Sunday, May 29, 2011

Projek sebagai dalih

Proses menternak projek


Ramai di kalangan kita tidak begitu sedar sesungguhnya sesuatu projek prasarana (contohnya, loji nuklear) itu mengambil masa yang cukup panjang untuk ‘dirancang’ sebelum lojinya benar-benar dibina di tapak.

Bermula dari saat dan hari pertama hujah kenapa loji nuklear diperlukan di negara sehinggalah loji itu dibina misalnya di Ulu Sungai, masa yang diambil untuk merancang, merekabentuk dan mencari pemborongnya memakan masa bertahun-tahun ― malah mungkin puluhan tahun.

Di zaman Kutty Mutty dulu, salah satu hujah utama yang sering dihujahkan kenapa konsep pengswastaan perlu dilaksanakan dengan segera di negara ini ialah untuk memendekkan tempoh pelaksanaan projek.  Sebab utama lain yang LEBIH UTAMA yang tidak diceritakan kepada kita,  rakyat ― tentunya manfaat yang bakal diperolehi para kroni Kutty Mutty yang sedang berbaris-baris di luar ofisnya.

Yang amat jelas ialah ‘masa menunggu’ sebelum sesuatu projek itu dibina akan bertambah panjang jika projek seperti loji nuklear itu ditentang oleh rakyat.  Rakyat yang takut kepada bencana nuklear akan menentang habis-habisan.  Semakin besar tentangannya,  maka semakin lamalah masa yang diperlukan sebelum loji nuklear dapat dibina.


ii.

Tugas utama Sang Penguasa ialah membentuk pendapat umum.  Pendapat rakyat yang lebih mesra kepada kerja buat Sang Penguasa itu mestilah dicipta.  Proses mengolah situasi mestilah diwujudkan supaya rakyat akhirnya menerima hakikat kenapa mereka perlu dan mesti beralih kepada tenaga yang lebih ‘murah dan berkekalan’.  Kenapa tenaga fosil bukan lagi pilihan negara ini.

Maka berhujahlah mereka tentang sumber tenaga tradisional seperti gas, arang batu atau minyak yang kata Sang Penguasa, tidak mungkin lagi menjadi murah.  Akhirnya kita pun dipaksa supaya membayar lebih untuk memperolehi sumber tenaga ke rumah-rumah kita.  Dan kita pun tidak dimaklumkan sebab-sebab utamanya yang tepat-relevan kenapakah kos bekalan elektrik ke rumah-rumah kita itu MESTI dinaikkan.

Sebab-sebab yang sebenarnya MESTILAH disembunyikan.  Cerita tentang subsidi kepada IPP, Independent Power Plants, para penjana tenaga milik para kroni itu MESTILAH digelapkan.

Seperti biasa Sang Penguasa ini akan terus menjadi PEKAK dan TULI.   Oleh kerana kepekakan dan ketuliannya sentiasa menguntungkannya, maka Sang Penguasa ini akan menaikkan tarif elektrik.  Di samping itu Sang Penguasa akan terus mencanang kepada rakyat bahawa pada masa depan, mereka MESTI membayar lebih untuk memperolehi bekalan elektrik ―  kecuali ― ya kecuali kita memiliki sumber tenaga yang baru...

iii.

Proses seterusnya ialah mengasbahkan kewujudan loji tenaga nuklear itu.

Sementara itu Sang Cukong ― pemilik sebenar loji nuklear itu menunggu sambil menyusun agenda dan strategi perangnya ― perang untuk memenangi pendapat umum bahawa loji nuklear selamat untuk rakyat negara ini. 

Sang Cukong itu tidak sabar-sabar lagi menunggu saatnya loji nuklearnya dibina.



No comments: