Tuesday, August 16, 2011

Kenapa berdiri di luar?

Ke dalam gelanggang
     

Siapakah yang dapat menidakkan kebijaksanaan lama seperti “sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit”? Siapakah yang tidak yakin belakang parang jika diasah setiap hari,  pasti tajam jua akhirnya?  Siapa belum pernah melihat bongkah granit pejal menyerah kepada kelembutan tetes-tetes air?  Ya,  manik-manik yang sedemikian lembut itu...

Bayangkanlah kesannya jika kita terapkan kebijaksanaan lama ini ke dalam setiap gerak langkah organisasi kita misalnya. Segalanya berdikit-dikit tapi penuh ketekunan.

2.

Itulah nasihat kami berdua, Dinsman dan saya kepada teman-teman aktivis di sekitar Markas Simpang Pelangai, Bentong semalam, 15 Ogos 2011 selepas solat teraweh.    Mesejnya kepada teman-teman aktivis ialah:  Sila mulakan lembaran kertas maklumat itu walaupun pada permulaannya terasa sedikit sukar lagi menggayatkan.  Percayalah,  perasaan itu hanyalah pada permulaannya saja.  

Kenapakah kita yakin bahawa kita juga berupaya membantu membawa perubahan itu?  Sebabnya cukup mudah.  Di sana, di dalam diri ummah itu sudahpun terbina dorongan terpendam yang maha besar.  Dorongan untuk membawa perubahan kepada cara berfikir dan bertindak rakyat itu sudah terlalu kuat.  Oleh kerana itu, kita tidak boleh lagi melengah-lengahkan tindakan yang diperlukan. 

Kita sebagai kelompok rakyat kecil sebenarnya memiliki kekuatan dan kebolehan untuk membawa perubahan yang kita idam-idamkan selama ini. Prasyaratnya, kita tidak lagi melantik diri sebagai penonton kerana kitalah petindak yang cekal itu ─ kitalah tetes-tetes yang lembut tapi keras itu.

Ya, ayuh perbuatlah apa yang terdaya walaupun hasilnya nanti dirasakan tidak begitu sempurna dan bermutu.

Paksi ─ walaupun serba kekurangan dan kerdil sifatnya pasti membantu, insyallah. 


3.

Kita nantikan karya teman-teman di Markas Simpang Pelangai, Bentong ini diedarkan kepada penduduk tempatan, insyallah.



No comments: