Monday, June 27, 2011

Vaksin versi 2.0

Umno takut kepada klon versi 2.0

Semasa berbincang dengan kawan-kawan tentang Bersih 2.0 beberapa nama,  antara lain Umno Baru (adjektif ‘Baru’nya sudah tak kedengaran lagi kerana telah AlKutty gelapkan), SPR dan Ambiga telah disebut-sebut oleh kawan-kawan. 

(Untuk berlaku adil, sebenarnya nama AlKataki pun turut disebut oleh kawan-kawan namun demi kesejahteraan kita bersama,  nama itu tidak molek kita ulang-ulangi.  Adalah lebih afdhal  jika kita sama-sama mengharamkan diri daripada menyebut nama itu dalam sebarang percakapan kita. Kita bimbang bisa yang berhamburan dari ‘nguak’ mulutnya itu bakal merebak dan tidak dapat dikawal-kawal lagi.  Nafasnya yang nyata cukup berbisa itu (berbau?) kepada rakyat itu telah sah diberikan perlindungan yang menyeluruh oleh Sang Penguasa.  Kita tidak boleh memudharatkan lagi keadaan sedia ada yang telahpun cukup mudharat ini dengan membantu mengedarkan bisa yang amat berbisa yang dibawa oleh sub-kontraktor Umno ini.  Ini adalah perbuatan yang berdosa.)

Yang cukup menarik ialah bagaimana versi 2.0 itu begitu sekali menakutkan Umno Baru.  Adalah amat nyata kepada kita, di mata Umno (Barunya telah digelapkan) vaksin versi 2.0 itu adalah klon versi mutakhir yang mampu merontokkan seluruh daya ketahanannya terhadap penyakit ― terutama sekali penyakit menipu dam berbohong.  Segala penipu yang menghidap ‘penyakit menipu apa saja,  asalkan menang’ ― klon versi 2.0 amatlah menakutkan sekali.  


ii.

Umno Baru seperti ‘budak’ kecil yang mahu diubati penyakit pembohong kentalnya begitu sekali ketakutan apabila mahu disuntik vaksin anti-pembohongan.  Budak kecil Umno Baru ini meraung-raung sehinggakan dan bagaikan mahu runtuh seluruh bumbung klinik desa.  Begitu sekali takutnya Umno Baru apabila mahu diubati penyakit tipu menipu turun temurunnya itu. 

Sekarang ini Umno Baru ― seperti anak yang kecil sedang kebingungan,  begitu takut sekali kepada doktor, takut melihat jarum, ketakutan walaupun berdepan dengan jururawat/misi yang comel. 

Rupa-rupanya ia juga ketakutan sekali melihat bayang-bayang  pokok pisang di luar klinik desa!

Kata budak kecil yang bernama Umno Baru itu, dia telah melihat hantu jembalang berkeliaran di luar klinik.

Betapa sungguh luar biasanya budak kecil yang namanya Umno Baru ini.


iii.

Itulah terlintas dalam kepala kita apabila membaca berita tentang penemuan segala macam dokumen Komunis tatkala menangkap para anggota PSM.  Tak semena-mena nama-nama Chin Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh  et al telah perpacul keluar. 

(Dengan membangkitkan nama-nama seperti ini, apakah mereka yakin bahawa segala tipu muslihat sejarah versi penjajah British tentang para pejuang kemerdekaan golongan kiri ini masih lagi dan akan ditelan bulat-bulat oleh seluruh rakyat negara ini?  Jika ya, betapa mereka lupa bahawa masa telah berubah...)  

Sungguh kasihan melihat telatah budak kecil Umno Baru ini.  Ia masih lagi tersesat dan merayau-rayau dalam zaman silamnya!


   

No comments: