Monday, October 25, 2010

Mengenangi zaman dahulu kala

“Ini kepala bapak kau!”


Semasa kita kecil-kecil dulu, dalam sekian ramai kawan-kawan kita, terdapat seorang dua yang terlebih ‘kepandaian’nya  ― pandai menjadi batu api.  Masih ingatkah tuan dengan peristiwa-peristiwa menyalakan ‘batu api’ yang sedemikian?

“Ini kepala bapak engkau!” kata rakan sang batu api ini, sambil menggaris di atas tanah.  Si A,  yang termakan hasutannya menerkam sambil, memijak-mijak ‘kepala bapanya kau.’

Namun Si B melihat peristiwa itu tanpa memberikan sebarang reaksi ― malah berlalu saja dari situ seolah-olah tidak ada apa pun yang telah berlaku!

Sehari dua ini, kita telah menyaksikan tayangan semula episod budak nakal si batu api ini.  Ternyata Si A dan juga Si B,  tidak berahi untuk menerkam.  Ternyata A dan B semakin cerdik.  

(Kalau tidak salah ingat, almarhum P. Ramlie pernah merakamkan episod ‘Ini kepala bapak kau!” yang berakhir dengan pergaduhan sengit di antara Si A dan Si B). 


ii.


Orang-orang politik kita, mungkin kerana tidak cukup puas menjadi ‘budak-budak’ tatkala melintasi zaman kanak-kanaknya, apabila dewasa kerap pula kembali menjadi ‘budak-budak’.  Kalau tidak salah ingat, kita pernah melihat mantan seorang pemimpin besar sebuah parti politik yang besar pula di negara kita ini, menjelirkan lidahnya semasa berhujah.  Masihkah tuan ingat? 

Apakah aksi menjelir lidah itu juga tergolong sebagai salah satu daripada sekian banyaknya taktik dan teknik versi suam-suam kuku alanya “Ini kepala bapak kau!”?

Bagaimana pula dengan aksi versi “langkahlah mayatku...’ itu?


iii.


Pada satu saat di zaman silam, juga seorang pemimpin yang besar, telah mengumumkan bahawa penguasaan bahasa Inggeris anak-anak kita ‘tersangat’lah teruk, lalu oleh pemimpin besar ini secara sendirian, unilateral, mengumumkan bahawa dasar X mestilah dilaksanakan segera.

Rupa-rupanya, ternyata fenomena ini adalah sejenis penyakit.  Penyakit berjangkit yang kerap menjangkiti orang-orang politik kita.  Kelihatannya orang besar-besar kita begitu gemar sekali mengumumkan bahawa anak-anak kita mesti diajar subjek ‘itu dan ini’ kerana subjek ‘itu dan ini’ penting demi untuk masa depan anak-anak kita dan,  tentunya demi negara kita.  Maka mulai tahun sekian,  subjek ‘itu dan ini’ itu akan menjadi mata pelajaran yang wajib.


iv.

Memandangkan peristiwa-peristiwa seperti ini kerap sekali berlaku, maka kita pun cenderung bersetuju bahawa elok jugalah kalau sesetengah bahagian atau jabatan dalam jentera pentadbiran kita itu, ditutup saja.  Jabatan atau bahagian ini menjadi lewah/redundant kerana ternyata orang besar-besar kita ini mampu memikul tanggungjawabnya ini secara sendirian.  Bukankah begitu?    

Atau sememangnyalah orang-orang besar kita ini, kerana kuasa besar yang mereka miliki itu, kerap berbincang di sebalik tabir segala isu-isu besar-besar, demi untuk membuat kejutan. 

Rakyat pasti berlonjak gembira kerana orang-orang besar mereka ternyata bijak sekali membuat kejutan ― surprise, surprise...  

Maka agaknya memang satu trend kini jika orang-orang besar kita mengumumkan bahawa ‘itu dan ini’ baik untuk kita kerana merekalah yang paling arif bahawa ‘itu dan ini’ sangatlah baik untuk kita, rakyat jelata semua.


v.


Orang-orang politik, seperti kanak-kanak ternyata gemar sekali bermain ,”Ini kepala bapak kau!” dan bermain ‘umum dan hebah dasar’, di depan kawan-kawannya.

Memang benarlah seperti yang terbuku dalam fikiran kita selama ini bahawa orang-orang besar kita, sememangnya serba mengetahui.

Luar biasa kamu,  Malaysia ― sungguh kau lelaki yang sungguh luar biasa.











No comments: