Monday, January 24, 2011

G, kaulah contoh itu

“Kehidupannya adalah contoh”


Tidak ada yang lebih besar pengaruhnya daripada contoh tauladan yang dia berikan sepanjang hayatnya memerintah.  Kehidupannya yang amat sederhana adalah dakwah yang paling berkesan.  Segala ketakutan orang-orang bukan Islam terhadap Islam, lenyap dengan contoh-contoh yang telah ditunjukkannya.

Itu adalah inti pandangannya tentang Nik Aziz.

Lalu, dia juga sangat pelik bagaimana sekelompok orang-orang Islam boleh menyerang dan membunuh orang-orang Islam yang lain kerana itu adalah keompok orang-orang Islam yang berbeza.   Kenapakah begitu?

Itu pandangan dan pengamatannya tentang kefanatikan orang-orang Islam di salah sebuah negara Islam.


ii.

Seperti biasa, kami dapat  bercakap tentang pelbagai isu ― termasuk agama.  Dia bukanlah orang  Melayu dan juga seorang bukan Islam.

“Kassim, kamu tau apakah berita yang paling panas dalam kalangan teman-teman JPS sekarang ini?”

Saya katakan tidak.

“Kawan kita telah memasuki agama Y?”

“Kenapakah dia tak pernah pertimbangkan agama X?”


iii.


Berita panas di kalangan teman-teman JPS ini membuat saya teringat contoh-contoh kenapakah Islam tidak dipedulikan dan juga TIDAK dipedulikan.  

Kata teman ini, dia mengenali contoh yang baik (baca: positif) tentang Islam daripada kawan kami, G. 

G telah memberikan contoh amalan yang baik tentang Islam,  dan situlah dia mulai mengenali  Islam.

G,  seorang Muslim sebagai staf JPS dengan segala kesederhanaan tingkah laku, sikap, amalan hidup seharian dan juga pergaulannya yang rapat dengan kawan-kawan bukan Islam di sekelilingnya, telah menjadi contoh dakwah yang terbaik.


iv.

Saya juga turut berdukacita kenapakah teman kami itu tidak pertimbangkan Islam sebagai agama pilihannya.  Mungkin kita memerlukan lebih ramai G dalam kehidupan ini. 

Maka setiap kali seseorang yang mengaku dirinya Islam itu,  tidak senonoh,  tanpa kita sedari Islam juga turut dinilai. 

Itu sebuah pesan ― buat sekujur diri. 

Kami baru saja duduk, sambil minum di sekitar Stadium Kelana Jaya setelah bersama-sama rakyat dalam himpunan “Hormati Suara Rakyat Selangor” pada satu petang 23, Januari 2011.



No comments: