Tuesday, June 28, 2011

Puisi itu senjata

Sajak sudah menjadi senjata

“Saya mahukan sesuatu yang murni. Rakyat juga mahukan yang murni.  Sekarang kelihatannya sajak sudah menjadi senjata.”

Ya betul, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said telahpun disiasat di bawah Seksyen 4(1) (b) Akta Menghasut 1948 dan juga Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967 iaitu undang-undang negara berkaitan perhimpunan haram.


ii.

Tarikh bersejarah itu ialah 27 Jun 2011, bersamaan 25 Rejab 1432 ― satu Isnin yang cerah bertempat di Rumah Pasung Dang Wangi, Kuala Lumpur.  Waktu temujanji yang ditetapkan ialah jam 2.30 petang.

Semasa kami tiba di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur begitu ramai sekali wartawan dan jurugambar, tidak kurang lima puluh orang yang berkumpul menanti ketibaan Pak Samad.  Sebelum itu Datuk Ambiga, pengerusinya Bersih 2.0  telahpun terlebih dahulu memasuki rumah pasung itu.

Teman-teman lain yang bersama-sama kami termasuklah Datuk Toh (daripada pertubuhan LLG, Lim Lian Geok)  dan Saudara Arumugam (Suaram). Kami berempat ― Hasni Abas, Suhaizan Kayat, Rozan dan saya sendiri. Yang dapat dan dibenarkan untuk menemani Pak Samad sehingga ke tingkat sembilan rumah pasung, pejabat/tempat kenyataan Pak Samad direkodkan ialah Saudara Aru dan dua orang peguam yang mendampingi Pak Samad, iaitu Sdr Surendran dan Sdri Fadiah.

iii.

Hasni Abas dalam ucapannya kepada media menyentuh sikap pengurusan tertinggi kepolisian terhadap seorang Sasterawan Negara iaitu Datuk A. Samad Said. Bagi Hasni Abas cara dan kaedah pihak yang berkuasa bertindak terhadap Pak Samad tidaklah selaras dengan budaya dan adat bangsa.  Gelaran Sasterawan Negara itu satu anugerah tertinggi oleh DYMM Dipertuan Agong kepada seorang seniman besar tanah air.  Status dan kedudukan ini sewajarnyalah dihormati.     


iv.

Sementara itu dalam blognya Pak Samad, Hujan Pagi (http://samadsaid.wordpress.com) kita temui sajak yang dikatakan menjadi salah satu sebab kenapa Sasterawan Negara ini diundang untuk diambil kenyataannya sepertimana yang dilaporkan dalam berita di atas.

Dari blognya Pak Samad:

Unggun Bersih (http://samadsaid.wordpress.com/2011/06/26/unggun-bersih/)

Posted on June 26, 2011 by samadsaid

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
24—25, 6.11. A. SAMAD SAID
v.

Tidak syak lagi “Unggun Bersih” telahpun mencipta sejarahnya yang tersendiri.  Maka jika ada para pengkaji yang berminat untuk meneliti karya ini, segeralah teliti karya ini sekarang juga.   Siapa tahu ― mungkin saja sajak ini ― sama seperti segala yang ‘kuning’ begitu menakutkan Sang Penguasa yang jelas sedang gelabah.  Khabarnya sudah ada yang memakai baju kuning ditangkap dan ada yang tidak dibenarkan memasuki masjid kerana berani memakai seragam Bersih 2.0.

Kita belum pasti apakah nasib yang bakal menimpa DiGI dan juga segala pisang yang masak.  Siapa saja penyelidik MARDI yang mampu mencipta pisang yang apabila masak,  berwarna biru akan pasti beruntung besar!

Selain itu khabarnya sudah ada ibu-ibu yang menggunakan taktik dan senjata baru ini untuk ‘mengertak’ anak-anak mereka yang culas menggosok giginya sebelum tidur, supaya segera berbuat demikian!

“Hisham, jaga-jaga kamu.  Nanti mama panggil polis tangkap kamu.  Gigimu kuning!”



No comments: