Friday, July 1, 2011

Ya, Rabb

Ya, Rabb, kau restuilah

Anonymous said...

I am a pensioner, and we used to be able to survive on my monthly pension and sometimes with 100rm savings even. Mind you, no frivolous spending, only the essentials. These past few months however, I can't make ends meet. I am in the red, so how do I listen to 1PM's advice? Eat 1 meal every two days? I know the worst is yet to come.



Di atas adalah petikan dari blognya art-harun.blogspot.com.

Penderitaan nyata begini tidak mungkin diubati hanya dengan segala macam dodoi dan silat  lidah.  Ertinya, kata-kata muluk-merdu tidak mampu lagi menghentikan perut yang berkeroncongan.     Pidato, syarahan atau motivasi yang religius hanyalah angin lalu di padang yang terbuka; terasa tapi tidak mampu mengubat keperihan. Filem Bollywood yang dulunya mampu melupakan atap rumah yang berlubang-lubang tidak lagi mampu menampung bocornya perut yang dirembes asid yang berlebihan. 

Pendek kata, orang yang lapar adalah serigala yang paling bengis dalam belentara.


ii.

Orang yang lapar itu semakin bertambah laparnya apabila ketahui dengan jelas dan nyata bahawa negaranya memiliki kekayaan yang melimpah ruah.  Misalnya,  dia tahu bahawa negaranya adalah pengeksport minyak dunia ― namun setiap hari dia terpaksa seluk dalam-dalam,  ke dalam sakunya untuk mengisi minyak kapcainya. 

Seorang dari sekian banyak anaknya telah berkali-kali memaklumkan bahawa sepuluh ringgit sehari untuk makan di kampus begitu sekali memerihkan...Apakah ayah tidak boleh tambah wang sakuku?

Dan ada akhbar jahat yang melaporkan bahawa sebuah beg tangan isteri seorang pembesar itu harganya hanya sekitar RM 360 ribu ringgit...sebuah!  Ya, ampun, ya Tuhan, betapa zalimnya buana ini.  Itu baru sebuah dari sekian banyaknya koleksi beg-beg tangan seperti itu.  

Satu hari dia terdengar,  dari stesen radio swasta, tragedi dan penderitaan seorang anak bangsawan ― semasa dia kecil-kecil dahulu.  Anak (bangsawan) itu menceritakan betapa kehidupannya semasa kecil-kecil dulu begitu sekali memerihkan. Bayangkanlah dia terpaksa berbasikal dari rumahnya di Sri Perdana untuk membeli nasi lemak di sekitar Hospital Tang Leng. 

Air matanya pun jatuh berderai-derai tatkala mendengar betapa deritanya anak yang sekecil itu...


iii.

Dia juga terdengar bahawa ada pihak yang mahu berarak menghadap Rajanya, memohon supaya pilihan raya di negaranya itu menjadi bebas, telus dan adil.  Dia mahukan pilihan raya yang bebas supaya nasibnya terbela.  Ya, dia juga ingin turut berarak.

iv.

Hari ini ― di mana saja dan di merata-rata tempat, orang sudah kecoh dan bingung: Bahawa meminta pilihan raya yang bebas, telus dan adil itu, ― katanya adalah kerjanya para penjahat yang paling ulung!

Malam ini dia ingin sekali sujud lama-lama, dan dalam-dalam.  Dia ingin mengadu kepada Maha Penciptanya bahawa dia sangat inginkan sebuah pemerintah yang jauh lebih baik.

Ya Rabb, restuilah.

  

No comments: