Thursday, October 28, 2010

"BukuQalbu"


Perihal “BukuQalbu”


Dalam entri mutakhir blog ‘Hujan Pagi’ http://samadsaid.wordpress.com 
Datuk A. Samad Said, Pak Samad menulis tentang:  Antara “BukuWajah” dengan “BukuQalbu”. 

i.

Mulanya kita hanya ingin menulis satu paragraf sebagai reaksi kepada entri harapan Sasterawan Negara, khususnya mahasiswa negara kita yang tercinta ini.  Ada baiknya jika kita perturunkan  semula apa yang disebut Pak Samad itu untuk renungan bersama: 

“Saya terpikat oleh penjelajahan dan “kecapaian” Bill Gates, Jeff Bezos dan Steve Job, sebelum Mark Zuckerberg. Saya menapis manfaat daripada kejayaan duniawi mereka.

Antara sedar dan khayal—sebelum azan Asar dan Magrib—saya sempat keluar daripada buku “The Facebook Effect” itu dengan lega. Dan saya kembali ke bumi sendiri. Pertama, tentulah saya sendiripun berharap bangat akan lahir Mark Zuckerberg di kalangan siswa kita. Siapa tahu dalam senyap akan hadir sekelompok mahasiswa Melayu yang sempat memulakan “BukuQalbu” mengimbangi “BukuWajah”—Facebook. Yang sebuah memang duniawi; sebuah lagi syahdu ukhrawi.

Apakah antara sebaik kandungan buku ukhrawi itu?

Sambil bersandar antara khayal dan sedar, saya mengharapkan dalam “BukuQalbu” itu nanti sempatlah siswa kita menyedarkan pemimpinnya supaya jangan gelojoh tambah menara; tambahlah rumah murba. Usahlah galak melonggok hutang; pulihkanlah ekuiti bangsa. Kurangkan varsiti klon-klonan; perbanyak varsiti sendiri. Dan, usah galak dengan wang ikhsan; bertuluslah beri royalti.

Akhir-akhir ini saya makin tersedar bahawa kita sangat selesa menjadi bangsa penjanji. Dan janjinya pula sentiasa mega. Kebanyakan janji itu berakar hutang. Akan banyak IPO, juga pelbagai bond—beban hutang bagi generasi datang.

Sementara berwuduk baru, saya terdengar: Bolehkah kita jadi bangsa penjimat, bukan pemboros? Elaklah jadi George Bush dan Gordon Brown yang lebih mewariskan hutang daripada mewariskan khazanah. Tolong abadikan itu dalam “BukuQalbu”. Tolong!”


ii.   


Apabila Pak Samad bercakap soal “BukuQalbu” para mahasiswa buat mengimbangi “BukuWajah” ― Facebook yang menjadi kegilaan sekian ramai sekarang ini, kita teringat beberapa soalan yang mendap di dalam  benak. 
Antara lainnya: 

Apakah idealisme seumpama itu masih hidup dalam kalangan kita, khususnya para pemimpin Melayu, atau apakah ia sudah lama kita talqinkan?  

Apakah benar, kita ― rata-rata telah menjadi bangsa enau dalam belukar?


Atau sebenarnya,  kita menghadapi masalah yang lebih serius ― ‘kita tidak memiliki para falsafah dan ahli fikir.  Kombinasi antara faktor-faktor sejarah dan sosiologi inilah yang membuat Malaysia sepi daripada kegiatan intelektual?”  (Syed Hussein AlAtas, “Intelektual Masyarakat Membangun, 2009 Dewan Bahasa dan Pustaka.)  


Apakah masalah kita tidak banyak berbeza dengan penyakit yang sekian lama kita hadapi selama ini?  Lihatlah pemerhatian Abdullah Munshi, “ Dalam analisis beliau tentang punca kebekuan ekonomi masyarakat Melayu, beliau menyalahkan masyarakat feudal Melayu; mutu pentadbiran dan keserakahan kaum bangsawan yang berkuasa.  Golongan rakyat biasa takut untuk mengumpulkan kekayaan disebabkan besar kemungkinan akan disita oleh penguasa dan samseng-samsengnya.  Abdullah memuji zaman kekuasaan British di bawah pemerintahan Stamford Raffles yang memperkenalkan jaminan keamanan hidup dan hak pemilikan.”

Apakah sesungguhnya masalah terbesar kita sekarang ini ialah perihal ‘mutu pentadbiran dan keserakahan kaum bangsawan yang berkuasa’ itu tersangat serius sehinggakan mereka yang katanya memiliki ilmu itu (dilihat daripada sudut gelar-gelar kesarjanaan dan pelagai kedudukan strategik yang mereka pegang) telah pencen menjadi intelektual?


Kita sangat mengharapkan kepimpinan.  Kita menantikan satu perubahan.

Pak Samad,

Terima kasih kerana entri yang menarik itu.

Terima kasih.




2 comments:

al-brangi Online said...

salam tuan,

saya pun bekas warga yg mana tuan pernah jadi warganya.

perancangan untuk cuba bertapak di putrajaya sepertimana dirancang...nampaknya tak menjadi kerana En.Azrul sudah maklumkan kepada saya, bajet tidak mencukupi.

saya juga mengharapkan tuan beri bimbingan dlm penulisan kerana saya terikut2 dengan displin engineering yang banyak straight forward dan ringkas

barajiwa said...

Walaikumsalam,

Syukurlah kalau berminat untuk merekod/menulis. Marilah kita sama-sama rekod apa yang patut direkod.

Bahasa bukanlah 'milik orang-orang bahasa' saja. Mereka yang hebat-hebat bahasanya tapi memilih mendiamkan diri pun tak bermakna.

Kalau ubi kayu, boleh juga kita korek dan rebus bila sampai masanya.

Wallahuaklam.