Friday, August 20, 2010

Kepalsuan

Kepalsuan yang cuba disembunyikan


1. Yang palsu juga digilai


Dalam kehidupan kita yang rencam ini, kita temui pelbagai ungkapan. Misalnya kita sering mendengar orang berkata, “It is an open secret”. Hah, itu rahsia umum, jadi tak ada apa yang tersembunyi. Semua orang sudah tahu.


Dalam kehidupan kita yang begitu kaya dengan kepelbagaian senario ini, kita semua sedar misalnya dengan hakikat: Bahawa semua wanita sangat gemar kelihatan cantik. Apakah ada wanita yang mahu kelihatan tidak cantik?


Maka untuk mencantikkan diri, terdapat wanita dan tidak ketinggalan para lelaki ― menggunakan botox. Untuk kelihatan cantik, wanita juga gemarkan barang-barang kemas. Dalam proses mencantikkan diri ini, ramai yang menggunakan Zxxxxan. Ya, barang kemas yang bukan emas yang digilai oleh sekian ramainya orang.


Apakah maknanya?


Walaupun palsu, ramai yang tetap memuja. Ramai yang pamer dan peragakan.


2. Kalau pemerintah menternak kepalsuan. Bagaimana?


Sejak merdeka kita selalu melihat, menonton, mendengar para pemimpin politik, lebih-lebih lagi yang memegang kuasa@memerintah bercakap tentang keharmonian, persaudaraan, keadilan, kesejagatan, keuniversalan umat manusia, segala dan berbagai-bagai lagi ungkapan yang sekelas dengannya.


Terkini mereka berbicara tentang kemerdekaan! Wah! Sungguh luar biasa muluk-muluknya.

Mungkin kerana terlalu terbiasa, maka kita pun menjadi magli@immune dengan frasa muluk-muluk itu. Mengikut laras bahasa sastera, kita sudah tahu bahawa itu semua klise, basi.


Namun orang-orang yang nafasnya, oksigennya kuasa, mereka kelihatannya tidak pernah peduli dengan apa yang dicanangnya setiap hari, setiap waktu, setiap saat ― siang dan malam.


Dalam konteks ini, kasihan juga kita kepada para juruhebah yang terpaksa membaham dan meluahkan semula teks-teks besar yang telah hilang makna sebenarnya.



3. Apakah isu dan apakah persoalannya?


Membaca sejarah mereka sebagai pemimpin, kita pun tahu bahawa mereka selalu berbohong. Semua yang muluk-muluk itu adalah pembohongan semata-mata. Mereka ― sebenarnya tidak pernah ambil peduli makna bangsa yang bersatu padu, adil, makmur dan sejahtera itu.

Kenapa?


The bottom-line, kata Mat Salleh, adalah kuasa.


Kenapa terlalu yakin?


Lihatlah bagaimana mereka yang memerintah dulu dan kini ini mengurus isu-isu hubungan kaum, mengolahnya untuk memancing undi. Fenomena ini semakin jelas sekali kelihatan apabila kuasa yang menjadi puncak segala nikmat itu, kelihatannya sudah mahu menyeronot keluar. Mereka semakin galak ― berbohong.

Lihatlah bagaimana para mantan pemimpin yang masih memimpin di sebalik tabir ini, bermain wayang dengan NGO-NGO yang dianugerahi restu khas ini.


Lalu?


Pada kita mereka adalah versi baru barang-barang palsu yang nyata kepalsuannya.


Jadi?


Tidak seperti Zullian yang nyata palsu, mereka tidak dipedulikan.


Habis?


Kasihanilah mereka...


Semuga perutusan merdeka kita menjadi lebih real, benar dan nyata.


Kenapa?


Kita ingin dengar, lihat dan sentuh kebenaran.


Dan kita pun jadi teringat akan Al-Marhum Ustaz Fadzil.


Doa kita buat rohnya. Amin.




No comments: