Aku juga penunggu setia.
Di seluruh buana ini, ramai yang menunggu. Mereka ─ para penunggu ini, tanpa rasa bosan, menunggu pohon-pohon ciku di halaman rumah, berbunga. Tanpa jemunya mereka menunggu gugusan-gugusan ciku yang membertih, tumbuhbesar di seluruh ranting dan dahan itu, ranum segera. Tatkala itu, mereka pun memicit segala aksara kekunci komputer, lalu bercerita perihal ciku yang telah segar dan meranum. Maka akan ketahuilah segala peminat dan pembaca fb bahawa mereka adalah penunggu.
Ya, merekalah penunggu ciku yang setia itu.
Ramai yang ke pondok, lalu mengaji. Tatakala bersemayam di pondok, mereka pun membentangkan dan dibentangkan pelbagai kitab tua, untuk diteliti isi kandungannya. Dan hafallah mereka segala dalil dan hujah kenapa yang itu-itu, begini, dan yang itu boleh sementara yang ini pula tidak dibolehkan.
Sesekali ada yang meminta mereka supaya menjadi khatib. Kata mereka, “Ana belum cukup bersedia, nantilah bila ana lebih mahir dan cekap. Si polan bin si polan jauh lebih bagus bacaannya daripada ana.”
Hari ini, setelah khatam pelbagai kitab dan hafal segala surah dan berhujah pula dengan pelbagai hadith, ‘Ana’ masih jua belum bersedia untuk menjadi khatib.
Ada lagi kategori penunggunya. Saban tahun mereka menunggu, tanpa rasa bosan, hari keputeraan baginda seluruh negeri di seluruh semenanjung. Mereka paling setia menunggu khabar dari pos maupun telefon tentang senarai anugerah pingat.
Siapa tahu, tahun ini bakal bertambah lagi koleksi pingatnya.
2.
Ada pesara, memiliki pelbagai pengalaman, bermacam-macam ilmu dan berbagai-bagai bentuk kemahiran, setia menunggu untuk berulang alik ke masjid dan surau. Sementara itu di luar sana, ramai anak-anak muda yang sangat lapar dan dahagakan ilmu dan kemahiran yang berharga.
“Ana telah lama menjadi pegawai kerajaan, malah berpuluh-puluh tahun lamanya, dipindahkan ke merata pelosok negara. Sekarang biarlah ana beribadat sedikit. Biarlah ana berihat pula. Berilah peluang kepada orang lain yang lebih muda untuk berbakti. Ana mahu berulang alik ke masjid setiap waktu.”
Senarai para penunggu ini cukup panjang. Ada sasterawan yang menunggu dan mahu melihat berapakah jumlah peruntukan yang bakal diagihkan kepada para penggiat seni sekalian.
Ada gadis manis yang menunggu...calon suami. Sebenarnya lebih praktis jika ramai dara ke depan, memilih dan meminang calon suami mereka.
Ada juga yang tidak perlu menunggu apakah seluar dalam, coli dalam, coli luar dan cincin permata juga bakal dikecualikan cukai dalam belanjawan tahun nanti. Ya, lebih bagus, jika dan kalau, akulah penyedia belanjawan itu.
3.
Sebenarnya aku juga seorang penunggu. Penunggu ogah (reluctant) yang setia. Mungkin hari ini, hari rezekiku. Ya, ada habuanku hari ini.
Liang lahad siapa bakal kugali?
No comments:
Post a Comment