Monday, January 24, 2011

Mudahnya kita terperdaya

Juru lencong alias pengalih isu


Kita pernah menulis tentang kerja-kerja lencongan yang sesekali kita temui semasa memandu atau bermotosikal.   Aliran lalulintas yang biasa kita gunakan terpaksa dialih atau dilencongkan kerana ada sebuah jambatan atau pembentong baru sedang dibina.  Sebagai pengguna,  kita jarang berfikir untuk bertanya lebih jauh: Kenapakah lencongan itu didirikan?  Maknanya kita patuh tanpa banyak soalan,  apatah lagi protes.     

Kita jalani kehidupan ini seadanya.  Jika ada yang mengarahkan, “Silalah melencong dan segala kesulitan amat dikesali” kita patuhinya seadanya sepertimana yang diarah oleh penunjuk-penunjuk  arah itu.  Ya, untuk apa ― kita bersusah payah berfikir jauh, apakah yang tersirat di sebalik arahan itu?

Mungkin itulah sebabnya kenapa kita, rakyat jelata,  secara umumnya begitu mudah diperdayakan oleh mereka yang bijak dan tinggi maqam ilmu perdaya dan memperdayakan ini.  Sebagai contoh, apabila harga minyak dinaikkan dan harga barang-barang keperluan harian melambung, kita marah dan sakit hati.   Kita marah kerana not RM 50 ringgit sudah betul-betul menjadi RM 10 dari segi nilainya.  Kita menjadi semakin susah dan perit. 

Tiba-tiba ada seorang pemimpin Kerajaan dari kaum India bangun dan meletup-meletup hujahnya bahawa ‘Interlok’, novel yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran sebagai teks sastera untuk tingkatan lima itu, menghina kaum India. 

Maka ramilah yang berbondong-bondong, ikut meletup-meletupkan hujah masing-masing.

Novel itu telah menenggelamkan hakikat bahawa poket kita, rakyat jelata  semakin kosong dan harga barang-barang keperluan asas kian melambung...

Demikianlah mudahnya kita,  mereka perdayakan.

ii.

Marilah kita lihat contoh-contoh yang lain:

i) SPR muncul dengan idea inovatif yang namanya undi proksi.  Kita terlupa untuk tempelak  komponen Umno/BN ini bahawa isu-isu yang lebih asas seperti dakwat kekal, daftar pengudi yang bersih dan pelbagai tipu helah lain masih juga belum selesai-selesai dan itulah yang lebih penting dibincang dengan segera.  Apakah tindakan kita?

Kita memaklumkan kepada rakyat jelata bahawa SPR belum lagi tentukan tarikh untuk berbincang...

ii)  Apbila kita berikan contoh bahawa kepimpinan Nik Aziz itu adalah contoh nyata kehidupan seorang pemimpin Islam yang begitu menyerlah, maka terpacullah jeritan-jeritan bahawa Pas telah menggadaikan Islam.

Aneh tapi benar: Kita pun berhujah berkajang-kajang kenapa tuduhan itu tidak benar.

Tujuan sebenar jeritan-jeritan sumbang itu hanyalah untuk melencong@mengalihkan segala masalah-isu yang TIDAK mampu mereka jawab.   
   
Tapi nyata dan sungguh malang sekali ― kita patuhi lencongan yang mereka bina itu ― kita terlupa,  itulah tujuan sebenarnya sang musuh itu. Kita ditipu supaya melencong.

Apakah kita tidak boleh berubah?



No comments: