Friday, July 1, 2011

Bersih 2.0 adalah gelora rakyat

Bersih 2.0: Gelora rakyat
Oleh: Pena Ainurjah

Bersih 2.0 adalah warna gelora rakyat; rakyat yang kian terhimpit hidup mereka. Saban hari, saban minggu, saban bulan, harga barangan keperluan asas terus meningkat seolah-olah semacam tiada jaminan daripada kerajaan bahawa kenaikan harga barang akan berhenti. Hidup mereka menjadi semakin terhimpit kerana upah keringat mereka bekerja seharian tidak akan dapat menangani kenaikan harga barang yang melampau.

Tambah buruk lagi keadaan, suara wakil-wakil mereka di parlimen yang mengemukakan persoalan keperitan hidup mereka pula dibisukan dengan jawapan-jawapan pemimpin kerajaan yang penuh dengan penipuan. Media-media perdana kerajaan pula tidak menyediakan ruangan yang membolehkan rakyat menyuarakan luahan hati mereka. Medan untuk mendengar rintihan rakyat sebenarnya sudah tertutup.

Justeru, rakyat sepakat turun di jalan raya untuk menyampaikan rintihan kepedihan hati mereka kepada YDP Agung, pengkalan aduan rakyat yang terakhir. Jika jalan ini pun ditutup, benteng sehebat mana pun tidak akan dapat membendung kemaraan gelora rakyat.  Percayalah!

Tuntutan rakyat untuk mengembalikan tatacara pilihan raya yang telus lagi bersih dari unsur-unsur penipuan yang tidak demokratik adalah jelas. Tidak bolehkah kerajaan, melalui SPR, menunaikan sebagahagian daripada lapan tuntutan itu kalau tidak pun semua tuntutan dapat dipenuhi? Bukankah tindakan melayan sebahagian tuntutan Bersih boleh meredakan gelora rakyat? 

Malangnya, kerajaan telah memilih jalan penuh berduri untuk melayan tuntutan rakyat.  Justeru, terpaparlah pelbagai kenyataan kurang bijaksana para pemimpin kerajaan mahupun ketua penguasa agensi-agensi yang bertanggungjawab. Tidak pasal-pasal Parti Sosialis Malaysia (PSM) dikaitkan dengan aktiviti penyuburan semula faham Komunisme.

Kenyataan bahawa memakai baju-T kuning Bersih adalah haram merupakan satu kenyataan terdesak dan ghaflah. Menyuruh orang ramai menjauhkan diri dari Kuala Lumpur pada hari perhimpunan diadakan juga merupakan satu lagi kenyataan yang tidak logik. Yakinlah bahawa dalam tempoh lebih kurang seminggu yang berbaki ini, pelbagai rupa kenyataan pelik dan bodoh lagi akan dihidangkan kepada rakyat oleh pemimpin-pemimpin yang haprak dan bankrap idea.

Kepada mereka saya menyeru agar berfikirlah dan bertindaklah secara matang untuk membendung kemaraan rakyat sebelum apa-apa yang buruk terjadi. Pendekatan menakut-nakutkan rakyat dengan ugutan dan ancaman kuasa pemerintah tidak akan berhasil. Mereka bukan kumpulan haiwan yang mudah dikawal. Mereka adalah kumpulan manusia yang punya perasaan dan kekuatan. Rakyat zaman siber ini tidak lagi sama dengan rakyat zaman bajak pakai kerbau.

Wahai rakyat yang bijaksana! Cuba jawab, kenapakah kerajaan begitu takut dengan kebangkitan rakyat?   





No comments: