Wednesday, August 17, 2011

Penyakit lama terus berjangkit


Politik lama: Ketagih berbohong dan seronok menggadas

Apabila seorang pembohong berkata, “Sumpah,  aku tidak berbohong!” apakah reaksi kita?  Apakah kita percaya?

Pepatah lama ada menceritakan perangai anjing apabila berdepan dengan najis, sisa buangan yang dikenali juga sebagai shit.  Ya, orang tua-tua kita ─ para pemerhati yang tekun telah menceritakan perangai anjing; berkeras mahu menghidu walaupun tidak membaham.    

Begitu jugalah tanggapan kita setipa kali kita berdepan dengan janjinya segala pembohong.  Kita ragu-ragu kalau-kalau janji-janji barunya masih jua tipu muslihat, putar belit dan pembohongannya yang belum berakhir.  Ertinya,  kita tidak yakin bahawa si pembohong benar-benar bertaubat menjadi pembohong.   

2.

Apakah janji Sang Penguasa untuk menyerahkan isu menreformasikan proses pilihan raya kita kepada Jawatankuasa Khas Parlimen itu,  boleh kita percayai?  Kita tentu belum lupa peristiwa besar Bersih 2.0 dan reaksinya Sang Pemerintah untuk membenarkan Bersih 2.0 berhimpun di dalam stadium dan dolak dalik yang menyusul kemudiannya.  Malah sampai ke saat ini,  dolak dalik dan hujah-hujah songsang berhubung isu ini masih lagi berterusan.

3.

Sebenarnya cadangan PM supaya diwujudkan Jawatankuasa Khas Parlimen berhubung desakan pilihan raya yang adil, bebas dan telus menjadi bercelaru dengan pandangan yang berbeza daripada TPM. (Sila rujuk pandangan dan reaksi TPM berhubung perkara ini dalam portal Malaysiakini 16 Ogos 2011). 

Sebenarnya dalam kabinet Malaysia, memang sudah menjadi rahasia umum bahawa PM sentiasa saja disanggah oleh pembantunya yang paling kanan.  Sebenarnya dalam politik Umno, penyakit berjangkit menggadas (cah keting) sesama ahli pasukan ini bukanlah baru.  Semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi CEOnya negara kita, Kutty yang Satu itu sentiasa saja menggadas setiap langkahnya Pak Lah sehingga berkali-kali dia tersungkur dan berdarah-darah batang hidungnya. 

Apakah tidak mungkin Kutty EE yang satu ini adalah sumber penyakit berjangkit ini?  Ya, penyakit menggadas orang lain, perbuatan buruk yang membantut kemajuan.

Agaknya dari sekolah manakah dia belajar ilmu-ilmu seperti ini sehingga dicontohi oleh para pemujanya?



4.

Nampaknya penyakit, memsabotaj ketua ini bukan saja unik kepada Umno.  Dalam kes Jais-gereja yang tiba-tiba saja meletup itu, kita perhatikan bahawa terdapat telatah Sang Exco yang kelihatannya dan seolah-olah tidak bersama-sama bosnya, Menteri Besar? 

Sebenarnya untuk kesihatan berterusan, perbezaan pendapat juga baik dan bermanfaat kepada organisasi.  Ertinya tidak menjadi masalah yang besar jika terdapat ahli-ahli kabinet berbincang, berhujah lalu bertekak.  Itu semua asam garam dalam urusan rumah tangga sebuah kepimpinan yang sihat.  Dan rakyat pula tidak melihat ahli kabinet mereka bertempur di khalayak ramai. Ia hanya menjadi masalah besar apabila rakyat melihat pasukan mereka bertempur sesama sendiri,  secara terbuka.  

Sesebuah organisasi yang baik tidak akan membenarkan perbuatan memsabotaj seperti ini berlaku. Sebabnya mudah.  Sebagai ahli sesebuah pasukan yang berdispilin dan taat, dia hanya memiliki dua pilihan: Akur dengan ketuanya atau meletak jawatan saja. Logiknya juga mudah.  Dalam sebuah kapal hanya terdapat seorang nakhoda.  Seorang ahli pasukan yang tulen tidak akan memalukan, menyusahkan bosnya walaupun dia berpendapat bahawa hanya dialah yang ‘paling lebih bijak’ dari segala manusia di buana ini.

Rakyat menyampah dengan si bijak yang tidak berdisiplin dan gemar sekali memsabotaj.


No comments: