Tuesday, May 24, 2011

Tenas Effendy tentang Pemimpin Celaka

Cinta kasih sang pemimpin  

Pemimpin yang selalu ingat bahawa ‘dianya’ bakal mati jua akhirnya, tidak pernah melupakan rakyatnya. Saking mendalamnya cinta kasihnya itu kepada rakyat dan jelatanya (ertinya rakyat dan juga segala macam binatang seperti ular yang melata itu) maka setiap kerja buatnya sentiasalah mengambilkira nasib yang bakal menimpa rakyatnya.

Ertinya apa saja khazanah negara yang mahu dibelanjakan, nasib rakyatlah yang difikirkannya,  terlebih dahulu.  Ya, ya, ya, betul persis ― ‘sebiji’ dan betul-betul seperti kata sebuah slogan yang begitu kerap didendangkan kepada kita:

“Rakyat didahulukan”!     


ii.

Sementara asyik membelek-belek majalah dan surat khabar lama, tiba-tiba kita terbaca bahawasanya musuh kentalnya para pimpinan Umno itu - Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang juga mengeluarkan sebuah kenyataan rasmi pada 23 Mei 2011. 

Sebuah kenyataan berhubung cinta kasih pemimpin Umno kepada rakyatnya.  Tajuk kenyataannya ialah TARIF ELEKTRIK MAMPU PADA KADAR YANG RENDAH WALAU TANPA SUBSIDI GAS”. 

Dalam kenyataan itu, antara lain dihebahkannya:

“Mantan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Ani Arope telah menyatakan kepada umum bahawa beliau tidak bersetuju dengan harga yang terlalu mahal yang dikenakan oleh Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta ke atas TNB. Harga yang dicatatkan iaitu 13.7 sen sehingga 15.5 sen per kWh (kilowatt hour), harga yang dikenakan IPP ke atas Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah harga yang lebih mahal dari harga yang dihasilkan sendiri oleh TNB. Ini bermakna TNB dipaksa membeli elektrik pada harga yang tak sepatutnya.

Malahan harga tersebut ditetapkan sebagaimana dalam perjanjian, sepanjang membekalkan tenaga tersebut, harga yang dikenakan ke atas TNB berubah menuruti kadar terdahulu sekaligus membolehkan Syarikat Pengeluar Tenaga Swasta (IPP) mengaut keuntungan yang besar lebih awal.”

Pada bahagian yang lain kenyataan rasmi itu, kita temui:

“Malangnya, sedangkan negara kita yang sememangnya memberi subsidi kepada sektor pengeluar tenaga melalui gas asli yang murah, itupun jika dibandingkan dengan negara jiran seumpama Thailand, tarif elektrik Malaysia ternyata masih tinggi, sungguhpun negara jiran itu membeli gas asli pada kadar harga semasa (pada masa ini harga semasa tersebut tiga kali lebih tinggi dari harga gas asli yang disubsidikan di Malaysia)

Seorang pengguna yang memiliki rumah di Thailand hanya membayar 18 sen per kWh untuk 150 kWh yang pertama, manakala pengguna yang sama di Malaysia terpaksa membayar 22 sen untuk kadar yang sama. Ini bermakna perbezaan harga tarif elektrik yang mencecah 22%.”


iii.

Tenas Effendy dalam “ Pemimpin dalam Ungkapan Melayu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, tahun terbitnya 2002 pada halaman 77 melukiskan seorang ‘Pemimpin Celaka’ itu seperti berikut:

“Pemimpin celaka amatlah dibenci orang kerana selalu menimbulkan malapetaka bagi masyarakat dan negerinya. Orang tua-tua mengatakan, “bila pemimpin celaka, umatnya tak lepas dari malapetaka”; atau dikatakan, tanda-tanda pemimpin celaka, kerja menyalah hatinya hina, ke mana pergi membawa bencana”.  Dalam ungkapan kepemimpinan dikatakan:

Memimpin rakyat membawa celaka
Kepada sumpah ia derhaka

Kepada janji ia membantah
Hati busuk akal tak semenggah
Sifatnya keji bercabang lidah
Negeri rusuh rakyat membantah”

iv.

Setelah kutoleh kiri dan kutoleh kanan, maka suka juga rasanya di hati ini untuk berpantun.  Dan tatkala kutoleh kiri dan kutoleh kanan itu, entah bagaimana kuterpandanglah kepada sebuah ‘kumis cari makan’ dalam sebuah majalah hiburan lama.

Lalu kukaranglah sebuah pantun, begini bunyinya:

Apa diharap kepada kumis
Kumis ranggi videonya porno  
Gula madu kusangka manis
Rupanya manis lagi janji umno



No comments: