Tuesday, November 16, 2010

Yang kecil-kecil sebagai ukuran

 
Inilah emel yang saya terima daripada seorang teman di utara tanah air.  Pemerhatian beliau tatkala mengharungi banjir semasa membantu korban banjir ini elok dijadikan renungan bersama. Teman ini memiliki persepsinya yang tersendiri dalam peristiwa ini.

Mudah-mudahan kita sama-sama semakin dewasa dengan pengalaman/pemerhatian yang sebegini.

1 Malaysia: Gugurkan Istilah ‘Asing’

Ketika rencana ini ditulis, bencana banjir yang melanda beberapa negeri di utara tanah air khususnya di Perlis dan Kedah masih teruk. Mengharung air banjir separas paha dengan berjalan kaki sehingga dua kilometer kerana memberi bantuan kepada mangsa menyelamatkan harta benda dan perabot rumah telah memberikan saya ilham untuk menulis.
Semasa dalam perjalanan menuju ke tempat yang hendak diberikan pertolongan, saya cuba menahan beberapa kenderaan pacuan empat roda milik ‘orang asing’ yang lalu (hanya kenderaan seperti itu saja yang boleh limpas). Namun tidak ada sebuah pun kenderaan yang berhenti. Akhirnya, setelah meredah banjir sejauh lebih satu kilometer, saya berjaya menahan sebuah kenderaan milik ‘orang kita’ yang sudi membawa saya dan beberapa orang kawan yang lain ke tempat yang hendak dituju.
Setelah selesai melakukan kerja-kerja memindahkan kelengkapan rumah ke tingkat atas rumah berkenaan kerana bimbang paras air meningkat, semasa berjalan pulang sambil terpaksa meredah air banjir sekali lagi, saya terserempak dengan sebuah lori yang sedang mengangkut puluhan warga ‘asing’. 
Dalam hati saya bingkas bertanya, kenapakah mereka tidak sudi menumpangkan saya menaiki lori tersebut? Dalam keadaan sungguh keletihan, saya memerhatikan saja seorang demi seorang warga ‘asing’ diangkut menaiki lori sepanjang kenderaan itu bergerak perlahan meredah banjir. Sekali lagi dalam hati saya ligat bertanya, kenapakah saya tidak dipelawa langsung menaiki lori? Adakah kerana saya memakai ketayap? Ataupun adakah kerana saya ini berkulit sawo matang?
Lantas, dalam hati saya jelas menyatakan bahawa sesungguhnya amalan yang tercetus daripada gagasan 1 Malaysia sudah gagal. Begitulah kegagalan kita sejak merdeka 53 tahun lalu dalam mewujudkan perpaduan di antara semua kaum di Semenanjung Malaysia. Tidak halnya seperti apa yang terjadi Di Malaysia Timur, khususnya di Sabah, negeri yang pernah saya bermastautin selama lapan tahun lebih. Sudah sepatutnya hal begini diambil contoh oleh semua warga negara khususnya para penggubal dasar di peringkat kepimpinan tertinggi negara.
Meskipun kegagalan itu hanya berdasarkan kepada hanya satu peristiwa di musim banjir dalam sebuah lokaliti kecil di utara Semananjung, namun ia cukup untuk memberi iktibar kepada kita bahawa konsep 1 Malaysia tidak lebih daripada satu impian kosong ataupun halusinansi yang digembar-gemburkan. Ia merupaka satu tempelan baru pada jenama usang yang sudah tidak diperlukan lagi. Belum lagi kita bercakap mengenai polarisasi kaum yang masih ketara di mana-mana khususnya di pusat-pusat pengajian tinggi.
Justeru, demi keutuhan perpaduan antara kaum yang lebih bermakna, saya mencadangkan agar istilah ‘warga asing’ atau ‘orang asing’ digugurkan dalam amalan harian kita tidak kira di mana. Maksud saya, baik kita bercakap di kedai-kedai kopi, di persekitaran sekolah, di pasar-pasar, di perhentian bas, di hospital, mahupun di Parlimen, atau di mana-mana saja, usahlah kita gunakan lagi  istilah ‘asing’ untuk dirujuk kepada warga bukan peribumi.
Jika kita menganggap bahawa diri kita adalah warga negara yang prihatin, kita sudah tidak ada masa untuk bertelagah sesama sendiri dalam soal perpaduan yang merupakan resipi penting dalam kemandirian bumi bertuah ini. Kita sudah tidak ada pilihan melainkan menerima cadangan di atas untuk terus menyatukan seluruh warga negara tidak kira asal keturunan dan warna kulit.
Sesungguhnya kita dijadikan Allah beragam kaum dan budaya demi kenal mengenal dan rasa hormat menghormati antara satu sama lain. Wallahua’lam.       


No comments: