Friday, August 26, 2011

Seniman juga komoditi

Keghairahan kita berjual beli


Kata orang,  orang-orang politik suka berjanji.  Kata orang lagi, orang-orang politik rata-rata memang gemar menabur janji untuk mendapat sokongan@kuasa.  Ada janji yang dihebahkan dalam ceramah pilihan raya umum, dalam ceramah berkelompok, dalam ceramah pilihan raya kecil atau janji yang dibisikkan.  Kekadang ada juga orang-orang politik yang terlajak ─ mereka menjanjikan bulan dan juga bintang.  

Dalam konteks janji ini, terdapat janji-janji bertulis yang dirakamkan dalam manifesto pilihan raya umum. Dan janji-janji oposisi yang sentiasa diulang-ulangi dengan hujah dan fakta yang mantap@munasabah sehingga mampu meyakinkan pengundi,  kerap kali membuat sang pemerintah sedia ada panik. Hasilnya: Orang ramai pun mendapat manfaat dari kegelabahan sang pemerintah ini.         

Kita pun cukup arif bahawa: Umumnya orang ramai yang menunggu perubahan yang dijanjikan bukanlah manusia-manusia penyabar.  Mereka mahukan janji-janji itu ditunaikan, kalau boleh, pada keesokan harinya.  Ya, kalau boleh mereka mahukan segala perubahan yang dijanjikan itu ditunaikan,  segera.  Demikianlah yang namanya manusia itu.  

Pelik tapi benar, dalam kehidupan kita ─ orang ramai seolah-olah yakin dan percaya bahawa politik dan orang-orang politik adalah segala-galanya.  Bagi mereka kuasa politik itu sentiasa saja mengheret kantung bersamanya.  Oleh sebab orang-orang politik memiliki lampu Alladin yang ajaib itu dalam kantungnya, maka segala permintaan mereka mampu dipenuhi.  Ertinya orang-orang politik yang menternak skuad jin dalam lampu ajaibnya,  tidak boleh berkata tidak. 

Ya, dalam pertimbangan orang ramai, persoalannya bukanlah mampu atau tidaknya orang-orang politik menunaikan segala janjinya.  Persoalannya ialah apakah orang-orang politik mahu atau tidak mahu menggosok keluar skuad jinnya.


2.

Dalam negara kita sekarang ini, di manakah agaknya kedudukan seniman dalam kelompok ‘orang ramai’ ini?  Apakah seniman kita masih lagi kelompok pemikir yang terhormat dan dihormati oleh masyarakat, termasuk orang-orang politik?

Dalam masyarakat kita yang galak sekali memberikan tanda harga untuk diperdagangkan (everyone has a price, you just name it!), apakah seniman kita juga, rata-rata, telah diberikan tanda harga itu?

Dalam masyarakat yang lapar dan sentiasa berlumba-lumba merebut projek,  apakah seniman juga telah menjadi para kontraktor kelas makan-dan-lapar-komisen ─
kelompok masyarakat yang  sentiasa mengharapkan belas ehsannya orang-orang politik?

3.

Kenapa soalan-soalan yang begini?  Kita gusar setelah sekian lama melihat tanggapan, tingkah dan tindak tanduk orang-orang politik terhadap peranan para seniman dan sumbangannya untuk masyarakat. 

(Apakah agaknya peranan ‘seniman’ itu?  Kita terbayangkan senario yang begini ─ Penyair muda menjadi ‘penyeri’ majlis dengan puisinya yang garang, Lebai Talib membuka majlis membaca doa, seorang gadis Melayu ─ penyanyi terkenal berkebaya ketat, bertudung fesyen mutakhir,  menghulur dulang lengkap bergunting untuk dicapai orang politik. Dan para pelakon pula ghairah memukul kompang...)   

Apakah orang-orang politik, baik yang mewakili kelompok lama maupun yang mewakili kelompok, katanya pembawa perubahan dan falsafah kepimpinan baru itu, melihat para seniman itu tak lebih daripada kontraktor-kontraktor yang menunggu projek?

Jika jawapannya adalah positif (‘YA’ yang nyaring), maka jelaslah ‘institusi’ yang bernama ‘seniman’ itu juga telah menjadi bahan dagangan ─ untuk dipedagangkan oleh orang-orang politik. 

Seniman sama seperti para pakar bidang lain juga menjadi bahan dagangan. 

Tidakkah seniman kita kasihan, ‘institusi’ miliknya juga diperdagangkan?


No comments: