Monday, November 15, 2010

Membaca peristiwa

Peristiwa satu: Banjir


Hatyaai, sebuah kota destinasi pelancong, termasuk dari Malaysia pernah ‘tenggelam’ dalam tahun 2005 dan ketika itu Kedah juga turut menerima akibatnya.  

November 2010, banjir yang melanda Kedah dan Perlis, katanya antara lain disebabkan oleh tindakan negara jiran kita menyalirkan/membebaskan air dari empangannya(?).

Kalaulah dakwaan ini benar, kita tentulah teringat akan segala kehebatan-kecanggihan komunikasi-teknologi serta keupayaan manusia menguasai ilmu-ilmu seperti deriaan jarak jauh (remote sensing) yang katanya sangat bermanfaat untuk kesejahteraan umat manusia. 

Kenapakah begitu ?  Ilmu dan teknologi ini dapat membantu manusia pertingkatkan kualiti pengurusannya ― misalnya dalam pengurusan sumber air yang antara lain berkait rapat dengan segala peraturan dan prosedur,  seperti kaedah penggendalian (operating rule) empangan. 

Tidak kurang pentingnya, ialah aspek kerjasama dan komunikasi di antara Kerajaan dengan Kerajaan (G to G) yang tentunya tidak berhenti dan penting hanya tatkala menghambat,  katanya ‘teroris Islam’ yang mati-matian mahu diamankan oleh Amerika itu.  Isu-isu seperti banjir juga,  rasanya penting ditangani bersama.   

Apa yang telah kita pelajari daripada peristiwa di atas? 

Pertama,  aspek kualiti pengurusan kita.   Di samping itu, aspek yang tidak kurang pentingnya, ialah apakah semangat federalisme yang termaktub dalam perlembagaan kita itu masih kukuh dan mantap?  Apakah roh dan semangat dokumen itu masih lagi bermakna?  Atau adakah yang lebih penting sekarang ialah hakikat bahawa “itu negeri pembangkang, maka pembangkanglah yang uruskan.”

Dalam konteks semangat dan roh federalisme ini, kita tentu masih ingat pengalaman jajaran laluan gas yang melibatkan negeri Kelantan.  Demikianlah hebatnya cara kita berpolitik.  Nampaknya  begitulah jadinya apabila rakyat sesebuah negeri itu,  walaupun secara demokratis,  memilih parti yang tidak sama bulunya dengannya, kelompok manusia ini seolah-olah sudah menjadi orang lain, bukan lagi rakyat negara ini (?).  Apakah betul andaian yang sebegini?   

Dalam konteks ini, istilah yang Pas kerap gunakan ialah ‘politik balas dendam’.  Sebenarnya model ‘politik balas dendam’  ini cukup baik untuk diterangkan kepada rakyat ― betapa rakyat telah didahulukan. 

Yang perlu dibuat mungkin ialah menghimpun-lengkapkan senarai ‘politik balas dendam’ ini untuk dibukukan dan dihuraikan satu persatu,  kepada rakyat jelata.

Itu peristiwa pertama.


Peristiwa-peristiwa lain yang tidak kurang menariknya ialah komen dan pandangan pelbagai pembaca berhubung hasil pertarungan kelompok Kula dan Nga, komen LGE berhubung perkara 153 yang katanya dijuarai Umno itu, dan matinya tiga orang perompak (Melayu) ditangan pihak yang berkuasa dan reaksi DAP.

Insyallah, kita bertemu lagi.




No comments: