Sunday, August 29, 2010

Petunjuk dari gajah dan kera

Membaca petunjuk dari gajah dan kera, berhempas pulas dengan sekolah bunting



1) Cerita gajah dan kera


Sudah beberapa hari di Kota Bharu untuk membereskan Qiadah bilangan ke tujuh. Malamnya sempat juga bertemu seorang teman, juga seorang pesara. Seperti biasa ceritanya pelbagai dan kami berpindah dari tajuk ke tajuk:


“Satu ketika seekor gajah digunakan oleh penganjur dalam sebuah pertunjukan peringkat nasional. Mungkin gajah dirasakan mampu memberikan kesan yang jauh lebih baik kepada penonton. Mungkin.”

Kami memasang telinga.


“Entah bagaimana, staf yang mengendalikan peralatan audio tersalah pasang@kendali ― muziknya tiba-tiba menjadi terlalu kuat. Gajah yang terkejut, bertempiaran lari dan merempuh apa yang ada. Ramai tetamu ― termasuk para pembesar juga terkejut besar, lintang pukang...larinya!!”


Sejak itu, kata teman ini, Jabatan mengeluarkan arahan bahawa gajah tidak lagi dibenarkan untuk sebarang acara rasmi Jabatan.


Peristiwa yang hampir-hampir sama pernah berlaku di tempat lain dalam acara rasmi yang lain. Bezanya kali ini, ia tidak melibatkan gajah tetapi seekor kera. Kera yang terkejut menerkam para tetamu. Sejak itu kera juga tidak lagi dibenarkan sebagai peserta pertunjukan.


Pengajarannya:


Manusia belajar daripada pelbagai pengalaman. Manusia menjadi lebih bijaksana kerana mampu belajar dan mengambil ikhtibar daripada pengalaman (baik pengalaman orang lain maupun pengalaman sendiri).


Katanya ular dalam lubang yang sama tidak dapat mematuk manusia yang mengambil ikhtibar daripada pengalaman masa lalu.


Manusia lebih kerap memilih untuk bertindak balas. Dalam konteks ini, orang kerap menggunakan istilah reaktif dan pro-aktif.


Kitaran dalam proses kualiti membuat manusia sentiasa berfikir dan berubah menjadi lebih baik. Manusia yang berhenti berfikir lebih bagus pupus. Untuk staf di Jabatan-Jabatan yang tidak tahu mahu membuat apa-apa dalam bulan puasa ini, kita ada satu saranan:


“Bacalah kamus, lebih bagus hafallah maknanya. Bagi yang berpuasa ― tentunya lebih afdhal menghafal Quran.”


2) Pusat serenti dan sekolah bunting sebagai petunjuk


Entah bergurau, entah mahu menyindir, ada yang bersyarah tentang kemajuan yang dicapai pemerintah dengan memaklumkan bahawa di bawah RMK ke sekian-sekian, kita telah membina 10 buah pusat serenti. Dalam RMK terdahulu, cuma ada 4 buah.


Syukurlah: Rupa-rupanya kita bertambah maju. Syukur.



Dan tatkala membaca sebuah akhbar hari ini, kita juga terbaca satu tajuk berita:


“Sudah ada tiga orang yang mendaftar untuk memasuki sekolah hamil...”


Bagaimanakah tuan mahu membacanya? Apakah kita membaca perihal kehebatan para pemimpin kita berfikir, memimpin dan bertindak?


Atau adakah ada sesuatu yang tidak kena dengan fikiran kita sendiri sehinggakan kita tidak dapat fahami apa yang difikirkan dan dilaksanakan oleh para pemimpin kita ini?


Atau, apakah mungkin, ya mungkin “ini ― satu lagi hasil ternakan ― projek kerajaan?’

Mungkin. Yang jelas rakyat jelata semakin pening.


“Celaru...celaru...” kata Haji Kasa, Ulu Tembeling.


“Pening aku...aku pening..” rungut Haji Deraman Sungai Derhaka.


Ya, betul-betul memeningkan.



3) Penutup


Mungkin ramai juga yang akan berkata: Kerja kamu hanya mengkritik. Apakah yang telah kamu sumbangkan?

Itu tak betul, bacalah berapa banyak hujah dan saranan yang telah dibentangkan. Apakah kita pernah ambil peduli atau perhatikan?



Kita tidak pernah peduli kerana kita sentiasa berfikir, “ The government knows best.” ― Seungguhnya, pemerintah kita lebih mengetahui.



Wallahuaklam.




No comments: