Saturday, August 27, 2011

Media musuh: Lurus bendul atau strategi luar kotak?

Menegakkan hujah ‘kebenaran’ dengan menggunakan gelanggang musuh


Ramai yang sudah terlalu muak dengan segala tingkah dan kezaliman Umno, Sang Pemerintah kita selama ini,  juga turut meluat dengan perbuatan-perbuatan para pecacai, skuad balaci dan tukang-tukang ampunya.  Misalnya,  betapa geli gelamannya kita  melihat gambar-gambar calon BN dalam pilihan raya kecil Selangor menyedut tangan seorang pembesar Umno.  Babak yang sama pernah dilakonkan oleh mantan seorang MB ─ penguasa besar, di negeri yang kecil ini juga telah menyedut ─ semahu-mahunya segala aroma semerbak belacan dan ikan kering yang baru saja diuli seorang pemimpin besar Umno.

Ya, ramai yang geli gelaman, kembang tengkok melihat telatah tukang-tukang ampu ini.  

2.

Kekadang perasaan yang timbul secara spontan dan semula jadi ini juga timbul apabila kita terbaca tajuk-tajuk utama Utusan atau pun Berita.  Sebagai contoh, kita  geram melihat tajuk-tajuk besar akhbar-akhbar Umno dalam memburuk-burukkan musuh-musuh politik mereka ─ khususnya ketua pembangkang.  Kita penat melihat pendekatan kolumnis akhbar Umno ini yang terus-terusan mengutuk ─ habis-habisan apa saja yang seputar DSAI.  Kita marah melihat bagaimana musuh-musuh politik ini, mereka kerjakan.  Ya, kita sudah lemas dengan perbuatan aparat-aparat Umno terhadap musuh-musuh politik mereka. 

Kepada kita ─ mereka sentiasa saja menggunakan kereta kebal untuk membunuh anak-anak tebuan!

3.

Bayangkan sekonyong-konyong saja ada wakil rakyat Pakatan Rakyat yang terpampang wajahnya di TV3 atau di muka depan Mingguan Malaysia.  Wakil Rakyat Pakatan ini muncul dan berkongsi pentas dengan para balaci ─ lalu menembak teman-temannya sendiri!

Agaknya, apakah yang mahu kita baca?  Apakah ini satu pose, peragaan istimewa dalam mempamerkan keterbukaan kepimpinan Pakatan Rakyat?  Bahawa ahli-ahli politik Pakatan Rakyat itu terbuka dalam menyatakan buah fikirannya?     

Entahlah, mungkin inilah yang dikatakan politik gaya baru itu.  Dan kita tidak begitu arif dengan stail dan gaya baru begini.  Yang jelas, ada pihak yang sudah ketawa terbahak-bahak kerana terlalu gembira mendapat lauk politik yang begitu lazat sekali.

Apa pun hujahnya, ada satu persoalan yang wajar dijelaskan:  Apakah tidak ada lagi cara lain untuk berhujah dan mempamerkan ‘kebenaran’ yang mahu kita tegakkan itu? Oleh sebab itu kita perlu menggunakan media yang sentiasa saja membuat tengkok kita meremang itu untuk berhujah?

Soalan yang tidak kurang pentingnya ialah apakah Harakah, Harakahdaily, Suara Keadilan, Tv Selangor atau pun Roket tidak cukup baik untuk membentangkan sebarang perbezaan pendapat itu?  Ya, oleh sebab kurangnya ummph media Pakatan Rakyat itu, maka kita pun perlu berpeluk-pelukkan dengan media yang dikendalikan oleh para balaci Umno?

4.

Apakah yang telah kita pelajari daripada episod-episod seperti ini? 

Mungkin juga kitab-kitab DAP dalam hal ehwal interaksi dan pengurusan media serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya, sesuai dan molek sekali ditelaah.

1 comment:

ainurjah said...

Satu lontaran idea yang boleh dipertimbangkan. Persoalannya, bagaimana hendak dilakukan?