Friday, November 12, 2010

A Samad Said: Antara saya dan pelajar

‘Salina’  dan “Al-Amin’(1)


Pada satu waktu Shahnon Ahmad dikritik habis-habisan kerana  melahirkan ‘Shit’nya ― sehinggakan ada yang seolah-olah ‘tidak mahu percaya’ bahawa novel ‘jorok’ itu ditulis oleh Sasterawan Negara itu.  (Tingkah laku pengamat sastera yang menilai ‘Shit’ sedemikian rupa ini,  mengingatkan kita kepada kebencian penonton terhadap Mahmud Jun, walaupun di luar filem, kerana kezalimannya dalam pelbagai filem.  Para pemerhati filem berpendapat bahawa inilah salah satu petunjuk bahawa lakonan al-marhum itu berkesan.)

Dinsman pernah mengisahkan watak Adam (Bukan Bunuh Diri, BBD) dan Kaab (Menunggu Kata Dari Tuhan, MKDT).  Yang satunya, BBD ditulis tatkala masih muda dan sedang mencari-cari dan tercari-cari makna kehidupan ini, sementara MKDT lahir setelah usianya hampir  mencecah 60an.  Semua itu menggambarkan perjalanan batin dan pencapaian wisdoma (pinjam istilah Bapak) seseorang seniman.

Mari kita kembali kepada ‘Salina’ dan ‘Al-Amin’.  Salina’ mendapat liputan yang cukup meluas sehinggakan Pak Samad sering dikaitkan dengan novel itu.  Mungkin ini juga berpunca daripada pandangan pengkritik luar seperti A. Teeuw.

‘Al-Amin’?  Siapakah yang telah menekuninya secara serius (2)?  Orang-orang di pelbagai Jabatan Agama?  Fakulti pengajian Islam?  Atau kita ajak DBP berbuat demikian?   

Apakah kita mahu mengharapkan DBP lagi?  Dewan Bahasa dan Pustaka yang bernafas sekarang ini bukan saja lebih berminat dengan buku-buku teks malah ― khabarnya dalam struktur organisasinya yang mutakhir ini, Bahagian Kritikan Sasteranya pun sudah dikuburkan!

Demikianlah betapa hebatnya para pemikir Melayu melihat dunia sastera dan budaya Melayu.  Adakah para ilmuan kita (yang entah berapa ribu jumlah itu) tidak dapat melihat semua ini? 

Saya lebih cenderung agar DBP ini diketuai oleh seorang CEO bukan Melayu yang benar-benar profesional dan kompeten. 

Orang seperti ini akan menggembalikan peranan sebenar, lantas kehebatan DBP.  Kenapakah kita berkata begitu?  Orang ini tidak kenal siapakah ‘tuan’ yang mesti diturutinya (dengan membuta tuli pula), buta dan tuli seperti seekor tikus besar yang baru mendapat labu pertamanya.


________________________________________________________________
(1)  Ulasan terhadap entri Pak Samad di dalam blognya 'Hujan Pagi' yang berjudul “ Antara saya dan pelajar”

(2) Mungkin sudah terdapat ulasannya yang bagus dan cukup lengkap.




 

No comments: