Thursday, June 23, 2011

Al-Amin, cili padi, bahasa rojak, diktator...

Menyambut HUTnya DBP di Warung Rakyat.


Tempatnya kami joloki sebagai Warung Rakyat, warung milik Tuan Haji Aziz kenalan dan sahabat mereka, para warga Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
  
Program bermula jam 8.30 Rabu, malam ― 22 Jun 2011.  Bagi mereka yang akrab dengan DBP tarikhnya penting kerana itulah HUT, Hari Ulang Tahun penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka 56/55 tahun lalu.

Apakah yang telah terungkapkan dan diungkapkan dalam suasana santai tapi serius yang itu?  Mungkin ini adalah di antara intipatinya:

Cikgu Azmi Abdul Hamid

Cikgu Azmi Abdul Hamid dalam ucapan aluannnya menggariskan kelompok rakyat yang bangun berjuang menegakkan dan memartabatkan bahasa rasmi negara ini.  Baginya mereka antara lain termasuklah para aktivis bahasa, seniman dan budayawan, birokrat bahasa. Presiden Teras ini tidak lupa menarik perhatian khalayak bagaimana DBP yang sedemikian penting itu, seperti institusi-institusi  yang lainnya di negara kita, telah dimangsai Sang Penguasa rakus.

Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said, (Pak Samad)

Kehadirannya sudah cukup untuk orang membuat pelbagai telahan.  Bagi Pak Samad, sisa usianya itu akan dimanfaatkan untuk bercakap,  di mana saja ― surau, masjid, dewan, tanah lapang ― tentang Al-Amin.

Dr. Shaharil Mohd Zain

Mengikut pejuang bahasa dan pakar matematik ini, terlalu sukar melupakan bagaimana bahasa rasmi kita telah diperlakukan sedemikian rupa oleh seorang pemimpin ― diktator.  Satu ketika dulu, sekiranya sebuah universiti tempatan mahu melantik tenaga pengajar luar untuk mengajar dalam bahasa Inggeris, ia memerlukan kelulusan Senat.  Hari ini kedudukannya telah terbalik: Kelulusan Senat diperlukan jika seseorang itu mahu mengajar dalam bahasa Melayu.      

Kalaulah itu belum cukup parah, ini satu lagi senario yang mugkin telahpun diketahui umum; sudah ada universiti tempatan yang mahukan sastera Melayu itu diajar dalam bahasa Inggeris.

Dinsman

Presiden Paksi ini telah membaca sebuah sajak dari antologinya “Macam Orang Gila”.  Kisah wartawan, sasterawan, penulis yang berbohong untuk mempertahankan Penguasa Zalim.

Hishamuddin Rais

Kenapakah kita perlu bercakap, bercakap dan ... bercakap tentang bahasa rasmi yang tidak dipedulikan ini?  Bukankah lebih bagus jika kita cat saja segala yang tidak menghormati status bahasa rasmi ini.  Kita mulai dengan mencat Precinct di Putrajaya itu.

Khalid Salleh (Wak Khalid)  

Lihatlah bagaimana Sang Penguasa itu lupa hakikat bahawa Melayu itu adalah satu bangsa.  Percayalah tiga ratus dari sekarang ― tidak ada lagi bangsa Melayu itu.  Penguasa apa yang rendah diri dan tidak mampu mempertahankan bahawa sesungguhnya Melayu itu adalah satu bangsa di dunia ini?

Catherine See Yen Leng

Saya gemar mempelajari bahasa Malaysia dan sangat gelisah melihat bahasa itu dirojakkan.  Alangkah peliknya mendengar ungkapan seperti “ para hadirin sekalian...”  Tidakkah kita mampu berbahasa dengan baik?

Kebetulan, saya lewat di sini dan terpandang Sasterawan Negara. Tentulah ada sebab-sebabnya  kenapa A. Samad Said berada di warung ini.

Kassim Muhamad

Kata sahabat saya Hasni, “Abang Kassim bercakap tentang segala hal..”

Ya, yang paling utama ialah tentang penguasa yang gemar sekali memakai topeng dan juga membadut.  Kini ― para badut dan topeng-topeng itu berkelahi semahu-mahunya.

Sementara itu para penulis, sasterawan, budayawan dan ilmuan kita rata-rata masih lagi memandang ke arah lain ― seolah-olah tidak ada satu pun yang berlaku.  Betapa sungguh teruknya mereka ini!

Mahu mereka apakah ilmu yang ditimba selama ini?

Apa, sudah cukup dengan berteori?

(Kepada semua yang hadir semalam, sila lengkapi nota ringkas ini.  Mungkin Sdr. Jamadie akan menulis tentang persembahan Sdr Rahmat Harun yang sedikit luar biasa itu...)




No comments: