Pandangan seorang rakan dalam Paksi
Saya berkeputusan bahawa "masyarakat madani" yang dimaksudkan di bawah sebenarnya bukanlah "madani" sifatnya. Pada saya, masyarakat kita yang terbaik hanyalah manusia-manusia yang lulus peperiksaan sekolah dan universiti, kemudian menghadapkan diri kepada kerja-kerja rutin demi menyara kehidupan keluarga. Lebih-lebihan daripada kerja-kerja itu bolehlah sedikit bermewah, namun tidak kurang pula yang berhutang untuk bermewah.
Apa yang patut kita lakukan, atau yang semua orang sedar lakukan, adalah membangunkan "masyarakat madani" sebenar, yang dibajai dengan tahap keilmuan dan amali yang tinggi. Yang boleh berdepan sendiri dengan masalah, lalu menganalisisnya, kemudian mencadangkan jawapan-jawapan penyelesaian, dan kekadang boleh mencadangkan idea-idea baru yang mampu melonjak masyarakatnya kehadapan. Inilah yang tiada pada segenap ahli masyarakat. Dan kita patut mulai melakukan pendidikan semula ini, dalam apa juga bentuknya.
Saya tak rasa juga masyarakat bandar, yang kononnya lebih maju dari yang luar bandar, memiliki sikap menghadap masalah berdepan, menganalisisnya lalu mencadangkan pelbagai jawapan. Pada saya, sikap berfikir masyarakat bandar lebih kurang sama aje, mereka cumalah berjaya "menjawab soalan yang lebih sukar masa peperiksaan sekolah dan universiti". Lihatlah apa yang 29,000 pensayarah universiti di Malaysia mahukan, mereka mohon naik gaji 100%. Bukankah mereka patut memikirkan apa yang berlaku dalam masyarakat mereka?
Pengalaman saya bergaul dengan rakan-rakan rapat sekalipun di universiti, amat mengecewakan cara berfikir mereka, berdentum-dentam dalam bidang tatkala kami berdua berbincang, namun di koridor sahaja, menyepi umpama tikus, apa lagi dalam mesyuarat. Inilah pada saya dasarnya, melatih masyarakat kita semula tentang pelbagai isu, di samping itu melatih masyarakat muda kita langsung tentang masalah-masalah negara dan antarabangsa.
Apakah kita ada tenaga untuk melakukannya?
Dr Alinor.
No comments:
Post a Comment