Sunday, October 24, 2010

Giyono yang inovatif

Dalam Harakah bilangan 1583, bertarikh 17 – 20 Zulkaedah 1431, bersamaan 25 – 28 Oktober 2010, di halaman N3 tersiar sebuah berita, “Pengundi Galas diingatkan, RM70 juta untuk ‘lubang kubur’ VIP”


Ada sebuah projek, namanya Pusara Negara yang katanya bakal menelan belanja sebanyak RM70 juta.  Projek yang agak inovatif ini akan menyediakan sebanyak 500 (lima ratus sahaja) lubang kubur untuk para pembesar VIP yang Islam dan juga yang bukan Islam.  

Tolak, campur, bahagi dan darab, kosnya sebuah ― katanya ialah RM140,000.00 (Satu ratus empat puluh ribu saja).    

Memang tak mahal,  untuk sebuah negara berprestij tinggi seperti Malaysia, projeknya memang tak mahal.

Oleh Ketua Opisisi, dikatakan bahawa kubur ini adalah untuk para pembesar VIP Umno dan para VIP yang bukan Muslim lainnya.  Kita tidak tahu apakah, DSAI dengki atau terkilan kalau-kalau tidak ke bagian satu lubang...


Luar biasa, Malaysiaku, sungguh luar biasa, kamu.
  


ii.

Dalam bulan Disember 2008, sebuah cerpen berhubung cerita mati dan segala urusan yang berkaitan dengannya, pernah disiarkan oleh Harakah.

Rasanya ingin sekali, saya mencadangkan supaya  Giyono, MD Selamat Istirihat Sdn Bhd cepat-cepat merebut peluang RM70 juta ini...

Silalah nikmati cerpennya.



iii.


Giyono, MD Selamat Istirihat Sdn Bhd.
Oleh: Kassim Muhamad



Semalam, kira-kira akhir Disember 2008...

“Edan! Edan!” Ya, semuanya sudah tunggang langgang jadinya.  Dari yang paling kecil sehingga yang paling besar, norma dan peraturan sudah terjungkir balik.   Giyono terus-terusan menggeleng-gelengkan kepalanya.  Mungkin dunia tua akhir zaman ini, semakin sasau dan nyanyuk.  Kesasauannya penghuninya kian nyata.  Anehkan?  Kini saban waktu  berlaku yang pelik-pelik, yang luar biasa: Dibaca, ditontoninya atau diceritakan oleh teman-temannya yang pernah sekapal dengannya dari pelabuhan Tanjung Periok. Semalam dia menonton bagaimana jet-jet pemusnah Israel menyerang dan membunuh rakyat Palestine.  Pelikkan? Rakyat yang menggunakan hak demokrasi untuk memilih Hamas sebagai pemimpin terus-terusan didera, disiksa, dianaiya. Rakyat yang saban hari dizalimi menjadi bahan tontonan dunia tua yang nyanyuk.  Aduh, edan. Saban hari mereka yang lemah diganyang.  Sebelum ini semua yang pelik-pelik seperti ini tidak pernah terlintas di di dalam fikirannya: 

Satu ketika dia terbaca kisah seorang model tersohor.  Si jelita telah memasang iklan di sebuah akhbar nasional negaranya (yang slogannya bukanlah “penyebar fikiran melarat”) dengan inti hebahannya kira-kira membawa maksud begini: Bahawa dia rela ucapkan sayonara kepada selaput daranya kepada pembida yang tertinggi!  Giyono tidak tau siapakah gerangannya lelaki yang telah dinobatkan sebagai sang maharaja selaput itu. Lelaki yang menghimpun selaput, sebagai hobi.

Giyono terkilan. Kenapakah dia bukannya anak Pak Lurah yang memiliki wang berguni-guni buat menyekolahkannya ke sekolah kedoktoran di UGM atau UI?  Kalau dia sudah mencapai gelar doktor, mungkin Giyono akan memilih bidang pembinaaan selaput itu sebagai bidang kepakarannya.  Bisnesnya tentu bagus.  Bukankah dunia lelaki semakin gagah dengan pengumpul selaput?  Betapa ruginya dia tidak menjadi seorang doktor.  Mungkin membina semula selaput lebih bagus bisnesnya daripada membuka injap jantung kaput oleh IJN yang bakal dilelong kepada pemilik bisnes yang besar. 

Temannya Giyono, si Joko juga pernah bercerita. Cerita yang dikisahkan Joko pula  membawa maksud seperti ini: Bahawa pasangan moden zaman sekarang sudah gemar mematerai perjanjian ekslusif dan bertulis,  sebelum mereka dijabkabulkan.

“Apa betul?”  Giyono kurang yakin    

“Ya, betul. Masak kamu tidak tau?”  Joko juga pelik, kenapa Giyono sampai begitu  blurr.

“Nggak!”  

“Wah ketinggalan sepur kamu rupanya”

Joko terus bercerita. Khabarnya salah satu syaratnya perkahwinan pasangan moden ialah setiap pasangan mestilah berupaya menerima dan memberikan keadilan.  Ya, biasa fikir Giyono.  Suami isteri mestilah adil terhadap pasangannya.  Itu bukan perkara luar biasa.  Lalu kenapa sampai repot-repot?

“Loh, biasakan gitu. Hidup mesti adil, baru aman rumah tangga”  jelas Giyono.

“Tapi pasangan ini tidak jadi kahwin”  jelas Joko.

“Loh, napa?’  sekali lagi Giyono berloh-loh.

“Kata calon isteri, dia tidak bakal dapat syarat keadilannya”  Joko semakin serius.

“Biar benaaarr?” 

“Ya, sang suami tidak mahu terima giliran untuk mengandung!”  Joko terbahak-bahak...

“Sialan kamu! Aku kira ini cerita betul”  Giyono begitu sakit hatinya. 

“Ya, ini cerita betul. Inilah betul-betul ceritaloh. Itukan emansipasi namanya?” 

“Udah, udah. Jangan ngawur kamu!”  Giyono mahu mematikan lawak tidak lucu temannya.   Apakah mungkin semua ini tidak mungkin?  Bagaimana pula dengan lelaki yang berumah tangga dengan seorang pria? Akan dapatkah dia zuriatnya?  Bukankah sudah ramai pasangan yang telah berkahwin begini?  Katakanlah aku dan Joko menjadi suami-suami,  (ah, betapa seramnya) mana dia anak@zuriat kami?  Edan, gila. 

Betullah, dunia kini semakin edan. Akhirnya Giyono memutuskan sedemikian.


Keesokannya, pagi-pagi Giyono sudah bertandang.  Joko agak pelik kenapa temannya,  pagi-pagi sudah tercegat di depan pintunya, dan sepagi itu.

“Ono opo kui, bengi-bengi neng kene?”  Joko masih belum bisa mengira-ngira hujung pangkalnya, sebab musabab kunjungannya temannya.

“Ayuk, kita buat bisnes”  Giyono serius.  Joko kehairanan.

“Ya aku pun pernah fikir begitu, kita buat bisnes”  Joko masih menguap-nguap panjang, sesekali menggosok-gosokkan matanya yang selekeh sambil mendepa-depakan kedua-dua belah tangannya.  Bulu ketiak yang tidak bercukur, basah dengan keringat pagi.  Aduh,  ayem sekali rasanya.
“Oh, ya kamu juga udah fikir mau bisnes?”  Giyono kegirangan. “Cuba, situ bilang. Maunya bisnes apa?” 

Pagi-pagi buta sudah berlagak korporat besar.   Joko sudah hampir-hampir seratus persen waras dari kejutan kunjungan temannya pagi itu.  Dia mengulum rasa lucunya. Mungkin mimpinya Giyono malam tadi bukanlah mimpi rakyat biasa.  Temannya mau menjadi korporat dan global-glokal.  Apa mungkin mimpi Giyono malam tadi tidak sesempurna biasa?  Boleh jadi Giyono telah bermimpi sepenuhnya di dalam bahasa Inggeris.  Kalau benar, ini kemajuan, satu kemajuan yang amat besar, fikirnya.

“Bikin sepatu”  Joko menjelaskan.

“Waduh! itukan udah banyak di Malaaysiaa.  Mendingan kamu jual tempe aja”  tiba-tiba saja Giyono menjadi jengkel.

“Dengar dulu, dong.  Ini bukan bisnes sembarangan.  Dan ini juga bukan sepatu sembarangan.  Sepatu kado, pelepas geram!”

“Aduh,  kok mahu jadi tukang sepatu segala!”  Giyono benar-benar bertambah jengkel sekarang.

“Ya,  kita bikin sepatu untuk para demonstran!  Kalau bisnes kita lagi okey, kita eksport sepatu-sepatu kado kita ke Timur Tengah atau lebih bagus ke Amerika”

“Aduh, terlalu banyak nonton tv dan baca koran neh!!”


Sepuluh tahun,  kemudian....

Ditatapnya wajah Muntazer al-Zaidi yang terpampang di dinding ruang utama pejabatnya. Sepasang protaip sepatu lelaki itu dijulang sepasang tombak Zulu yang dibelinya sebagai buah tangan, di Afrika.  Dan sepasang sepatu itu terus tegak di penjuru kamarnya. Sepatu seorang lelaki yang amat berani telah menyalakan dia dan Joko menjadi pemberani.

Kenapakah kita sampai rela membenarkan diri kita dimatikan sebagai manusia penakut? Begitulah kira-kira, soalannya Joko ketika itu.

Biar betapa besar sekalipun ketakutan mencengkam kita, kita toh pasti mati, hujah Joko lagi.

Baguskah,  kalau kita semua mati  sebagai manusia penakut?

Bukankah semua yang hidup pastinya akan mati?  Ayat ke berapa dan surah apa itu?  Tanya Joko lagi.
Giyono hanya mendengar.  Temannya lagi bersemangat.

“Kita urus saja kematian kita.  Mula-mula kau yang urus kematianku,” demikian tiba-tiba saranan Joko, ketika itu.


Jengkaut baru mesti ditempah, fikir Giyono.  Yang ada,  tidak lagi mencukupi. Para pembaca tahlil tambahan juga mesti diimport dari kampungnya,  Ponorogo atau dari Semarang, kampung halamannya Joko. Sisa-sisa benih pakar tahlil yang ada di Malaysia telah pupus atau hampir-hampir pupus semuanya.  Alif pun sudah dikira batang kayu.   Kafan benang halus kelas pertama, dari Mesir mesti ditambah tempahannya. Bayangkan sekapal kain kafan kelas wahid habis dijual dalam tempoh seminggu.  Apakah rakyat Malaysia yang begitu takutkan pemerintah ingin cepat-cepat mati? Atau mungkin juga kain kafan yang   ditempah oleh para penutur bahasa Melayu sekalian belum mencukupi untuk menghapuskan air mata PPSMI? Mungkin juga. Ya mungkin.  Mereka rela mati kerana terlalu takut mengatakan bahawa bahasa mereka adalah darah, nadi dan roh mereka. Oleh itu mereka, (itu sekalian yang memimpin masyarakat Melayu) telah memilih untuk mati.  Mereka ingin lekas-lekas pergi seperti perginya Jawi yang dibuang negeri seawal merdeka.  Seluruh rakyat jelata bisu dan tuli.  Yang jelas rakayat Malaysia sekarang sudah memilih kelas kain kafannya.  Pembaca Quran di atas kubur juga perlu ditambah.  Rata-rata spesifikasi tempahan semua pelanggan meliputi syarat utama yang penting: Selama empat puluh hari,  empat puluh malam, Al-Quran mestilah dibaca oleh qari yang sedap-nyaring suaranya dan bagus tajwidnya.  Kereta mayat tidak boleh lagi van yang “biasa-biasa”.  Minggu lepas ada ahli keluarga yang marah-marah kenapa kereta jenazah yang disediakan bukan dari jenis model mutakhir lagi mewah seperti merci model terbaru.  Oh,  ya staf yang menguruskan liang lahad juga mesti betul-betul terlatih untuk memandu jengkaut.  Dua minggu lalu ada pengemudi jengkautnya yang mengorek sehingga tersasul ke kuburan jiran.  Lalu ada tengkorak yang masih basah turut terangkat. Mujur tidak ada sesiapa yang melihat, kecuali Joko.

Telefon pejabatnya berdering...

“Hello, ya Encik, ya saya..Giyono. Ya saya MDnya Selamat Istirihat Sdn Bhd.  Rakan kongsi? Joko masih di Mesir tuan. Ada sedikit urusan”

“Oh, qholuinnawainnailahirhojiuunn... ya takziah encik.  Ya, kami sediakan pakejnya yang lengkap, encik...”

“Encik...itu, oh ya...belum Encik”

Wah,  ada lagi skop baru bisnes rupanya.  Rezeki. Ada bisnes tambahan.  Siapa ya,  di Ponorogo yang paling pilu dan amat menyayat tangisannya??  Atau mungkin juga kita cari dulu di Malaysia.  Siapa tahu kalau-kalau para pemimpin persatuan bahasa di Malaysia lebih garuk dan serak tangisannya? Ya,  siapa tahu?  Giyono cepat-cepat mencari senarai telefon persatuan  bahasa.  Ya,  Dewan Petaka Bahasa ....



(MS word veri 2007: 1255 patah perkataan, jumlah karakter dengan ruang 9050) 





No comments: