat ― tuhan kebebasan dan hak asasi manusia yang lengkap dengan interpretasinya sendiri. Ya, hak asasi manusia juga adalah tuhan baru kebanyakan manusia.
3.0 Apakah pilihan kita?
3.1 Siti Fatimah, remaja contoh
Dinsman dalam tulisan balasannya membawa contoh Siti Fatimah. Saya petik langsung:
“Dan saya teringat Siti Fatimah, pelajar terbaik Malaysia peringkat SPM 2006. Apabila ditanya mengenai hiburan, jawapannya berbeza sekali. Begini jawapannya:
“Saya pun kurang pasti bab-bab hiburan ni. Mungkin dengan menonton TV dan bermain badminton saya boleh mengurangkan tekanan. Tetapi sebenarnya bagi saya nikmat ketenangan tertinggi adalah dengan mendengar alunan ayat suci al-Quran, lebih-lebih lagi oleh imam-imam muktabar – Syeikh Ab Rahman Sudais, Syeikh Saad al-Ghamidi dan lain-lain. Hati dan fikiran saya akan tenang, dan itulah nikmat hiburan yang sebenar bagi saya.” (Rujuk buku Siti Fatimah (18A): Watak Remaja Zaman Ini, 2007, hlm 40).”
Contoh ini mengingatkan saya kepada diri Dinsman sendiri ― Dinsman yang pada saya bukan saja buta bola tetapi tak pernah peduli dengan kelibat bola. Bolehkah orang seperti ini dibandingkan dengan sekian ramai lagi rakyat Malaysia?
Sampai di sini, entah kenapa, saya seperti berdepan dengan Dinsman dan Nordin Kaab:
Nordin Kaab: Apakah salahnya dengan contoh terbaik tentang profil seorang remaja contoh?
Dinsman: Ya, apakah salahnya dengan perbandingan seperti itu? Bukankah kita selalu membandingkan dengan yang terbaik? Kenapa risau dengan contoh Siti Fatimah?
Bukan begitu, kita hanya terbayangkan segala halangan, rintangan dan kemelut yang bakal kita hadapi...
Dinsman: Kenapa fikirkan segala rintangan itu? Untuk apa membayangkan semua dan segala masalah? Bukankah tugas kita berusaha dan berdoa. Yang lain kita serahkan kepada-Nya!
Sekarang ini saya betul-betul bersama-sama Dinsman dan Nordin Kaab di 1112, Sabrina Hotel Kota Bharu!
Mereka sedang gencar mematahkan pandangan saya!
Berapa orang Siti Fatimahkah yang dapat kita lahirkan?
3.2 Quran itu petunjuk dan penenang jiwa. Ia bukanlah sumber yang membawa stress.
Sekadar contoh, saya mohon melencong sedikit....
Semalam tatkala mengambil buku laporan kemajuan anak, saya dipesan oleh pengetua sekolah anak saya, dengan kata-kata di atas.
Puncanya? Saya tidak ingin anak-anak dipaksa membuat hafazan yang belebih-lebihan, bimbang kalau-kalau timbul masalah lain yang tidak diingini.
Untuk membetulkan saya, lalu saya pun diperingatkan.
Berapa buah sekolahkah dan berapa orang gurukah yang mengajar ibu bapa tentang hal-hal yang begini?
Guru sejarahnya menjelaskan bahawa “yang saya ajar adalah begini dan yang benar. Namun, yang anak-anak mesti jawab ialah begini. Kenapa? Itulah skemanya dunia sekeliling kita.” ‘Kebendaan’nya telah melampaui paras lubang hidung.
Pesannya lagi: Jangan lupa bahawa ada satu lagi SPM yang perlu diawasi: Sijil Padang Mahsyar.
Saya gembira, anak saya dididik sedemikian.
4.0 Penutup: Remaja dan latarnya ― urusan siapa?
4.1 Meminjam pandangan Hossein Nasr
Apakah yang mahu disampaikan apabila membentangkan cerita dan contoh di atas?
Jika dipetik intisarinya pandangan Seyyed Hossein Nasr, dalam “A Young Muslim’s Guide to the Modern World” tentang tantangan@cabaran-cabaran yang dihadapi para remaja, kita diperingatkan bahawa:
Respons muda mudi terhadap dunia moden bergantung kepada pelbagai faktor: Latar belakangnya, didikan keluarga, pendidikan, kematangan emosi dan psikologinya dan kemampuan intelektualnya.
Lalu,
Di manakah kedudukan anak-anak kita?
Apakah jalan yang perlu kita semua, (ibu bapa dan anak-anak kita), tempuhi itu mudah? Apakah benar ia tidak sukar?
Apakah kita boleh menyerah kalah dan berputus asa?
4.2 Kenapa dan mengapa pula jejaka tua..?
Ya, sebelum terlupa, apa kena mengenanya seluruh respons ini dengan tajuk yang membawa frasa “jejaka tua dalam dunia pasca modernisme”.
Bukankah kita, para bapa adalah jejaka tua yang hidup dalam dunia pasca modernisme? Berapa ramaikah dalam kalangan kita yang boleh (baca: molek tingkahnya) untuk dicontohi anak-anak kita?
Misalnya, jejaka tua yang:
Tidak berbohong
Tidak munafik (baca: hipokrit)
Tidak rasuah
Tidak....
Pendek kata, jejaka yang elok dilihat anak-anak. Oh, ya janganlah sekali-kali perkecil kemampuan anak-anak kita ― dalam menilai.
Sekali lagi: Apakah khabar para jejaka tua dunia pasca modernisme?
Wallahuaklam.
No comments:
Post a Comment