Saturday, November 13, 2010

Mencari teks sastera yang lebih mengancam

“Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu” sebagai teks wajib SPM.


Dalam ‘pengantar kata’nya buku “Konsep Wira Dalam Masyarakat Melayu”  Pustaka Nasional Pte Ltd, Singapura 1993, Shaharuddin Maaruf, menulis begini:

“Penerbit utama yang menerbit dalam bahasa Malaysia menolak manuskrip kerana mereka khuatir tindakan pihak berkuasa.  Ada pula tokoh-tokoh akademik yang berpengaruh yang ‘menasihati’ institusi-institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka supaya jangan menerbitkannya, kerana kononnya memburukkan imej bangsa Melayu.  Saya serahkanlah kepada pembaca untuk menilai kecaman sedemikian berdasarkan kandungan buku.  Bagi pihak saya, saya rasa ini merupakan satu helah mempertahankan tradisi akademik yang berbau feudal-kolonial yang usang itu.”      

Kata pengantar ini ditulis dalam tahun 1993 atau tepatnya pada 23 Januari 1993.  Soalan kita ialah:  Adakah keadaan kita telah berubah ― menjadi lebih baik?

Dalam buku ini, pelbagai aspek konsep wira dan keperwiraan disentuh oleh pengarang.  Shaharuddin tentunya tidak lupa melihat Hang Tuah dan Hang Jebat dengan mengutip pandangan pelbagai sarjana tentang dua orang wira Melayu ini.  Antara lain,  mereka ini termasuklah Kassim Ahmad dan Muhammad Haji Salleh.

Kata Shaharuddin, (hal 53), “Bukan Kassim Ahmad seorang yang tersilap menganggap kebuasan nafsu Hang Jebat sebagai idealisme.  Muhammad Haji Salleh juga memuji-muji keunggulan Jebat:  Sama juga seperti sikapnya terhadap orang-orang lain dan berbagai perkara dalam kehidupan sikapnya terhadap dayang-dayang istana menunjukkan sifat bersahaja.  Kehidupan seks Hang Tuah tidak digambarkan oleh penulis hikayat.  Walau bagaimanapun, dari gambaran gaya hidup Hang Jebat kita berasa yang Hang Jebat hidup dengan bebas dan mengambil kesempatan penuh akan keadaan, keperluan dan kehendak nafsu.  Tiada prinsip-prinsip atau pegangan-pegangan yang harus mengongkong sifat-sifat kemanusiaannya ... Kebebasan diri yang sedemikian adalah sesuatu yang kita hargai hari ini, kerana kita berasa hanya menerusi kebebasan yang sedemikian rupa kita dapat mencapai pengertian sepenuhnya kewujudan kita sebagai manusia.  Kebebasan peribadi yang asasi tidak dihargai sangat pada zaman lampau dan kejayaan Hang Jebat menegakkannya merupakan satu aspek pemberontakan yang mendapat simpati kita.”25  Di sini kita melihat bagaimana kecabulan digembur-gemburkan menjadi satu perjuangan menegakkan kebebasan peribadi atau individu.”


ii.

Jika ada yang bertanya buku apakah yang baik untuk ditelaah oleh para pelajar kita, saya tidak ragu-ragu menyarannya untuk renungan anak-anak muda kita.  Lihatlah bagaimana seorang bekas PTD, Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang menjadi pensyarah ini,  melihat konsep wira dalam masyarakat Melayu.  Lihatlah bagaimana pengarangnya melihat Revolusi Mental, Senu Abdul Rahman dan tentunya tindak tanduk para pemimpin Melayu dalam mentadbirkan negara ini.

Bayangkanlah, jika buku ini menjadi teks wajib untuk para pelajar SPM kita.  Kelas bahasa Malaysia tentunya ― menjadi jauh lebih meriah.






3 comments:

Anonymous said...

sdra barajiwa,
mengatasi masalah ini saya dng anuar asmadi, dengan minta sokongan presiden cap, nak buat satu majlis, forum dan ceramah dari tokoh penulis indonesia, minta bercakap hal-hal penulis mesti berani menterjemahkan kebenaran dan cara terbaik memutukan penulisan buku,cara mempromosi judul. kalau diizinkan, bulan januari depan. paksi akan dijemput memberi kerjasama.

barajiwa said...

Tuan,

Syukurlah kalau begitu. Kita dapat dengar dan belajar apa kata penulis dari seberang Selat Melaka dalam hal-hal begini.

Insyallah, kita maklumkan kepada kawan-kawan Paksi/BB. Mungkin juga ada dalam kalangan pembaca blog ini yang berminat(?).

Terima kasih.

Kassim Muhamad.

shaharuddin maaruf said...

Tuan barajiwa,

Terima kaseh atas simpati/sokongan terhadap buku saya 'Konsep Wira Dlm Masyarakat Melayu'. Sangat saya hargai

ikhlas

Shaharuddin Maaruf